Orang Wales taksub pada bahasanya. Mana tempatpun mereka pasti utamakan bahasa mereka dan kemudian barulah bahasa Inggeris. Llygrgell Canalog Abertawe adalah Perpustakaan Swansea Pusat. Swansea Central Library yang baru dibuka di bangunan Swansea City County memang menarik. Di daerah West Glomorgan ini sahaja hampir setiap kampong ataupun daerah kecil terdapat sebuah perpustakaan. Kira-kira 400 meter daripada rumah aku di Alexandra Terrace, sebuah perpustakaan kecil sentiasa menjadi tumpuan penduduk yang berhampiran. Buku? Usah berkira nak cari buku apa - datang je. Melambak-lambak buku yang menarik untuk dibaca. Orang sini begitu menghargai sejarah tempatan mereka. Sebuah ruang yang agak besar telah menempatkan buku sebarang tajuk yang ada kaitan dengan Swansea. Daripada soal sejarahnya hinggalah sains, sastera dan sebagainya. Buku mengenai Dylan Thomas, penyair terkenal Swansea ada berpuluh-puluh. Kisah dia, koleksi suratnya, gambarnya dan sebagainya.
Hujung minggu lepas aku pergi ke Brecon Beacon, sebuah kawasan tanah tinggi yang menjadi tumpuan para pelancong. Jauhnya dari Swansea hanya tidak sampai sejam perjalanan yang cukup mengasyikkan. Memasuki ke daerah Brecon Beacon seperti memasuki ke alam lain- yang terasing dari segi bentuk dan cuacanya. Sekali pandang seperti berada di tengah-tengah padang di Granada. Padang ragut yang luas sejauh mata memandang, tasik biru yang mendebarkan, langit yang putih, gunung yang gagah - sukar untuk dinyatakan dengan kata melainkan kalian sendiri yang datang ke sini.
Kami pergi ke Pusat Pelawat Brecon Beacon yang mempunyai bilik pameran tentang kawasan yang telah dijadikan National Park - di sinipun ada pameran lukisan dan seni! Mereka cukup menghargai kesenian. Aku terpandang sebuah buku kecil yang menerangkan tentang latar belakang Brecon Beacon. Buku itu macam buku coretan tentang perjalanan penulis - ada peta ringkas, ada ulasannya dan sedikit coretan adan lakaran ringkas. Buku nipis itu dalam bentuk fotostat tetapi dijual dengan £2. Dalam masa yang sama, pihak Pusat Pelawat ada menyediakan sebuah pamplet yang mengandungi peta, latarbelakang tempat yang lebih menarik dan percuma! Aku ambil satu sebab percuma.
Namun, buku nipis fotostat itu masih mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dan mampu menarik orang untuk membelinya. Aku cuma tertarik bagaimana masyarakat di sini begitu menghargai tulisan-tulisan yang ringkas, asli dan mudah. Aku termenung sebenar, mengenangkan nasib penulis tanahair - kaya idea tapi miskin kaedah dan kemudahan.
No comments:
Post a Comment