"Pantang orang Melayu derhaka!" itulah kata-kata Melayu klasik yang masih banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu pada hari ini. Ketika Raja Muhammad membunuh Tun Besar anak kepada Bendahara Paduka Raja kerana tersepak kepala baginda semasa main sepak raga, Bendahara berkata `Pantang orang Melayu derhaka'. Bendahara terpaksa akur dengan tindakan putera mahkora Melaka itu demi mempertahankan doktrin sang penguasa Melayu. Begitulah juga apabila Sultan Mansor Shah jatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah, pahlawan Melayu itu akur menerima hukuman demi menunjukkan betapa taat setianya pahlawan sejati itu!
Apabila Hang Jebat menongkah arus, bangun menegakkan keadilan, menyanggah kezaliman Sultan - akhirnya dia terkorban di tangan saudara yang dipertahankannya; Hang Tuah. Mati Hang Jebat - mati penderhaka! Mati penuh hina zaman berzaman. Begitu juga apabila Tok Janggut menentang British di Kelantan, malangnya ulama' tersohor itu diistiharkan oleh istana Kelantan sebagai penderhaka! Tok Janggut - mati penderhaka! Mati penuh hina zaman berzaman. Sezaman yang hampir sama, pemberontakan Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang - juga dianggap penderhaka. Mat Kilau menyamar diri dengan nama Mat Siam berpuluh-puluh tahun takut Sultan masih murka padanya. Selepas Sultan Pahang memaafkan, Mat Siampun baru berani mengistiharkan diri sebenarnya sebagai Mat Kilau, pahlawan yang dianggap penderhaka! Selang beberapa hari, Mat Kilaupun meninggal dunia. Matinya tidak lagi mati sebagai penderhaka tetapi hampir seluruh hidupnya adalah hidup penderhaka!
Coup d'etat pertama dalam sejarah politik orang Melayu dilakukan oleh Raja Kasim yang merupakan abang tiri kepada Sri Parameswara Dewa Shah, Sultan Melaka ketika itu. Baginda membunuh adik tirinya dan Raja Rokan yang merupakan penasihat kepada Sultan Melaka yang masih kecil itu. Rampasan kuasa itu dibantu oleh Tun Ali yang akhirnya menjadi Bendahari kepada Raja Kasim.
No comments:
Post a Comment