...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday, 17 March 2008

Menteri Besar Perak dan Pembentukan Kerajaan Campuran

Sebenarnya bukanlah suatu keanehan dalam politik tanahair sebuah parti yang kecil kerusinya akan dilantik menjadi ketua. Namun, dalam persoalan pelantikan YAB. Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang sebagai Menteri Besar Perak ke 10 dilihat sebagai suatu yang asing dan pelik oleh sesetengah pihak. Dato’ Rais Yatim yang lebih maklum tentang undang-undangpun kelihatan keliru memberikan padangan dalam isu ini. Dan sesetengah pengkaji dan pemerhati berpendapat langkah kesediaan PAS Perak menerima jawatan MB Perak sebagai langkah yang bakal menjual prinsip perjuangan.

Mungkin pelik kerana Menteri Besar Perak itu daripada PAS dan yang menang majoritinya adalah DAP. Dengan kekuatan enam kerusi yang dimenangi oleh PAS adalah angka yang terlalu jauh untuk dibandingkan dengan bilangan kerusi DAP Perak yang memperolehi 18 kerusi dan PKR yang mendapat tujuh kerusi. Dari segi agihan kerusi EXCO juga memperlihatkan kekuatan angka tidak berada pada YAB Mohammad Nizar Jamaluddin kerana PAS hanya memiliki satu kerusi Exco berbanding DAP yang mempunyai enam dan PKR pula tiga.

Kini kekuatan angka hanya satu andaian yang tidak tepat pada semua tempat dan keadaan. Pelantikan dan perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak kepada pemilihan YAB Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan pelantikan ketua kerajaan negeri harus juga dinilai dari segi kekuatan peribadi. Berdasarkan latar belakang MB Perak, agak sukar bagi DAP dan PKR apatah lagi BN untuk mempertikaikan potensi keupayaannya. Sememangnya cabaran yang terpaksa dipikul oleh MB Perak baru ini cukup besar. Situasi ini seharusnya memberikan signal kepada DAP untuk memilih calon daripada kalangan orang Melayu dan PKR perlu juga mendapatkan calon-calon yang benar berkelibar. Sifat berani untuk bertanding di dalam satu-satu pilihanraya atas tiket parti pembangkang bukan tiket menjadi pentadbir yang baik. Calon bidan terjun dan kurang kredibiliti harus dielakkan daripada berlaku.

Antara DAP dan PAS memang saling bertentangan dasar perjuangan sejak ia ditubuhkan hinggalah sekarang. Itu bukanlah suatu rahsia tetapi suatu yang diterima oleh oleh kedua-dua parti. Kedua-dua parti ini tidak pernah bekerjasama secara langsung kecuali sewaktu PAS dibawah kepimpinan Dato’ Fadzil Mohd. Noor di bawah Barisan Alternatif namun DAP keluar daripada pakatan politik itu.

Meskipun antara DAP dan PAS dikatakan saling bertentangan dasar perjuangan tetapi terdapat banyak persamaan dalam perjuangan yang boleh dimanfaatkan. Sebagaimana pertentangan antara PAS dengan UMNO, tidak menyebabkan untuk menenggelamkan hakikatnya kedua-dua parti mempunyai beberapa kepentingan bersama seperti dalam isu Palestin, Afganisthan, memerangi jenayah, dadah, kemiskinan orang Melayu dan sebagainya. Pertentangan seharusnya dilihar sebagai suatu imbangan kepada daya kuasa politik daripada terjebak ke kancah kerosakan. Kritikan akan menghasilkan kreativiti kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan sesuatu usaha atau projek yang dapat mencapai matlamat pelaksanaannya.

Menafikan peranan pembangkang seperti slogan sifat pembangkang oleh BN Selangor dan Perlis sebenarnya boleh membawa pentadbiran negeri ke arah autokrtik. Bekas PM Malaysia, Tun Mahathir sendiri mengakui betapa pembangkang diperlukan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Hatta, di dalam negara komunis sekalipun, ia tetap memberikan peluang kepada pesaing politik mereka untuk berada di dalam parliament mereka.

Sebuah kerajaan yang kuat apabila ia mendapat sokongan majoriti yang banyak di dalam suatu pilihanraya. Kedudukan kerajaan baru di Selangor dan Perak memang mengundang cabaran besar kepada kerajaan baru itu. Pembangkang di kedua-dua buah negeri akan berperanan sebagai `check and balance` kepada semua plan dan tindakan kerajaan. Walau bagaimanapun, kegagalan mengawal situasi ini boleh menyebabkan kerajaan berada di dalam keadaan tertekan kerana sibuk melayan kritikan dan kerenah pembangkang. Oleh itu, kerajaan negeri perlu menentukan prioriti di celah-celah timbunan kritikan yang diberikan tanpa menafikan hak pembangkang berperanan di dalam membangunkan negeri. Pembangkang juga sebenarnya memainkan peranan membangunkan negeri biarpun sekadar bercakap, mengkritik dan menghentam. Ia jauh lebih baik daripada sindrom yes men, pak anguk ataupun tukang ampu. Kumpulan-kumpulan berkepentingan akan wujud dalam masa keadaan sekalipun meskipun dalam waktu pakatan PAS-PKR-DAP memerintah.

Di Sabah, sejak pelaksanaan sistem penggiliran Ketua Menteri, parti-parti kecil dalam komponen Barisan Nasional berhak untuk mengetuai kerajaan negeri Sabah. Pelantikan Ketua-ketua Menteri daripada UMNO tidak dipertikaikan tetapi bagaimana pelantikan Ketua Menteri Sabah seperti Yong Teik Lee daripada SAPP sebuah parti kecil dan Chang Kah Kiat (LDP) sebuah parti yang hanya ada dua ADUN sahaja?

Di Pulau Pinang, walaupun UMNO yang memenangi banyak kerusi DUN tetapi parti Gerakan yang diberikan jawatan Ketua Menteri.Bukan sepenggal tetapi berpenggal-penggal lamanya. Tidak pernah berlaku, selepas Gerakan menguasai Pulau Pinang, orang Melayu khususnyua daripada UMNO yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Tun Razak sendiri pernah berjanji akan memberikan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sewaktu usaha penubuhan Barisan Nasional 1973, Adakah ketika itu, Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi `puppet’ pada UMNO? Atau sebaliknya, UMNO menjadi `puppet’ kepada Gerakan? Ini sekadar satu lontaran soalan yang menuntut kajian terperinci sebelum menjawabnya.
Apabila kita meninjau ke peringkat politik antarabangsa, pakatan politik antara Nawaf Sharif yang mengetuai PML (N) ataupun Liga Muslim Pakistan dengan Benazir Bhutto yang memimpin PPP dalam memberikan tekanan politik ke atas General Musharraf untuk melepaskan kuasanya. Walaupun antara PPP dengan PML (N) mempunyai pertentangan dasar tetapi dalam berhadapan General Musfarraf mereka berpakat. Bahkan pakatan ini sebenarnya melibatkan 33 buah parti politik. Apabila Benazir Bhutto mati terbunuh, pakatan politik itu diteruskan dan Asif Ali Zardari, suami Benazir Bhutto kemungkinan akan dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan dengan sokongan oleh Nawaf Sharif.
Begitu juga ia berlaku di Turki sewaktu Najmuddin Erbakan memimpin parti Refah menang 33.5% dan terpaksa berkongsi dengan parti sekular TPP pimpinan Tansu Ciller yang mendapat 21.1%. Pada tahun 1996, Najmuddin menjadi Perdana Menteri dengan bekerjasama musuh politiknya, Mesut Yilmez (ANAP) dan Tansu Ciller (TPP) untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Terdapat banyak contoh yang boleh diberikan untuk menunjukan terdapat situasi politik yang sama dalam sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi berpilihanraya.

India sebuah negara demokrasi terbesar dunia juga mengalami beberapa pakatan politik untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Selepas India National Congress hilang dominasi pada 1980 kepada Bharitiya Janata Party (BJP), Parti Komunis India dan beberapa parti kecil lain, Janata telah bergabung dengan barisan parti kiri untuk membentuk kerajaan. Namun kerajaan itu hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja. Pada 1998, Janata menubuhkan pakatan politik lain National Democratic Alliance (NDA) dan dapat bertahan sehingga sepenggal. Pada tahun 2004, Parti Kongress menguasai Lok Sabha (Parliment India) selepas mewujudkan pakatan politik United Progressive Alliance (UPA) yang terdiri daripada parti yang menentang NDA pimpinan parti Janata.

Pakatan politik ataupun kerajaan campuran yang dibentuk di Pakistan, India, Turki atau di kebanyakan negara bermula selepas ketiadaan parti benar-benar menguasai parlimen. Sebelum pilihanraya berlangsung, kebiasaannya parti-parti pembangkang tidak berpakat secara rasmi mereka berpakat secara tidak langsung seperti yang pernah dilakukan antara Parti Negara dengan PAS dalam pilihanraya 1959. PAS secara dasarnya bersetuju untuk memberi laluan kepada Parti Negara bertanding di beberapa kawasan tertentu. Dato’ Onn Jaafar berusaha mengajak PAS bersatu dalam satu pakatan politik dalam menentang Perikatan tetapi Dr. Burhanuddin al Helmy yang memimpin PAS berpendirian kaedah itu tidak perlu pada waktu itu.

Kerjasama ataupun pembentukan kerajaan campuran dan pelantikan Ketua Menteri atau Menteri Besarnya terdiri daripada parti yang minoriti samada dalam kes Gerakan di Pulau Pinang, PAS di Perak atau LDP di Sabah berlaku atas semangat kerjasama dan perkongsian kuasa untuk memerintah negeri. Oleh itu, samada DAP-PKR-PAS ataupun BN di Sabah (dulu), PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang, mereka terpaksa mencari satu landasan yang boleh mereka duduk bersama. Sekiranya, setiap parti begitu ghairah untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya dan melupakan kepentingan parti komponen lain, ia akan menyebabkan perikatan dan kerjasama terlerai dan mungkin menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan. Sesungguhnya, kefahaman masyarakat terhadap konsep kerajaan campuran masih terlalu cetek dan mudah terpengaruh dengan putar belit yang sengaja diwujudkan.

Di tanahair kita, konsep pembentukan kerajaan campuran pertama kali dipraktikkan sewaktu pilihanraya kerajaan tempatan 1955 apabila UMNO berpakat dengan MCA dengan mewujudkan Perikatan untuk bertanding dengan parti-parti lain seperti IMF pimpinan Dato’ Onn Jaafar, MIC pimpinan dan PAS pimpinan Hj. Ahmad Fuad Hassan. Parti-parti pembangkang tidak pernah berpakat secara formal untuk mewujudkan satu barisan pembangkang yang kuat. Mereka hanya berpakat secara tidak langsung dan menggunakan manifesto dan symbol masing-masing. Meskipun begitu wujud juga pakatan pembangkang yang kuat seperti Barisan Rakyat(Sosialist Front) tahun 60an, Angkatan Perpaduan Ummah (90an) dan terkini Barisan Alternatif. Namun kesemua pakatan itu tidak membentuk satu kerjasama yang bersifat formal seperti Barisan Nasional. Ini mungkin kerana Barisan Alternatif tidak mempunyai kuasa politik yang sepenuhnya. Proses ke arah itu mungkin sedang berjalan berdasarkan percapaian pilihanraya 2008 baru-baru ini. Sudah ada satu percikan kepada pemikiran baru di kalangan pimpinan parti pembangkang untuk meneroka satu eksperiment politik tanahair. Kita saksikan nanti!

No comments: