...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 28 May 2008

Akhirnya Ezam pergi jua......


Terlalu banyak kenangan antara kami berdua. Bermula mengenali Ezam dari jauh dan akhirnya aku ucapkan selamat berjuang dari kejauhan juga. Beberapa bulan lalu, Ezam datang ke Bristol tetapi tak sempat nak hubunginya. Minggu lepas, teman aku yang menerima sms dari Ezam bilang bahawa hampir final dia akan masuk UMNO. Akhirnya, Ezam bersamalah dengan Hamdan Taha, Lokman Adam, Roslan Kasim, Hanafian Man, Zahid Mat Arif, dan lain-lain yang lebih awal masuk ke dalam UMNO.

Era reformasi benar-benar membentuk keupayaan aku melewati garis politik kepartian yang lebih luas. Aku tak pernah memuja Anwar Ibrahim walaupun aku tetap simpati musibah yang dihadapinya sewaktu krisisnya dengan Mahathir memuncak dulu. Aku memang akrab dengan pimpinan pemuda KeADILan terutama di peringkat negeri Perak seperti Mustafa Kamil Ayub, Hanafiah Man, Zulhelmi Yahya, Azman Marjohan, Muzaffar dan sebagainya. Mungkin kerana aku kena lokap sewaktu era reformasi dan seakan ia menjadikan kami semacam `sehaluan'.

Akhirnya, jiwa anak muda aku tidak pernah duduk diam. Bangun memberontak. Lawan tetap lawan. Hinggalah tertangkap dan dilokap. Kerap juga Ezam datang berceramah ke Pasir Salak, wilayah siasah aku. Tempat inilah yang menjadi pilihan untuk Ezam dan rakan-rakannya melancarkan `Sumpah Keramat' Pemuda KeADILan. Berdegar-degar malam itu. Lepas itu, berkali-kali Ezam ke tempat kami. Makan dan ceramah bersama. Berhadapan dengan polis dan FRU Daerah Teluk Intan dan Parit berkali-kali sehinggalah aku dan beberapa teman-teman ditahan semalaman di Balai Polis. Semua ini menjadikan aku lebih nekad dalam politik.

Akhir sekali, kucatat kembali `nasihat’ yang pernah ditulis Ezam kepada aku dan rakan-rakan kami sewaktu di Sel Balai Polis Cheras. Nota itu dikirimkan pada Gobalakrishnan. yang sekarang menjadi Ahli Parlimen Padang Serai.

` Saudara2 pejuang Reformasi yang
saya kasihi sekalian.

Syabas di atas keberanian sdr.2
untuk terus bangkit menentang kezaliman
walaupun ditekan, diugut oleh
pemerintah yang gelabah dan rasuah.
Keadilan tidak akan datang
dengan percuma. Hari ini kita
membayar harganya. Ianya sedikit
memedihkan tetapi percayalah ianya
akan dikenang di dalam sejarah
perjuangan generasi baru menuntut
kemerdekaan hakiki kali kedua
untuk negara dan rakyat.

REFORMASI!

Ezam M. Noor
19 April 2000 IPK, KL.


Apapun, ukhuwah kita jangan lupa. Perjuangan mesti diteruskan.

1 comment:

Anonymous said...

abang Muhaimin,

Diawal waktu keluarnya kenyataan akhbar tentang kemasukan Ezam ke dalam UMNO, saya cukup terkejut. Saya ikuti ceramah-ceramah Ezam yang ada dalam YouTube dengan dekat. Ezam punya masa depan yang cukup cerah di barisan alternatif. Penuh semangat, berupaya membakar jiwa orang muda! Maka perkataan "mengkareerkan politik" terpacul dari bibir saya selepas menerima berita tersebut.

Akan tetapi saya ambil peluang untuk fikir kembali. Andainya Ezam cuba untuk mewudhu'kan UMNO dikala parti itu mencari-cari halatuju, bagus juga. UMNO makin lama makin bersih. Makin lama makin terserlah. Kalau ini berlaku, barulah PAS punya saingan yang hebat (dibarisan BN)!

Orang muda, cucuh sikit, mengamuk!