...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday, 20 January 2008

Dua Cerita Tentang Ulama

Cerita Pertama

Aku pernah menonton filem Indonesia (lupa tajuknya), kisah seorang ulama yang asyik dengan berhujah tentang hukum halalnya memakan biawak. Ke mana-mana ulama itu pergi, dia pasti berhujah halalnya memakan biawak. Serban dan jubahnya tak pernah tanggal bagi memastikan legitimasinya sebagai seorang ulama (biarkan aku namakannya dengan nama Ulama berjubah). Kemudian dia berjumpa dengan seorang ulama yang berwatak agak jenaka. (aku sebutnya sebagai ulama humble). Ulama berjubah itupun berhujah dengan hadis dan sandaran-sandaran kepada ulama humble itu. Ulama humble itupun bilang, `yang ko bilang tu jika bener sekalipun, kan yang lebih utama sekarang adalah keadaan tanahair yang sedang dijajah oleh Belanda.’ Ulama berjubah itu terasa hina (kerana dia bekerjasama dengan Pak Lurah/Ketua Kampong yang jadi talibarut pada Belandadi Jawa). Ulama itupun bercakap, `Taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri di kalangan kamu....’ Ulama humble itu tersenyum.

Satu hari ulama berjubah itu sedang asyik berzikir semasa berjalan seorang diri. Mulutnya kumat-kamit dan jari jemarinya ligat mengira biji tasbih. Trrrrrrr.......Tiba-tiba dia terkejut sehingga terjatuh ke dalam parit. Apa tak terkejutnya kerana dilihat ulama humble itu naik motor (BSA), bertopi sambil menyandang senapang di belakangnya. `MasyaAllah….apa gila ko ni. Mau kiamat dunia!’ Ulama berjubah itu marah kerana pakaian ulama humble itu `mencemar’ ulama. Ulama humble itu pun pergi meninggalkan ulama berjubah yang basah lenjun. `Ehh...ko mau ke mana?’ Ulama berjubah itu sempat lagi bertanya. `Gue mau lawan Belanda!.....ha..ha...ha’, katanya tanpa memandang ulama berjubah itu yang terpinga-pinga. Bingung.

Cerita Kedua

Kisah ini aku dengar daripada pengisian yang diberikan oleh Ustaz Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu. Arakiannya kisah ini bermula sewaktu British menjajah India. Kisah ulama di India yang bertelingkah soal samada sewaktu duduk tahiyat akhir, bagaimana cara yang sepatutnya keadaan jari telunjuk kita. Samada jari telunjuk kita terus tegak, turun selepas habis baca tahiyat, atau berpusing-pusing atau bagaimana yang sebenarnya. Maka turunlah para alim ulama India (walaupun tak seluruh India) berbincang soal itu. Berdebat sampai ke tahap patahkan jari telunjuk orang lain yang tak ikut kaedahnya. (nampak macam melampau, tapi realitinya memang begitu).

Masa itu aku nak tanya sesuatu tetapi terus terpadam. Aku nak tanya, begini: `Mana sepatutnya yang menjadi khalifah pertama, Abu Bakar atau Ali?’

Rasanya tak perlu kesimpulan daripada dua cerita di atas. Kalian boleh gunakan otak masing-masing. Berfikir.

No comments: