...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 1 April 2008

Diskusi Pasca PRU12 di Manchester

Hujung minggu ini kami sekeluarga pergi ke Manchester. Kali terakhir kami ke Manchester pada tahun lalu selepas bertemu dengan YB. Salahuddin Ayub di Doncaster. Berjumpa dengan orang politik tentulah menu utamanya adalah rencah politik bersambal tumis masa depan negara. Biasalah. Jika duduk dengan sang penyair, habis dibuai mimpi yang mengasyikkan. Jika bersembang dengan sang pemikir. alamat otak habis digerudinya. Aku teringat sewaktu bersarapan pagi dengan SN A. Samad Said di Teluk Intan bila berbincang soal politik. `Jadi...saudara ini kiri atau kanan?' Aku ketawa kecil soalan Pak Samad kerana soalan itu benar-benar memerangkap aku pada politik kelas. Aku langsung menjawab ringkas, ' Antara kiri dan kanan, Pak' Entahlah, Pak Samad faham atau tidak maksud aku. Tapi dia hanya tersenyum meski kumisnya menutupi bibirnya.


Petang sabtu itu sampai, malam itu rakan-rakan di Manchester mengadakan satu sesi diskusi tentang Pasca Pilihanraya ke 12. Mereka meminta untuk aku memulakan satu pembentangan mukadimah diskusi. Kira-kira 20 orang yang terdiri daripada mereka yang sedang menyiapkan PhD, pebagai latarbelakang pemikiran politik dan yang bekerja di situ hadir dalam majlis itu. "orang UMNO ada, PAS pun ada. yang tak berpartipun ada" Raja berikan maklumat awal tentang siapa yang datang malam itu. Bukan senang dapat kesempatan bercakap dengan teknokrat dan intelektual Melayu di sini. "Seronok juga kalau UMNO-PAS berkumpul begini" Aku sekadar teringatkan keadaan ini sukar berlaku di kebanyakan tempat di tanahair. UMNO-PAS bergaduh sehingga bermati-matian!


Ramai merasa sangsi dengan masa depan orang Melayu-Islam terutama di bawah pemerintahan kerajaan campuran di Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Mereka yakin bahawa kerajaan di Kelantan dan Kedah mempunyai komitmen tinggi terhadap masa hadapan orang Melayu-Islam. Itu antara gambaran yang aku terima awal.


Anggapan bahawa DAP akan men`singapura'kan Pulau Pinang, MB Perak sekadar `puppet' pada DAP dan pakatan rapuh PKR-DAP-PAS di Selangor memang mempunyai asas yang kuat. Rata-rata hampir senada akan kebimbangan ini. "Habis tu, aku nak cakap apa?" Akupun seakan malas hendak berdebat pada soal-soal masa hadapan yang tak menentu. Memang sukar untuk menongkah arus. UMNO/BN sebagai pelindung kepentingan Melayu sebenarnya satu metos yang sukar untuk dipecahkan kerana doktrinisasi ini berlaku sejak merdeka. "Sebab tu, kita ajak abang datang sini bincang....." Tawaran itu ternyata menguji intelektual aku sendiri.

Sebelum acara diskusi bermula. Agenda makan malam dimulakan dengan bacaan alfatihah masing-masing. Ayam masak kicap, tumis sayur dan sambal goreng Jawa (ahh ini kegemaran aku!) memang menyelerakan sekali. Bukan senang nak dapat tauhu goreng di UK. Di Manchester memang banyak makanan Asia berbanding tempat aku tinggal di Swansea. Hilanglah sedikit kempunan aku pada tauhu goreng. Mula-mula aku sampai di Manchester, aku ingat aku sudah silap tempat! Orang India lebih ramai daripada orang Putih sendiri. Peniaga kat sinipun makan sireh! Chitt!


Musim bunga, siangnya agak panjang. Selepas selesai makan barulah kami berbincang. Selepas itu tuan rumah, Jupri yang berasal dari Sabahpun menjemput aku bercakap. Aku bilang pada mereka `Inilah waktu untuk kita melihat wajah sebenar DAP-PKR dan PAS. Wajah orang yang berkuasa adalah wajah yang sebenar." Dalam sebuah buku James McGregor Burns, seorang pakar tentang kepimpinan menyebut soal definisi kuasa. Apabila A hendakkan kuasa dan dia memerlukan B untuk tujuan tersebut. Maka yang berkuasa ketika itu adalah B. Meskipun A yang memegang kuasa. Aku cuba tamsilkan dengan situasi politik di Perak. Meskipun DAP menang 18 kerusi berbanding PAS yang hanya mendapat 6 kerusi. Oleh kerana DAP-PKR hendak berkuasa, dia tiada pilihan kecuali bersetuju untuk menerima Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak. Ketika itulah, yang berkuasa adalah PAS! Namun PAS Perak tidak boleh menunjukkan 'kuasa' kerana di situ wujud persetujuan bersama dalam menentukan arah pentadbiran dan pengurusan negeri.


Kita terlalu banyak dikuatirkan dengan andaian-andaian yang tak munasabah. Ironinya, jarang di kalangan kita untuk menilai kembali andaian itu. Jika andaian itu sekadar satu ilusi palsu, sangat wajar untuk kita menoleh kembali penilaian yang telah dibuat sebelum ini. Penilaian yang terikat pada angka, andaian dan kebimbangan sepatutnya tidak menjadi keutamaan dalam membuat pertimbangan. Kita terikat dengan angka penguasaan 30% ekuiti kekayaan negara berada pada tangan bumiputera - ternyata angka itu menjadi dogma dalam memperkukuhkan legitimasi pihak berkuasa untuk mengonggong semua khazanah negara ke dalam tembolok masing-masing. Hasilnya, yang lahir daripada DEB adalah kapitalis Melayu yang bersetongkol dengan kapitalis lain demi kelangsungan dominasi ekonomi mereka. Akhirnya, orang Melayu masih lagi merempat di pinggir desa dan di setinggan kota. Seperti Kaduk menang sorak, kalah bersabung.
Terikat pada kouta bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam semacam membentuk satu kelas bumiputera menengah yang gagal keluar daripada lingkaran kapitalis. Dasar-dasar terdahulu meskipun kelihatan membantu bumiputera meningkatkan taraf hidup tetapi hakikatnya ia meletakkan bumiputera pada lingkaran pemikiran yang sempit. Universiti semakin terhakis daya intelektualnya kerana pertimbangan politik sempit lebih diutamakan daripada perkembangan daya intelektual anak muda. Universiti menjadi rumah sembelihan yang membunuh benih-benih intelektual bangsa di masa hadapan. Itu kata Maududi kepada mahasiswa di India suatu ketika dulu. Hakikatnya, universiti yang dimaksudkan mungkin mempunyai persamaan dengan universiti di tanahair. Mereka sekadar melahirkan manusia yang berjentera dan bukan berfikir! Nampak agak ekstrim sekali idea ini. Memang aku harus begitu agar terkocak sedikit pemikiran mereka.
"Ramai di kalangan kelas menengah, tak daftar mengundi" Aku sebut sepintas lalu tapi dari riak muka mereka mungkin ada yang terkena. Nasiblah. Aku tembak pakai peluru penabur tetapi realitinya memang begitu. Yang ghairah nak mengundi adalah rakyat biasa. Inilah kenduri lima atau empat tahun sekali. Meriah kenduri kerana ada tawaran duit, perang poster, ceramah, dan segala aneka macam acara yang menarik. Mereka sanggup tinggalkan kerja di bendang, cuti menoreh getah, ponteng kerja demi kepentingan parti, perjuangan dan duit tambahan. Manakala pensyarah sibuk dengan kertas kerja dan kuliah masing-masing.


Ruang intelektual semakin disempitkan dengan pelaksanaan undang-undang yang membataskan kebebasan rakyat untuk berfikir, mendengar, bercakap dan bertindak. Dasar media perdana yang bersifat `terlalu berlebihan mengajar' telah membentuk satu gelombang kuat pada media alternatif sebagai satu sumber maklumat rakyat. Itik jangan diajar berenang. Burung usah diajar terbang! Taulah mereka nantinya.
"Sebenarnya, UMNO tak bersalah....yang bersalah adalah pemimpin UMNO yang lupa pada asal perjuangan Melayu yang sebenarnya" Kata pensyarah UTM yang berasal daripada Johor. Aku tak sempat nak berkenalan lanjut. Masa terlalu singkat untuk berbual panjang. "Pemimpin UMNO lupa sehingga menyebabkan orang Melayu rugi sendiri." Aku diam untuk memberi peluang dia bercakap lebih jauh. "Saya sebenarnya teringin melihat UMNO-PAS bersatu demi kepentingan agama dan bangsa" rakannya berkumis nipis menjampuk sambil memandang ke arah aku. Aku faham, dia minta aku respon pandangan itu.
"Biarlah UMNO-PAS macam sekarang" Aku ringkaskan pendirian. "Jika UMNO berkuasa - PAS akan menjadi kuasa pengimbang bagi memastikan dasar dan tindakan UMNO menguntungkan bangsa dan agama. Begitulah sebaliknya." Aku sebenarnya agak pasif terhadap pakatan UMNO-PAS kerana sejarah telah membuktikan hal itu tidak praktikal. Cuma PAS-UMNO kena bijak merencana politik masing-masing demi kepentingan Islam. Macam MCA-DAP-Gerakan, politik mereka menarik juga untuk difahami. Politik memang sukar difahami. Aku ambil contoh bagaimana politik Ibrahim Ali dapat survive sehingga sekarang? Entah berapa parti dan pemimpin dia lompat? Tapi itulah seninya politik. Orang biasa kata, dia tak ada prinsip. Tapi itulah prinsip orang politik! Kalau tak berminat pada politik......jadilah pensyarah biasa! Entah siapa yang membuat kesimpulan begitu malam itu. Aku terlupa.
Tidak dinafikan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1970-1990) dan disambung dengan Dasar Pembangunan Negara secara tidak langsung telah melahirkan kelompok kelas manusia yang kritis, bebas daripada kekangan ekonomi, politik dan sosial tradisi. Mereka membentuk satu persepsi baru meskipun agak lambat kerana kekangan sumber dan tekanan kuasa politik. Aku mungkin adalah sebahagian daripada hasil DEB. Ketika aku masuk UM, aku tinggal sebilik dengan mahasiswa Cina di Kolej Pertama. Dia ditawarkan ke Fakulti Ekonomi kerana keputusasn STPM dalam matapelajaran Ekonominya dapat A. Akupun ditawarkan ambil Ekonomi di Fakulti Ekonomi. Dia kata aku dapat kerana aku Melayu! Berangin sungguh time tu!
Malam itu bertambah hangat dengan perbincangan. Masing-masing menyuarakan pandangan. Mungkin inilah waktu mereka meluahkan rasa ketidakpuashatian terhadap politik semasa. Entah siapa yang harus disalahkan. Itu memang tak penting. Yang lebih utama, bagaimana peranan kita sebagai `teknokrat dan intelektual' untuk membangunkan negara dan ummah. Itu lebih penting dari sekadar menunding jari sebagai punca kelemahan bangsa. Malam itu, panas bukan kerana mereka berdebat tetapi berpakat mencari jalan penyelesaiannya. Kami bersurai tapi kerja kita belum selesai.

No comments: