Sewaktu terlantar beginilah, seorang bapa memang sangat memerlukan sokongan dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Sewaktu beginilah yang benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kami yang berada di perantauan. Namun apakan daya. Kami tidak putus-putus mendoakan agar kesejahteraan dan kekuatan diberikan kepada ayahanda kami. Kami tidak putus harap untuk meminta rakan-rakan lain memanjangkan jua doa mereka sama untuk ayahanda kami.
Selepas pilihanraya lepas dan PR membentuk kerajaan di Perak, ayahanda kami memang teruja sekali untuk berjumpa dengan MB Perak. Waktu itu, ayahanda kami masih mampu untuk cuba hadir majlis keraian parti di Teluk Intan yang dijadualkan MB turun. Sayangnya, waktu itu MB hanya mewakilkan Setiausaha Politiknya, Ust. Misbahul Munir untuk hadir. Ayahanda kami hanya mampu menunggu di dalam kereta. Barangkali ayahanda kami menahan sakitnya itu. Keuzuran ayahanda kami semakin bertambah. Sakitnya semacam memeritkan hingga terpaksa tinggal di hospital Teluk Intan selama dua minggu. Beberapa minggu lepas, doktor mengesahkan bahawa ayahanda kami mengidap kanser usus besar. Pelbagai cadangan rawatan dari doktor dan juga kawan-kawan. Terima kasih atas keprihatinan itu semua.
Kini, ayahanda kami berubat secara perubatan alternatif di samping menanti jadual pemeriksaan lanjut daripada pihak hospital. Ramai saudara-mara, sahabat handai serta anak murid ayahanda datang berziarah. Datang memberi sempati dan hadir bersama semangat. Sesekali ayahanda kami segar. Muka pucatnya seolah-olah kembali merah segar.
Sewaktu ayahanda kami ke Ipoh untuk rawatan lanjut. Hatinya bersemangat untuk melihat bangunan Kompleks Darul Ridzuan - pejabat MB. Ayahanda kami cukup berbangga kerana MB Perak adalah dari kalangan pimpinan PAS. Lebih-lebih lagi, Hj. Mohd. Nizar yang tersedia ramah dan bersemangat yang menjadi MB Perak. Terasa masalah Sekolah Agama Rakyat di Perak akan menemui jalan penyelesaiannya. Ayahanda kami sering mengharapkan agar kerajaan sedia ada memikirkan semula untuk membantu Sekolah Agama Rakyat di Perak yang semakin uzur dan kritikal. Kadangkala, ayahanda kami terlupa bahawa kesihatan ayahanda sendiri juga yang uzur. Memanglah, Sekolah Agama Rakyat di Perak sudah bertahun melalui waktu yang kritikal.
Deringan handset 2 pagi Jumaat memang mengejutkan. Waktu itu aku sedang berehat di tempat kerja. Mengejutkan kerana panggilan itu dari tanahair. Adik aku bilang, MB mau bercakap dengan aku. Rupa-rupanya Hj. Nizar Jamaluddin bersama rombongannya (Ust Misbah dan Amran- Pegawai Khas MB dan lain-lain) datang menziarahi ayahanda kami. Jazakallah khairan khathira. Sesungguhnya kunjungan itu benar-benar memberikan kekuatan kepada ayahanda kami. Apa tidaknya, setelah berminggu-minggu ayahanda kami tak berupaya ke masjid untuk solat Jumaat, kali ini ayahanda kami mampu untuk datang solat Jumaat.
Tangisan terharu ayahanda kami pagi itu, rupa-rupanya satu penyuntik pada semangat untuk melawan kanser. Ziarah syifa' itu satu terapi dan rawatan yang menyembuhkan! Kira-kira 40 minit ziarah itu sebenarnya membuktikan bahawa ayahanda kami mampu melawan kanser itu. Tiba-tiba sahaja ada kekuatan yang lahir dari jiwa ayahanda kami. Pelukan Hj. Nizar pada ayahanda benar-benar merangsang kehidupan ayahanda kami. Bacaan doa Hj. Nizar yang diaminkan oleh keluarga kami serta orang kampung yang datang akan mengetuk pintu langit. Ya Allah kabulkan doa kami!
Waktu-waktu beginilah, kami terasa benar bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Berkuasa.
No comments:
Post a Comment