...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 1 January 2008

Kisah Peniaga Nasi Lemak

(Menarik untuk dibaca hiba)
Oleh: Dari Bumi, Cheras

Di Bandar Tun Razak, Cheras, ada seorang peniaga Melayu Islam yang sudah tujuh tahun berniaga warung nasi lemak. Nasi lemak Mak Ton sangat sedap, sangat murah dan penjualnya sangat ramah dan baik hati, jujur dan amanah. Kita boleh minta sambal lebih, minta timun lebih atau kacang lebih; semua permintaan dilayan. Beliau memenuhi semua kriteria seorang peniaga Islam seperti yang disyariatkan Allah.

Warung Mak Ton terletak bertentangan dengan kedai mamak di hadapan Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, di bawah pokok besar. Pusat komuniti itu dekat dengan stesen LRT Bandar Tun Razak. Saya sendiri sudah 2 tahun membeli nasi lemak beliau, sangat kerap dalam seminggu. Hari itu, sedang saya memilih bahagian ayam untuk dimakan, datanglah lori DBKL dengan hampir 15 orang lelaki yang gagah-gagah. Ada yang memakai rantai leher, bermuka samseng, membuli orang tua ini. Mereka memberikan tiket saman, dan mengugut akan menyita warung makan Mak Ton.
Alangkah teruknya tingkah laku mereka. Tiada belas kasihan, bertindak seperti samseng terhadap seorang perempuan separuh usia yang menjual nasi lemak di bawah pokok, di tepi jalan. Sepanjang dua tahun membeli nasi lemak Mak Ton, saya belum pernah tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas, belum pernah ada masalah parking di situ.


Pendek kata, warung Mak Ton tidak pernah memberi saya sebarang masalah. Cuma mereka (DBKL) cuba memindahkan para peniaga di Cheras ke Pusat Komuniti Bandar Tun Razak yang tidak ramai pengunjung, tetapi mengenakan sewa bulanan mencecah RM1,700 sebulan.
Di sini, saya telah melihat ramai peniaga Melayu yang berpotensi 'terbunuh' apabila tidak mampu membayar sewa. Pengunjung sangat kurang berbanding tempat asal perniagaan mereka sebelum ini.


Saya kagum bagaimana Mak Ton berhadapan dengan pihak penguasa DBKL. Dia bersabar, profesional terhadap pelanggan walaupun menghadapi dugaan tersebut. Saya bertanya pada Mak Ton: "Macam mana ni Mak Ton?" Jawab beliau tegas: "Kita balas zalim dengan undi kita besok."


Saya teringat sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: "Jangan kamu cenderung terhadap orang yang zalim, kelak kamu disambar api neraka."
Tulisan di atas saya petik daripada Harakahdaily - Dalam hati kecil saya berkata;
1. Yang datang merobohkan warung `orang melayu' itu kemungkinan besar adalah `orang
melayu'
2. Yang memberikan arahan untuk dirobohkan warung `orang melayu' itu kemungkinan besar
adalah `orang melayu'
3. Yang datang memberi simpati pada penjual nasi lemak `melayu' itu kemungkinan besar
adalah `orang melayu'
Satu kemungkinan yang menjadi musykilah; mengapa orang melayu marah sangat pada orang Cina, India ataupun orang kafir?

No comments: