...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 27 May 2008

Kerana Sekeping Surat?


Akhirnya terlepaslah Pulau Batu Putih kepada Singapura. Bertangis-tangisanlah sesetengah orang. Manakala sang pemimpin negara dan negeri Antah Berantah itu masih lagi berfikiran Pak Pandir kematian anak: Anak orang lain pun mati, Mak Andeh.....


Kata sesetengah sang bijakpandai, penghukuman Mahkamah Antarabangsa itu adalah kerana sekeping surat yang ditandatangani Setiausaha Negeri Antah Berantah itu. Habis dimaki serenah sang pegawai Melayu itu sampai ke tujuh keturunan. Bukan senang time itu, orang Melayu boleh berbahasa orang Puteh. Malang sungguh menjadi pegawai. Benarlah makna pegawai yang diambil daripada perkataan Jawa Majapahit yang bermakna `tukang kerja'. Dia hanya pekerja. Pekerja hanya tahu buat kerja yang disuruh oleh tuannya. Pekerja di zaman kolonial mungkin sama dengan pekerja zaman merdeka. Hakikatnya, mereka sekadar kakitangan kerajaan. Bukan mata hati kerajaan. Otak letak ke tepi. Memang ada kakitangan kerajaan berjiwa macam Laksamana Bentan atau Jebat. Orang besar Maharaja Lela, Dato' Sagor, Mat Kilau juga kakitangan kerajaan. Tapi mereka lawan. Mereka kata bukan derhaka pada Sultan tapi lawan Inggeris.


Sekarang nak bangunkan Pulau Pisang yang mungkin menjadi domino selepas ini. Jangan nanti pisang berbuah dua kali! Antara alasan yang diberikan pada penghukuman itu kerana telah berpuluh-puluh tahun Singapura membangunkan Pulau Batu Putih. Pulau sekangkang penyu itu sudah terlepas tangan. Tanah besar Semenanjung dan Pulau Borneo yang ramai manusia masih lagi dahaga pembangunan - tolong tengok-tengokkanlah beb! Takut diaorang dah tak tahan - jual tanah pada orang asing demi mencari sesuap nasi.


Orang Melayu yang berjaja di Pasar Minggu Kg. Baru Kuala Lumpur merempat di tanah sendiri. Layan macam setinggan bangsat. Itupun kerana sekeping surat daripada DBKL. Yang ditandatangani oleh orang Melayu. Alahai Melayu.


No comments: