Tahniah kepada yang menang. Memang memeranjatkan. Menang terperanjat. Yang kalah lagi terkejut. Aku dengar, Dato Dr. Awang Adek yang disebut-sebut bakal MB UMNO Kelantan membuat sidang akhbar sendirian. Wajah Pak Lah dan Najib - serius - itu yang boleh dilihat pada media arus perdana. Shahidah Kasim meminta pimpinan UMNO tertinggi membuat penilaian semula. PWTC muram. Bertubi-tubi aku menelefon dan ditelefon. Masing-masing nak tau. Masing-masing nak beritahu. Waktu inilah ramai mendakwa; aku menyokong Barisan Alternatif. Baguslah.
Seperti yang telah kukatakan sebelum ini, aku pasif terhadap sistem pilihanraya Malaysia. Biarpun pembangkang membuat kejutan besar - aku tetap prejudis pada pilihanraya. Jangan pecat Tan Sri Rashid - biar dia rasakan betapa indahnya hidup dalam keadaan begini. Sebagaimana pernah yang dinyatakan oleh arwah Ust. Fadzil Mohd. Noor, dia mendoakan agar Tun Mahathir panjang umur - agar dia rasa keindahan negara yang ditinggalkan. Aku juga tak yakin pada kuasa rakyat biarpun rakyat telah menunjukkan kuasanya pada pilihanraya kali ini. Pada aku bukan rakyat tapi sebilangan kecil rakyat yang disebut barisan kepimpinan yang berupaya menjana kekuatan rakyat yang terpendam selama ini untuk bangkit. Oleh itu, pada aku kepimpinan adalah kuasa. Kuasa itulah yang menyuntik kuasa yang dimiliki rakyat. Kuasa rakyat tidak digunakan apabila rakyat tidur kerana didodoikan pemimpinnya.
Akupun semacam semakin bersemangat. Biarpun Pasir Salak tak menang. Tapi Perak, BN jatuh. Barisan Alternatif berjaya membuat kejutan setelah setengah abad UMNO berkuasa di atas takhta. Takhta itulah yang meninggikan hidung mereka sehingga lupa amanah yang seharusnya dilaksanakan.
Kemenangan ini satu ujian kepada ikatan kerjasama Barisan Alternatif dan pembangkang khususnya DAP. Pengalaman pertama untuk membentuk sebuah kerajaan campuran di Selangor dan Perak sebenarnya menuntut kebijaksanaan dan kehikmahan dalam membuat keputusan. Kedah mungkin agak selesa biarpun kerana bentuk kerjasama PAS dengan PKR sudah kemas. Berbeza di Perak dan Selangor, kerjasama itu dalam awal pembentukan. Apapun, aku percaya pimpinan Barisan Alternatif dan DAP Perak dan Selangor akan membuat keputusan yang tidak mengecewakan.
Hari ini aku istiharkan kepada kalian - AKU SOKONG BARISAN ALTERNATIF!!! kemudian aku terdengar suara ramai yang melaungkan; AKU SOKONG BARISAN ALTERNATIF!!!!
Suara aku seakan tenggelam sebentar......
No comments:
Post a Comment