Biasanya aku malas nak baca cerpen. Baca sekerat kemudian dah tak larat. Tapi aku rasa pertama kali ini dalam e-group karyawan luar negara - aku baca habis! Persoalannya itu jarang disentuh walaupun kelihatan agak ingin mengajar pembaca. Memandangkan pembaca itu kurang mendalam tentang persoalan itu dan rasa ingin tahu menjadikan pembaca secara tak sedar telah terperangkap!
Mengapa orang nak baca karya kita? Pertama, kerana penulis itu sendiri. Aku akan baca kalau aku tau siapa yang tulis. Lebih-lebih lagi kalau penulis itu dikategorikan penulis terkenal atau hebat. Kelihatan aku agak tidak demokratik dalam hal ini. Tak mengapa.Kedua, ada orang cadangkan agar aku baca karya itu. Jika aku dapati, cadangan itu menarik, aku cari dan baca. Dulu sewaktu aku berada di Tingkatan Lima, cikgu aku cadangkan baca novel Indonesia - sebagai anak murid yang baik - aku baca semua novel klasik Indonesia yang dia ada seperti Salah Asuhan (Abdul Muis), Atheis (Achadiat K. Miharja), Keluarga Gerilya (Pram), Siti Nurbaya (Marah Rusli) dll. Sesetengah novel itu, akupun tak faham apa yang nak diceritakan. Baca sebab cikgu kata bagus. Jadi aku baca. Hasilnya, aku dah faham mengapa cikgu aku suruh baca novel-novel itu.
Ketiga bagi penulis muda dan biasa, hanya yang kerap berkarya saja yang aku baca. Aku tertarik kerana kesungguhan mereka berkarya - walaupun mungkin karyanya hanya sekadar biasa-biasa sahaja. Aku selalu pergi ke kedai buku Sarjana Media di Puduraya yang kebetulan milik kawan aku - bila aku tanya apa novel yang laris minggu ni? Dia akan sebut beberapa nama yang sama. Jadi, aku belilah novel itu (kadangkala dapat free! - sebab itulah aku selalu datang) - sebab aku nak tau apa lah hebat penulis itu sampai seminggu boleh 20-30 buah novelnya terjual di kedai itu sahaja.Cemburu juga. Baca karya dah banyak tapi masih belum berkarya hebat.
Keempat, membaca kerana karya itu mencetuskan kontroversi hebat. Contohnya karya Shahnon Ahmad - Shit. Tak pernah berlaku dalam sejarah penulisan novel tanahair, novel yang begitu laris di pasaran hingga dicetak rompak. Kedua, novel Saman tulisan Ayu Utami - novel yang mempamerkan kebebasan gila.Novel 'Larung' karya diapun aku baca sewaktu di Perpustakaan ATMA, UKM. Aku baca novel Salina karya A. Samad Said kerana novel itu adalah novel tertebal sewaktu diterbitkan. Masa itu, aku tak berapa kenal dengan A. Samad Said. Jadi kalau nak berkarya - tulislah yang bisa mencetuskan kontroversi! Kawan aku bilang, bila ada ura-ura nak haramkan al Quran di Belanda (?) - maka berpusu-pusu orang beli al Quran terjemahan. Bagus juga kalau begitu kontroversinya.
Itu jalan singkat untuk terkenal sementara.
No comments:
Post a Comment