...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday, 18 May 2013

Pergi Kau, Monyet!

1.  Rumahku memang di desa menghijau. Berdepan dengan kebun durian dan berbelakangkan puluhan kelapa sawit milik orang.

2. Setiap hari, segerombolan monyet-monyet melintasi laman rumah aku untuk bergayut di pohon durian yang tinggi menjulang.

3. Mas'ul atau Amirul Monyet itu mengarahkan anak-anak buahnya menyeberang laman aku sambil kepalanya memandang keliling kanan dan kiri.  

4. Monyet-monyet ni semua nak tunjuk betapa hebat ilmu aerobic yang dipelajari dari turun temurun sejak zaman aisbatu. Memang ada yang hampir-hampir terjatuh tapi sempat tangannya menyambar dahan.

5. Setakat nak lalu laman rumah, oklah tapi sampai naik atas bumbung kereta aku, berdansa dan bercanda monyet-monyet ni, ini sudah melampau.

6.  Satu hari aku ajak Amirul Monyet itu duduk berbincang dengan aku. Itupun aku terpaksa bagi pisang emas sesikat untuk menjemputnya ke meja perundingan.

7.  Selepas Amirul Monyet itu mendengar fakta aku (siap bernota kaki), diapun menjawab sambil menggaru kelapanya yang sebesar dua penumbuk, 'Beginilah tuan, sebenarnya tuan telah mengambil habitat kami tanpa sebarang habitat gantian yang setara.'

8. Amirul Monyet itu menyambung lagi, 'Tuan, manusia yang dikurniakan akal fikiran hanya mementingkan mata dan perut tuan. Tuan, gunakan geran-geran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah untuk menafikan hak azali kami. Tuan telah berlaku zalim kepada haiwan yang tidak berakal seperti kami'

9.  Pergi kau, monyet! sakit hatiku mendengar hujah bodoh monyet itu.

10. Amirul Monyet itupun beredar sambil mengepit baki pisang yang tak sempat dijamahnya tadi.


No comments: