...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday, 12 May 2008

Ya Allah, terimalah doa kami ini




Hujung minggu ini, kami mengadakan solat hajat dan doa selamat di Swansea University Mosque. Solat hajat diimamkan Ustaz Zuhdi Marzuki dan bacaan surah Yasin dan doa selamat dikendalikan oleh Ustaz Abdul Halim. Terima kasih kepada rakan-rakan dari Swansea, Lampeter, Cardiff dan Bristol yang hadir dan memberikan sokongan kepada hasrat kami untuk melihat ayahanda kami berada di dalam keadaan sihat walafiat. Terima kasih juga, kepada rakan-rakan yang turut sudi menyumbangkan juadah makanan untuk jamuan. Mereka datang untuk berdoa dan bersolat hajat berjamaah. Jauh sekali untuk menjamah selera saat ayahanda kami kian hilang selera makan. Mereka boleh berdoa di tempat mereka, mereka boleh solat hajat berjamaah di rumah mereka tetapi mereka memilih untuk bersama dengan kami di saat begini.


Majlis ini juga mendoakan kesihatan bonda kepada rakan kami di Swansea, Mohd. Padzli Abdul Aziz yang mengalami penyakit misteri. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa kita semua. Amin.


Khamis lepas, doktor di Teluk Intan telah mengesahkan bahawa ayahanda kami menghidap kanser usus besar. Beliau perlu ke Hospital Selayang untuk kimoterapi walaupun kami masih berfikiran sebaliknya dan mendapatkan pandangan daripada sahabat-sahabat lain. Kami sekeluarga berbincang. Dan kami juga mencari dan meminta pandangan daripada sahabat-sahabat lain. Dulu, kami selalu dengar tentang kanser. Entah beribu kali kami baca dan dengar tentang kanser. Kini, kami sendiri merasai apa itu kanser. Sesuatu yang biasa di keliling kami kini benar-benar berada di hadapan kami.



Terasa betapa di saat-saat begini doa dari kejauhan ini sangat bererti bagi kami yang mungkin tak berupaya jauh lebih daripada itu. Memang, hujung bulan Jun kami sekeluarga akan pulang ke Malaysia. Tujuan asal adalah sekadar untuk menziarahi keluarga serta mengumpul data di tanahair sebagai memenuhi keperluan kajian Phd. Tetapi kini, tujuan utama kami untuk pulang adalah untuk memberikan sokongan moral kepada ayahanda kami agar yakin menghadapi ujian ini. Kami memahami, di saat-saat inilah, ayahanda perlukan sentuhan, bisikan dan senyuman daripada kami. Kami memahami di saat-saat inilah, ayahanda perlukan sokongan daripada semua pihak. Kami memahami di saat-saat inilah, ayahanda inginkan sesuatu lebih daripada yang biasa. Namun, apakan daya, kami di sini seakan berlari tanpa kaki.

Apabila berkumpul begini - kami bercerita dan bersembang tentang penyakit yang boleh disembuh dengan pelbagai kaedah perubatan moden, terapi dan alternatif. Kami bercakap soal penyakit dari konteks yang positif. Kami berbicara dari soal ubat hinggalah kepada soal kekuasaan Allah s.w.t. Inilah yang menjadikan kami bersemangat mengadapi saat-saat begini. Mungkin kerana kami mengadakan program itu dalam rumah Allah - berkatnya rumah Allah menjalar dari kotak fikiran hingga ke perut. Kami isi dengan dengan kalimah-kalimah yang positif dan terus mengikat diri kita dengan kekuasaan Allah s.w.t. yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Inilah yang akan kami ceritakan pada ayahanda dan keluarga di kampong. Kami tidak sekadar berdoa, solat hajat, membaca surah yasin, kami juga memanjangkan impian bersama untuk melihat penyakit itu pergi dan disembuhkan segala macam bala musibah yang menimpa. Inilah yang perlu kami kongsi sama.

Apabila Aidil dan Syafik memeluk aku - dapat rasakan betapa pelukan itu sebenarnya memberikan semangat baru kepada kami. Inipun kami akan ceritakan pada keluarga. Berilah pelukan semangat pada ayahanda. Ini satu terapi yang hebat. Nampak mudah tetapi itulah hakikatnya. Begitu juga cerita Zuhdi, Razaliegh, Halim, Razak, Nor dan lain-lain seakan memberi ruang yang luas kepada ayahanda kami untuk berikhtiar. Memang ikhtiar adalah kerja kita. Namun ikhtiar itu bermula daripada ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman.












No comments: