Waktu dulu aku suka sekali baca buku tentang persahabatan. Bercakap dengan sahabat serumah, sekuliah atau sefikrah - syeikh, akhi, anta........ Istilah sahabat diambil daripada sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sahabat adalah para sahabat yang pernah hidup sezaman dengan Nabi. Selepas generasi sahabat, ia dikenali sebagai Tabi' dan Tabiin. Sahabat Nabi yang terkenal semua dah maklum. Ada hadis yang menyebut 10 sahabat yang dijamin masuk syurga.
Di sini, ramai yang menyebut `brother' ataupun dalam istilah kita - 'saudara' untuk menyapa sesama kenalan. Mungkin, istilah ini diambil daripada pengaruh `ikhwanul muslimin'. Apapun istilahnya, sahabat adalah membayangkan satu perhubungan yang ikhlas dan sejati. Ramai ada pengalaman yang sama terutama sesiapa yang pernah terlibat dalam tanzim tarbiah sewaktu di universiti. Sahabat memang tak ramai. Sahabat memang terpilih. Sahabat memang sedikit. Namun dalam sedikit itu tidak semestinya memahami dan menghayati makna persahabatan.
Masa beredar, waktu berlalu. Sahabat-sahabat yang pernah setarbiah, sefikrah dan seperjuangan sudah mempunyai fikiran dan keperluan sendiri. Masing-masing sudah membina kematangan dan kefahaman tersendiri. Ada yang masih berada dalam perjuangan. Setia dalam medan. Tarbiahnya terus menjadi laluan memandu masa hadapannya. Ada yang berhenti di tengah jalan. Ada yang berpatah balik. Ada yang maju. Ada yang masih keliru. Itu semua ada dalam kamus persahabatan.
Dalam perjuangan politik, sahabat memang selalu diuji. Ujian persahabatan sewaktu masa susah mungkin berbeza dengan sewaktu masa senang. Waktu susah bersama, insyaAllah ujian persahabatan akan mampu dihadapi. Ujian waktu senang, insyaAllah mungkin akan dapat dikawal. Namun, ujian sewaktu berbeza keadaan; satu senang dan satu lagi susah - mungkin di sini akan memperlihatkan erti persahabatan.
Sewaktu Abdullah Badawi meneruskan karier beliau sebagai PM dengan pelbagai cabaran yang ada, berapa menteri dan ahli parti yang sanggup mempertahankan beliau sebagai pemimpin parti kalaupun tidak sebagai PM. Waktu beginilah, Abdullah akan mengenali siapa sahabat pada dirinya yang sebenar. Ada yang menikam dari depan, dari belakang dan dalam gelap dan dalam terang.
Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan - ke mana perginya sahabat-sahabatnya yang berkongsi kuasa. Yang jadi 'orang kuat' Anwar Ibrahim adalah orang kecil-kecil. Orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim sewaktu menjadi TPM hilang entah ke mana. Yang dah kenyang - semakin jauh. Samalah juga seperti Tun Mahathir Muhammad. Itu cerita tentang orang politik. Cerita orang niaga atau lain-lain sama je.
Waktu susah biasanya akan dapat menilai siapa sahabat sejati. Nabi pernah sabda yang bermaksud lebih kurang bahawa kita dapat mengenali sahabat bila kita makan, tidur dan kembara bersama. Waktu itulah, kita dapat mengenali diri sahabat kita.
No comments:
Post a Comment