...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday, 5 June 2008

Time Rakyat Naik Minyak!

Aku tak mau ulas tentang sebab dan kesan kenaikan harga petroleum di tanahair. Banyak yang pro-kontra keputusan tersebut. Semua ada hujah. Seorang ahli ekonomi akan menggunakan angka bagi membuktikan hujah mereka. Bagi ahli politik, mudah sahaja. Susunkan kata-kata yang membakar emosi dan tenggelamkan kelojikan - insyaAllah boleh dikira mashyuk.
Cuma yang aku nak tulis kat sini adalah; bagaimana kalau kita naik minyak sama-sama swaktu getir begini. Kita berarak ke jalan raya, padang dan parlimen. Kita bakar jiwa dan akal kita beramai-ramai. Biar api emosi itu membakar. Api dalam sekam sudah terbongkar. Lupakan tangisan Batu Putih atau Pulau Pisang. Lupakan sengketa Grand Saga dengan penduduk tempatan. Kita fokus pada hantu baru. Maut baru buat sang penguasa. Maut juga untuk kita.
Sewaktu ahli parlimen Borneo berangan-angan untuk menyeberang ke Putrajaya bersama bot panjang bikinan Anwar Ibrahim dan rakyat masih asyik berkenduri dengan kemenangan pilihanraya di negeri Pakatan Rakyat - ada lagi satu temasya kemarahan rakyat secara mega akan berlaku. Inilah waktu menjadi hero jadi-jadian. Yang mungkin akan menjadikan seseorang itu hero sebenarnya. Spiderman, Superman boleh bermula daripada sekarang.
Aku belum terlupa akan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Marah Mahathir pada nyamuk hingga dibakar kelambunya. UMNO semakin nazak. PKR mula mengidam makan besar. DAP ambil peluang. PAS tunggu dan lihat. Rakyat memang sejak awal lagi kebingungan. Mahasiswa dan intelektual - bijak tak boleh dikongsi. Saudagar terus menyimpan syiling emas dalam perut masing-masing. Ulama mula mencari payung kebesaran untuk membuka kitab hukum.
Jalan kemusnahan dan anarki di tanahair semakin hampir.
Aku mula risau untuk pulang ke tanahair. Apa yang perlu kubawa nanti di tanahair? Buku revolusi `What Is To Be Done?' Lenin atau Che Guevara. Atau kitab al Mawardi. Buku 'Thriving on Chaos' tak sempat kubaca habis.
Atau kupilih sahaja hidup dalam buangan?
Aku tak pernah rasai apa makna ungkapan `hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri'. Agak nasionalis ungkapan itu. Terasa bersalahan dengan kata hikmah Jamaluddin Afghani yang kembaranya merentas benua. Tapi teringat pula kata-kata Burhanuddin al Helmy, di bawah robohan Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka.
Ah, harga minyak benar-benar membuatkan aku merepek-repek hari ini. Anarki hari ini.

1 comment:

Anonymous said...

kemarahan rakyat yang tertindas dan terdesak tak dapat dielak..jadi,lebih baik kemarahan diatur secara terancang..PROTES..
dari menunggu kemarahan meletup seperti big bang atau tsunami yang takkan boleh dikawal.. hanya kerana kita kononnya rasional..