1. Melihat tentera Pasai yang seramai 120 000 sedangkan tentera Melaka hanya 20 000, Laksamana Hang Tuah dan Siri Bija Diraja mengajak Tun Mat anak Tun Perak yang bernama Tun Pikrama Wira pulang ke Melaka.
2. Tun Pikrama Wira mencadangkan agar satu lagi peluang dimanfaatkan. Pilihanraya kecil di Pasai akan dibuat selepas lima pilihanraya mereka dapat ditewaskan oleh tentera Pasai yang gagah.
3. Menunggu matahari terbit, Bendahara Paduka Raja menyurun menanak nasi untuk makanan esok sebelum turun ke medan pertempuran. Bendahara meminta kepada segala Orang Kaya (Aristokrat Melaka), untuk makan sedaun dengan hulubalang rakyat biasa. Mana Orang Kaya yang berdatang perang dengan menaiki bot mewah diminta menaiki kapal yang sama dengan hulubalang rakyat biasa. Lalu, semua Orang Kaya Melaka menyimpan seluruh bot mewah mereka. Mereka berkumpul di dalam Kapal Petala Wala yang dibina oleh tukang kapal dari Melaka. Malam itu, berwirid dan bertahajud semua Orang Kaya dan hulubalang. Adapun, kebanyakan Orang Kaya menungang nunging di dalam keadaan sangat mengantuk.
4. Esoknya, setelah sudah makan pagi, segala Orang Kaya dan hulubalang mereka naik ke darat melanggar Pasai hingga gemuruh bunyi bahana hulubalang berjalan dan berpercikan cahaya dari sinar senjata. Maka bertempurlah tentera Melaka dengan Pasai dan berbunuhan sesama bangsa serumpun mereka demi memuaskan hati dan mengukuhkan kuasa Sultan masing-masing. Adapun sesetengah Orang Kaya yang mengantuk, tiadalah akal di atas hatinya. Lalu mereka mengamuk membunuh tentera Pasai tiada terhitung banyaknya. Sesetengah Orang Kaya tidak sedar akan bila dia sudah mati kerana terlalu mengantuk. Lalu meracau yang bukan-bukan dari mulutnya sebelum mati.
5. Saat pertempuran sangat hebat. Berhamburan fitnah dan kutukan melimpah bagai air sungai selepas hujan lebat. Tiada lagi siapa yang mengelih-gelih ke belakang melainkan yakin pada keris dan lembing di tangan. Berkata Nina Ishak pada Tun Pikrama, `Orang Kaya, bagaimana kita bertahan, hanya tiga orang ini. Segala orang kita yang lari. Tentera Pasai sudah guna tv dan radio untuk melemahkan hulubalang kita. Baik kita bacakan qunut nazilah agar Allah s.w.t. mendatangkan bala pada tentera Pasai dan dimenangkan untuk kita.'
6. Setelah menang, Sultan Zainal Abidin lupalah akan dirinya. Angkuh dihadapan Bendahara Paduka Raja. Lalu, ditinggalkan Sultan Zainal menabal diri selepas menang tipis dalam Pilihanraya kecil itu. Tidak lama sepeninggalan itu, rakyat Pasai bangun memberontak dan menjatuhkan baginda daripada takhta. Khabarnya, Bendahara Paduka Raja tidak mahu merajakan orang yang sombong dan lupa diri itu.
7. Sekembalinya ke Melaka, amat murkalah Sultan Mansur Syah pada Bendahara Paduka Raja. Tiga hari, tiga malam tuanku menutup telefonnya dari dihubungi Bendahara Paduka Raja. Lalu, Laksamana Hang Tuah bersembah jahat pada Tuanku akan perilaku Bendahara.
8. Ketika Sultan Mansur Syah menyuruh Bendahara datang mengadap. Maka diceritakan peri baiknya Laksamana Hang Tuah. Maka hairanlah Tuanku mendengar khabar itu. Tiada setitis khabar jahat diberikan. Dianugerahkan sepersalinan pakaian kerajaan akan Bendahara Paduka Raja oleh baginda. Manakala Tun Pikrama, Hang Isap, Tun Hamzah dan Nina Ishak dikurniakan persalinan kerajaan dan juga diberi gelaran keutamaan. Sedang Pulau Buru dianugerahkan kepada Tun Pikrama untuk mengenang jasa menyiahkan orang Pasai.
9. Setelah itu, Sultan Mansur Syah berangkat masuk untuk menyambung peraduannya yang terganggu. Sedangkan Orang Kaya Melaka tersangat gembira dengan kurnia baginda.
...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
1 comment:
nak sokong melaka kah pasai?
dua-dua muslim, tapi mana satu yang tunduk kepada khalifah?
Post a Comment