Gambar: Aku, Misbah, Hj. Nizar, Hj. Aris di lembah yang ditenggelami air Selat Melaka kerana benting yang pecah. Teringat pada kisah budak kecil dengan tembok negeri Belanda. Ko tau ke cite tu?
(Doa itu senjata mukmin. Kami yang jauh ini sekadar mendoakan. Doa musafir katanya dimakbulkan. Seperti doa orang yang dizalimi. Kami yang jauh sekadar mendengar khabar, dan sesekali sekadar ingin mengingatkan.)
Keadaan politik tanahair masih tidak menentu. Walaupun isu pelantikan MB samada di pihak BN ataupun BA & DAP sudah sampai penghujungnya kecuali di Terengganu yang masih mencari jalan penyelesaiannya. Pelantikan barisan kabinet dinamik oleh PM Malaysia terus menyambung kegusaran politik tanahair. Pelantikan dan pengguguran beberapa pemimpin terus mengundang polemik yang tak berkesudahan. Dari Perlis hingga ke Sabah, yang telah dilantik menolak jawatan, yang berjawatan bertindak melepaskan. Dan bermacam-macam adegan politik yang boleh kita saksikan. Akhbar di Malaysia mungkin laris sekali.
Ku Li sudah bersedia untuk mengambil alih kedudukan Pak Lah sebagai Presiden UMNO. Tentu sekali Najib tidak akan berdiam diri orang lain memotong tripnya. Khairi yang selama ini berdiam diripun akan bangkit. Saya tidak berhasrat menghuraikan satu persatu apa yang telah berlaku di dalam UMNO dan BN sendiri.
Ringkasnya, UMNO dan BN sedang menuju jalan perbalahan, krisis dalaman yang memungkinkan perpecahan berlaku. Itu mungkin. Mungkin tidak jika barisan kepimpinan dan pengurusan parti dapat mengawal dengan baik samada oleh nakhoda dan anak-anak kapal. Inilah fenomena apabila sebuah parti yang sukar dicabar dan berdiri kukuh dalam takhta kerajaan selama lebih 50 tahun menghadapi saat-saat kehilangan kuasa. Mereka tidak ada pengalaman kalah dan terkikis kuasa yang begini besar. Meskipun ada juga suara yang mengatakan bahawa UMNO tidak kalah tetapi yang kalah adalah MCA, MIC dan juga Gerakan. Itu sekadar ungkapan helah bela diri yang tidak membantu mereka.
Cuba bayangkan bagaimana lagak buaya yang kena tembak atau harimau yang terluka? Mereka akan mengamuk, hilang pertimbangan dan mungkin akan membunuh sebelum terbunuh!
Keadaan yang hampir serupa apabila BA dan DAP memperolehi kuasa melalui sistem pilihanraya. Ia tidak pernah berlaku di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Meskipun keputusan pilihanraya 1969 keadaannya hampir-hampir berlaku tetapi Perikatan masih mampu mengawal kondisi kuasa mereka. Pun demikian, PAS dan Gerakan bertukar alih daripada sebagai parti pembangkang menjadi parti komponan kerajaan dan membentuk kerajaan campuran. Itu perubahan yang besar. Itu sejarahnya politik.
Ketika negeri-negeri yang dikuasai BA dan DAP ke arah pembentukan kerajaan negeri, terlalu banyak khabar angin dan khabar api yang kedengaran – hingga ke UK! Beberapa pimpinan BA dan DAP sebahagiannya mungkin seperti kehilangan arah ataupun masih terkejut dan terpaksa bersedia. UMNO dan BN pun khabarnya sudah berusaha membuat perundingan dan tawaran yang memungkinkan kuasa mereka dapat diteruskan. Ketika inilah episod yang benar-benar menguji kesetiaan dalam perjuangan. Rundingan sulit, kunjungan hormat, kenyataan provokasi, pembatalan persetujuan dan sebagainya memang mengecutkan hati rakyat. Penyokong dan pemimpin BA dan DAP mungkin sudah mula berkira-kira tentang keuntungan yang bakal diperolehi melalui jawatan politik, projek dan juga sebagainya. Golongan yang ingin mengambil kesempatan mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Masing-masing mula mengistiharkan diri sebagai penyokong BA dan DAP. Memang perlu diraikan semua ini. Jangan bersikap sombong dan ingin berbalas dendam.
Pemimpin dan penyokong PAS yang sudah biasa kehidupan susah, jika tidak kena tarbiah yang mantap, mungkin kecundang berhadapan cabaran kemewahan kuasa, status dan harta. Perasaan busuk dalam diri seperti cemburu, irihati dan hasad dengki perlu diawasi daripada menjangkiti diri pemimpin dan penyokong PAS. Pengalaman PAS memerintah di Terengganu pada 1959 dan 1999 perlu ditelaah kembali. Mengapa kerajaan PAS boleh jatuh dalam masa yang singkat. Meskipun ada alasan tentang kehadiran pengundi hantu, tawaran wang yang banyak dan.......semua itu sekadar satu alasan luar. Alasan dalamannya adalah cemburu di kalangan pemimpin dan ahli PAS ketika itu. Begitu juga pengalaman PAS memerintah Kelantan 1959 – 1978 dan 1999 – 2008 juga perlu difikirkan sekali. Rasanya tak perlu dihuraikan panjang di sini. Bak kata Raja Lawak, Nabil - Lu fikirlah sendiri!
Ketepikan soal BN dan UMNO, kuasa yang ada sudah dijadikan sebagai sumber pendapatan peribadi, parti dan keluarga sendiri. Rakyat sekadar mendapat mimpi di siang hari. Rakyat terus tidur dibuai selagai kuasa ada pada mereka. Hari ini, rakyat terjaga – tetapi masih terpinga-pinga. Fikiran belum jitu. Masih mamai.
PAS, PKR, DAP yang telah berkuasa - jangan berpecah, jangan berundur, jangan sombong meskipun rakyat masih tidur!
Maaf, saya selalu prejudis pada fungsi rakyat dalam membuat perubahan. Sekali fikir - Rakyat hanya sekadar alat! Bangkit tetapi tidak sedar. Bingkas bangun tetapi sekadar untuk ke bilik air! Cittt!
No comments:
Post a Comment