...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

. nyanyian jiwa .

Tuesday, 24 January 2012

Sukarnya Memilih Jalan Alternatif

1. Sesampai beberapa kilometer sebelum pekan Raub, deretan kenderaan memang menyesakkan sekali. Dua tiga buah kereta sudah memotong ikut belah kiri. Hampeh punya driver!

2. Sebuah papantanda `Jalan Alternatif ke Kuala Lumpur' di sebelah kiri. Cepat-cepat kubelokkan ke laluan tersebut.

3. Jalan alternatif itu, sunyi dan lenggang bagai jalan yang tidak digunakan. Jika malam, tentu menyeramkan.

4. Begitulah agaknya sukar pengundi untuk menjadikan Pakatan Rakyat sebagai parti alternatif. Rakyat lebih rela membontoti kesesakan, korupsi dan ketidaktentuan.

5. Agaknya begitulah.

Sunday, 22 January 2012

Untung Melayu ada Baharom

1. Nama Baharom tiba-tiba muncul apabila sekumpulan anak muda Melayu mengamuk di Dewan Orang Ramai, Jalan Kebun beberapa malam yang lalu. Baharom dikatakan sebagai ketua delegasi tidak aman yang menjadikan program anjuran ABU dan Hindraf terpaksa dibatalkan.

2. Untung juga orang Melayu memiliki pemuda yang bernama Baharom. setidak-tidaknya orang Cina dan India berasa takut dengan kehebatan orang Melayu yang sebegitu rupanya.

3. Tentunya orang India dan Cina juga sedang membikin spesis macam Baharom untuk mempertahankan hak mereka di saat-saat kritikal nanti.

4. Apabila sempurna penciptaan Baharom edisi pelbagai kaum, negara yang disebut sebagai Malaysia akan mengalami anarki. Pantang salah sikit, angkat parang dan mencarut.

5. Untunglah kita begitu. Untung sekejap. Rugi berkurun.








Mukadimah Mengajar Sejarah

1. Pernah suatu ketika dahulu, ingin saja kugugurkan mengambil subjek sejarah daripada STPM.

2. Bukan tak 'terrer' tapi membosankan. Jika tidak kerana Cikgu Ali Sabra yang mengajarnya penuh berinspirasi, nescaya subjek sejarah akan menjadi bahan sejarah dalam hidup aku.

3. Kini tatkala kumulakan membuka lembaran topik sejarah dalam subjek yang kuajar di universiti. Wajiblah bagi aku untuk menurunkan beberapa prasyarat untuk belajar dengan aku;

- Sejarah ditulis oleh orang yang berkuasa
- Sejarah orang yang kalah, terpadam dan dihilangkan
- Jangan kagum dan menghukum pada tokoh yang ada pada buku sejarah.
- Jangan baca buku Sejarah semata-mata untuk mengetahui sejarah

4. Dan satu lagi yang paling penting:

Jangan percaya sejarah yang kusejarahkan. Ciptalah sejarah sendiri.


Saturday, 21 January 2012

Pergi Tak Kembali

1. Bersemadi kembalinya al marhum ayah mertua, Hj. Wan Ismail Nik Salleh pada malam Jumaat - 26 Safar 1433 bersamaan 20 Jan 2012.

2. Bersemadi di pusara Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmatNya ke atas rohnya dan ditempatkan bersama para solihin.

3. Terima kasih atas doa dari sahabat semua.

Thursday, 19 January 2012

Menangani AUKU

1. Memanglah sewaktu di kampus, idea menentang AUKU begitu dominan sekali. Aku baca AUKU sambil lalu sahaja walaupun dikatakan undang-undang bersifat draconian.

2. Idealisme anak muda tidak terikat dengan AUKU. Tidak tahu undang-undang kalangkala lebih baik daripada tahu. Seharusnya pemimpin gerakan pelajar tidak menjadikan AUKU fokus perjuangan mereka.

3. Kenyataan MB Kedah untuk tidak menanggalkan besi AUKU di KUIN tidaklah menghairankan. Beliau mengerti bahawa AUKU bikinan kerajaan Persekutuan. Melainkan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan menghapuskan AUKU. Selagi tidak, AUKU zalim macamana sekalipun, adalah sah di sisi undang-undang.

4. Tertumpu soal AUKU yang sempit dan meninggalkan fokus utama iaitu pembikin ibu kezaliman hanya menjadikan rakyat bertempur sesama sendiri.

5. Selamat bertempur, jika mau!


Markah Dah Siap!

1. Suatu ketika dulu, satu detik yang paling membosankan adalah menunggu saat peperiksaan. Kini, saat paling menyakitkan adalah menyiapkan pemarkahan kertas jawapan pelajar.

2. Suatu ketika dulu, aku 'sakit hati' pada pensyarah yang kedekut markah ataupun masa itu kami sebut sebagai 'syadid'.

3. Kini aku sedaya upaya berlaku adil silam yang tersakit dengan semasa yang lebih adil.

4. Alhamdullillah, markah peperiksaan korang dah siap.

5. Pemarkahan peperiksaan hanya sekelumit kecil daripada pengadilan dari Yang Maha Adil.

Wednesday, 18 January 2012

Tinggalkan Aku Sekangkang Tanah

Sang pemidato melontarkan bicara
di tengah malam hari
ada tiga juta hektar tanah buat
menyimpan keagungan Melayu
pada tanggal merdekanya
tanahair kita

Aku yang berdiri di tepi
jalanraya tak berlampu
berkira-kira tentang
luas manakah tanah itu

Kemudian sang pemidato itu
menanggis
kehilangan suaranya
sepuluh tahun yang lalu,
hampir separuh tanah itu
sudah luput dari buku rekod
tanah negara

Kulihat lelaki tua
di sebelahku turut menanggis
sambil mengadu pada ku yang
kebinggungan

'tinggalkan aku sekangkang tanah
buat pusaraku nanti'