Salam kepada semua saudara,
Kerana aku duduk jauh. Memandang siasah Perak bagai tidak ketentuan. Aku hanya boleh menulis secara begini sahaja. Memang kerja menulis ini semua orang boleh buat. Tulis dan publish! Terpulang untuk membaca dan memahaminya. Aku hanya menulis. Menulis sebagai anak muda. Bukan menulis bagi pihak kaum hawa, orang tua atau sang sufi yang bertapa.
Pilihanraya adalah satu cabang daripada sistem demokrasi dalam memilih pemimpin. Aku tidak beriman dengan pilihanraya. Tetapi kaedah itu ada manfaatnya untuk memilih pemimpin oleh rakyat. Sejarah kematangan sistem demokrasi tidak sekadar pada banyaknya jumlah pilihanraya diadakan secara aman. Pilihanraya yang aman berlangsung kerana autokratik pemerintah yang kuat dengan kuasa rakyat yang lemah. Ada yang berlangsung aman kerana tahap kematangan kedua-dua belah pihak yang bertanding.
Pilihanraya yang tegang bukan bermakna tidak demokrasi. Apabila hak rakyat dinafi dan pemerintah hilang wibawa, demokrasi akan lebih terbuka. Rakyat mencabar pemerintah sediada bukan bermakna rakyat kuat tetapi mungkin juga pemerintah hilang keyakinannya. Rasa mulia itu tiba-tiba muncul kepada mereka yang berjuang untuk mempertahankan hak diri dan rakyat. Ini bukan soal agama. Ini soal kemanusiaan yang memang selaras dengan Islam. Mereka akan bangkit untuk memuliakan diri mereka dari terus menjadi bangsat. Mereka bangkit bukan untuk meraih takhta pemerintah atau khazanah negara. Apa yang mereka mahu adalah kemuliaan sebagai manusia.
Saudara,
Bangkit rakyat dan mereka menuju ke jalanraya adalah demokrasi. Bangkit rakyat dan berhimpun secara raksasa adalah demokrasi. Bangkit rakyat dan menyuarakan laungan kemuliaan adalah demokrasi. Demokrasi ini adalah naluri manusia yang sedar. Ini bukan soal demokrasi itu daripada tradisi Yunani tetapi hakikatnya suara rakyat yang ramai bersesuaian dengan roh perjuangan Islam. Bukan jumlahnya yang ramai tetapi faktor yang mendorong mereka beramai-ramai menentang pemerintah korup adalah sesuai dengan Islam. Berkumpul secara berorganisasi adalah Islam. Taat pada ketua yang membawa panji perjuangan adalah Islam. Asal sahaja ketua itu seorang yang ada kepimpinan sebenar bukan sekadar penjawat jawatan tertinggi.
Tidak semua tindakan kita perlu menunggu keputusan Mahkamah, titah Sultan ataupun arahan Polis. Kita ada akal budi yang jauh lebih mulia daripada kasut askar. Taat tidak membabi buta. Menunggu perintah bagai menanti wahyu turun. Kita mulia kerana kita memuliakan diri kita sebagai manusia dan memuliakan manusia lain sebagai manusia. Sebaliknya, kita menjadi hina apabila kita menghina manusia lain dan lebih hina apabila menghina diri sendiri.
Menghina diri sendiri bermakna meletakkan diri sebagai penakut. Memang penakut tidak boleh dihukum. Tetapi penakut akan terhukum dengan ketakutannya itu. Tidak mulia dirinya. Tiada harga dalam dirinya.
Rakyat Perak perlu bangkit. Kalian ada beberapa jam sebelum loceng dibunyikan sebagai tanda tamatnya perhitungan. Ayuh istiharkan pada musuh, kita bangkit bukan bermakna revolusi tetapi memuliakan diri. Kita bangkit bukan membunuh manusia tetapi membenam ketidakmanusiaan. Kita bangkit bukan memutuskan persaudaraan tetapi kita tegakkan kemuliaan.
Selamat Bangkit Rakyat Perak!
Muhaimin Sulam
Swansea, UK.
...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
2 comments:
Pelan2 kita susun perancangan.
Bila hukuman mahkamah jadi cacamerba...bila hakim di pengaruhi penguasa...
Rakyat Perak memang sayang negerinya dari di permain2kan...
Bila kesabaran dah sampai hadnya...
mob rules doktrin yahudi akan digagalkan Allah di bumi Malaysia
Post a Comment