...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday, 8 June 2008

Teringat Akan Arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor


Entah tiba-tiba aku teringat akan arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor. Walaupun hari-hari aku membaca persoalan kepimpinan yang berkaitan dengan Ust. Fadzil Mohd. Noor tetapi kali ini aku memang terasa begitu kuat ingatan itu. Tak semena-semena. Mungkin cerita politik tanahair sedikit mengusik nostalgia aku. Atau kerana ziarah beberapa kawan ke rumah beberapa hari ini menyentuh kenangan itu.


Malam itu, sewaktu aku bekerja - langit Swansea terang - sinar bulan yang hampir purnama. Malam itu memang mengingatkan aku malam kembalinya arwah ke sisi Allah s.w.t. Malam itu, kami sekeluarga tinggalkan pusara yang masih basah merah. Ramai lagi yang masih setia menunggu di tepi pusara sambil membaca ayat-ayat al Quran. Hari sudah hampir penghujungnya. Tubuh baru terasa melekit. Peluh seharian.tak bermandi.

Lautan manusia, sungai mengalir sepi. Sawah menghijau. Gunung Jerai berdiri teguh. Saksi lautan manusia tak pernah mati.

Malam itu sepi. Purnama betul-betul menyinari pusaranya. Seakan-akan turut menerangi kegelapan dalam perut bumi. Kami mencari hotel. Tak upaya untuk kami meneruskan perjalanan dari Pokok Sena ke Teluk Intan. Pagi itu, kami memang merancang untuk pergi ziarah arwah di Hospital UKM Cheras. Hati aku terasa tak sedap. Walaupun khabar angin menyebutkan bahawa keadaan arwah semakin baik tetapi hati aku terasa tak sedap juga. Pagi-pagi itu kami berangkat ke Kuala Lumpur. Terasa perlahan kereta aku berjalan.


Kami isi petrol di stesyen Petronas pekan kecil Bidor. Walaupun ada yang menyebut, kualiti minyak Shell lebih baik daripada Petronas tetapi aku pilih Petronas - itu syarikat negara. Itu syarikat milik orang kita. Alangkah patriotiknya aku. Walaupun aku tahu, Petronas tak pernah tahu siapa aku. Melalui jalan lama lebih baik daripada melalui lebuhraya yang memaksa kami membayar tol. Jalan lama antara Bidor ke Tanjung Malim sudah banyak dibaiki. Lebih baik kami menggunakan jalan lama - lebih menjimatkan.


Tapi hati aku tak sedap. Aku nak cepat ke Kuala Lumpur. Aku nak ziarah Presiden PAS. Paling tidak mendoakan dari luar biliknya jika aku tak dapat masuk melawat. Siapalah aku waktu itu. Tentu orang yang lebih penting dan utama akan diberikan keutamaan untuk melawat arwah. Tak kisah, sebagai ahli biasa - aku juga mempunyai hak untuk mengasihi dan menyayangi pemimpin. Aku membatalkan hasrat untuk menggunakan jalan lama. Aku membelokkan kereta ke arah pondok tol Sungkai. Tiba-tiba, telefon aku berdering. Tertera nama `Raja' - bila aku angkat telefon, ayat pertamanya menyebut nama Ustaz Fadzil...........hatiku tiba-tiba menyambut `dia sudah meninggal'. Betul, itulah yang Raja cakapkan. Aku terus memberhentikan kereta di tempat letak kereta Plus. Nak tau cerita lanjut.


Selepas itu, aku beritahu ayah aku tentang berita sedih itu. Aku semacam hilang semangat. Mati seketika. Binggung seketika. Kemudian tak berhenti-henti aku terima sms daripada rakan memberitahu berita yang sama. Kami buat keputusan untuk terus ke Pokok Sena. Kami tak jadi ke KL. Biar kami tunggu jenazah arwah di Kedah. Aku memang tak rapat dengan arwah tetapi arwah tetap mesra dengan aku.


Baru sekarang aku sering mengingat-ingatkan waktu-waktu kami pernah bersama. Waktu makan di Kg. Gajah. Ceramah di kawasan Pasir Salak. Arwah datang memberi sokongan sewaktu aku didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Aku dan keluarga aku sempat bergambar dengannya. Itulah satu-satu gambar yang sempat aku buat. Sedangkan, aku mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Namun, satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan sewaktu kami berada di atas pentas dalam Muktamar Pemuda di PUTIK, Kelantan. Arwah yang diiringi Ust. Nasaruddin Mat Isa melihat pemuda bermuktamar, arwah duduk di hadapan kami. Selepas itu, arwah pergi beredar dan memberikan lambaian kepada kami. Bendahari Pemuda PAS waktu itu, Hj. Roslin membisikkan kepada kami - itu macam lambaian terakhir........




1 comment:

Anonymous said...

Saya juga ahli biasa tetapi bila kehilangan beliau seperti kehilangan bapa saya sendiri.

Dan saya juga telah melihat lambaian terakhir almarhum Ustaz Fadhil di PUTIK.

Semoga Allah meletakkan almarhum di tempat seiringan dengan para syuhada'.

Alfatihah.