...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 4 February 2009

Bagai Menanti Titah Baginda Sultan

1. Bendahara berkejaran menuju Istana tuanku yang terletak di pinggir kota. Dilihat oleh mamak bendahara begitu ramai rakyat jelata dan wartawan sibuk menunggu di pintu gerbang istana. Mungkin mereka ingin mengetahui hal sebenar yang berlaku di dalam kerajaan negeri.

2. Laksamana dengan beberapa rakan mereka sudah mengira tentera yang berada di bawah arahannya sekarang. Laksamana sudah nekad. Dia akan berpaling dari taat setia kepada Bendahara. Laksamana taat pada tuanku baginda Sultan Melaka sahaja. Tidak kepada yang lain.

3. Laksamana sudah bawakan Sultan Melaka, Puteri Raden Galoh Cindera Kirana, puteri Mahapahit dan Tun Teja dari negeri Pahang Darul Maamur dan Puteri Hang Li Po, puteri Maharaja China. Masakan Sultan Melaka tidak terkenang budi besarnya itu kepada baginda Sultan Melaka. Laksamana sudah menjadikan Sultan Melaka seorang pemimpin global walaupun akalnya tidaklah sehebat Laksamana.

4. Cuma Laksamana kuatir dengan kebijaksanaan Bendahara bersiasah. Bendahara memang tak ada harta dan tenagapun tak sehebat Laksamana. Bendahara tiada kemahiran bersilat apatah lagi untuk berperang. Bendahara cuma ada sebidang tanah yang sekangkang kera dan sebuah rumah cukup untuk keluarganya berteduh lena.

5. Setelah baginda mendengar pandangan Bendaharanya yang bijaksana, bagindapun berfikir-fikir tentang kehebatan Laksamana bersilat dan jasa besar Laksamana memenuhi selera baginda sebagai lelaki terhebat di Nusantara. Bagindapun berfikir.

6. Hamba nun jauh di perantauan, menanti khabar berita.

No comments: