...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 4 February 2009

Wujudkan Kerajaan Campuran Di Perak

1. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak saat ini diambang yang sangat kritikal. Manakala Barisan Nasional berkemungkinan akan menubuhkan kerajaan baru sekiranya Tuanku Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak oleh Menteri Besar (MB) Perak, Dato’ Seri Ir. Hj. Nizar Muhamad.

2. Kedudukan kerusi yang dimiliki oleh BN seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai sebuah kerajaan yang sangat kritikal berbanding dengan pembentukan kerajaan PR sebelum ini. Cadangan PR untuk mengadakan pilihanraya semula di seluruh negeri Perak boleh dielakkan jika pimpinan PR bersedia mengadakan reformasi politik di Perak.

3. Perkembangan politik di Perak seharusnya dimanfaatkan untuk membawa perubahan politik pada skala yang lebih luas dan menguntungkan semua pihak. Sumber kuasa politik tidak seharusnya ditumpukan kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja bahkan aspek kebijaksanaan mengurus politik kerajaan adalah perlu diambil kira.

4. Diharapkan agar pemimpin semua parti mengambil sikap berlapang dada dan berjiwa besar dengan melakukan satu reformasi politik dengan mewujudkan Kerajaan Campuran antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Idea pembentukan kerajaan campuran ini mungkin suatu yang asing dalam negara kita. Namun, kerajaan campuran akan mewujudkan satu makenisme kerajaan yang adil dan progresif.

5. Memang wujud saranan untuk membentuk kerajaan campuran antara BN dengan PAS semasa selepas PRU Ke 12. Walau bagaimanapun, pembentukan itu berasaskan kekuatiran daripada sentimen perkauman. Cadangan ini tidak berasaskan kaum atau agama tetapi berasaskan kebijaksanaan parti politik menghimpunkan kepelbagaian matlamat dan pendekatan politik mereka kepada satu institusi rasmi; kerajaan campuran.

6. Kerajaan campuran ini tidak akan mengurangkan kredibiliti perjuangan semua parti bahkan ini menunjukkan kebijaksanaan pemimpin mengurus ketidaktentuan politik negeri Perak ke arah yang lebih mantap. Di dalam kerajaan campuran ini, Menteri Besar dipilih oleh ahli Dewan Undangan Negeri secara majoriti. Manakala Menteri Besar yang berjaya dipilih dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Perak akan memilih EXCO dari kalangan pelbagai parti mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti.

7. Di dalam keadaan inilah, fungsi istana dan Raja sangat memainkan peranan penting sebagai Raja yang menguasai negeri. Penggunaan dan pengembalian kuasa Raja-raja Melayu tidak seharusnya dirujuk kepada pindaan perlembagaan semata-mata tetapi seharusnya ditekankan kepada penafsiran bidang kuasa baginda di dalam perundangan dan perlembagaan negeri. Tafsiran perundangan tidak sekadar terikat pada kes sejarah tetapi bagaimana perundangan boleh mencapai matlamat falsafah perundangan digubal dan berfungsi.

8. Barisan kepimpinan EXCO yang dipimpin oleh MB akan mentadbir kerajaan negeri Perak, manakala ADUN yang lain akan bertindak sebagai sebuah institusi hisbah yang menentukan pimpinan kerajaan negeri mentadbir mengikut peraturan dan matlamat yang dipersetujui sama. Mereka akan mengkritik sekiranya wujud beberapa kelemahan dan penyelewengan dan memberikan sokongan sekiranya wujud keperluan terhadap langkah tersebut.

9. Kaedah ini diamalkan di Indonesia dan juga beberapa buan negara lain di Eropah. Apabila politik sudah berada tahap kematangan, pemimpin politik seharusnya menumpukan untuk membangunkan kerajaan dan memajukan negeri serta berkhidmat kepada rakyat seluruhnya.

10. Langkah ini memerlukan satu keberanian daripada semua pihak pemimpin. Pemimpin politik dan parti politik negara seharusnya meneroka pembaharuan politik yang lebih berwibawa. Kita seterusnya mengharapkan agar semua rakyat Perak khususnya bersabar dan memberikan komitmen bagi membentuk masyarakat yang matang berpolitik dan bijak membuat keputusan.

4 comments:

Martyr said...

Idea yg bernas tetapi kurang praktikal (point 10).

Stephen Chow pernah berkata dlm Kung Fu Hustle, "evil dan good can't exist together".

Tak mengapalah kalau BN merampas Perak. Ini Sejarah Kita (ISK). Kali ini rakyat yg akan menulis sejarah, bukan pemerintah.

Apa yg pelik?

MS said...

terima kasih. Ibn Qayyim al Jawziyah berkata bahawa ramai sarjana Islam mengketegorikan kerajaan kepada yang idealis (syariah) dengan realis ( siasah), ataupun kerajaan salah atau kerajaan betul. Syurga atau neraka. Kalah atau menang. Sedangkan matlamat siasah syariah adalah menyokong kepada yang menuju kebaikan bersama. Tidak boleh untuk mengketegorikan UMNO-PAS sebagai betul-salah. Kerana pembahagian itu boleh menyebabkan kecelaruan. UMNO kebiasaanya adalah suatu yang salah tetapi tidak semestinya ia akan dihukum salah selamanya. Begitu juga sebaliknya. Wallahuaklam.

cyberboron said...

min,

aku confused sikit la dengan ko punya cadangan ni.

tolong bagi detail sikit.

MS said...

Perkembangan terkini agak menjejaskan idea asal aku ini. Jika hendak teruskan anarki, PR dan BN mesti nekad ber`perang'. Jika tidak, kedua-dua mesti mencari jalan pertengahan yang boleh diterima semua pihak termasuk Istana.

Meski Istana dilihat sudah bersikap tidak neutral dan di luar konteks perlembagaan, kuasa masih terawang-awang. Masing-masing ingin mengapainya.

Semua ADUN layak untuk dipilih menjadi MB. Semua ADUN mesti berbincang untuk memilih MB yang dipersetujui sama. Ia mungkin dari UMNO atau parti lain. Tapi mesti ada konsep timbal balik. Jika MB daripada kalangan UMNO, bagaimana dgn parti lain. Mesti diberikan sesuatu yang difikirkan sesuai. Tapi kini krisis perlembagaan di Perak berlaku. MB Perak tidak berfungsi kerana jenteranya dikawal oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang menerima arahan daripada Sultan.

Memang sukar untuk satukan antara PR dan BN. Sebab itulah dinamakan reformasi. Jika ikut tradisi, kita lawan aje.

Begitulah adanya. wallahuaklam.