...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday, 9 April 2008

Eros, Fahd Razy dan Anak Muda Melayu Dublin


Jemputan GLKN dan MASAI ke Dublin hujung minggu ini menemukan aku dengan anak-anak muda seperti Afik (Eros) dengan rakan-rakannya dan Fahd Razy. Sebagai anak muda, aku cuba memahami dunia mereka meski itulah pertama kali aku bertemu dengan mereka berdua. Sebagai anak muda, idealisme cuba dinyatakan dalam pelbagai bentuk – muzik, teater, puisi dan juga lagu. Menarik sekali. Tentu sekali aku kagum dengan kesungguhan mereka mengimbangi idealisme mereka dengan komitmen mereka dengan pengajian perubatan yang tentu sekali sendat dengan jadual. Saudara Fahd Razy berikan buku himpunan puisi Al Andalus Menangis. Aku fikir lain kali jangan beri percuma buku seperti ini. Industri buku kita tak menggalakkan kerana penulis asyik memberi buku percuma kepada rakan-rakannya. Mana nak dapat untung! Namun, terima kasih saudara Fahd Razy kerana pemberian buku itu. Gambar: Aku dan Fahd Razy.

Antologi puisi GLKN habis kubaca berkali-kali sepanjang perjalanan pulang dari Dublin ke Swansea. Habis kuconteng-conteng buku itu. Itu memang cara aku membaca buku. Menggaris, menconteng, melukis dan menulis di ruang yang kosong. Aku terasa tercabar sekali bila membaca barisan penyair yang rata-rata hampir sebaya dengan usia anak aku bersungguh menulis dan membukukan karya mereka. Mengurus karya rakan seangkatan dan mewujudkan jaringan seluruh dunia. Ahhh…. Memang hebat anak-anak muda ini. Dari Tokyo hingga ke Australia, dari Rusia hingga ke Tanah Arab. GLKN nampaknya boleh dianggap jaringan penyair Melayu yang popular. Dalam bab ini, kita seharusnya angkat tabik spring pada Fahd Razy dan rakan-rakannya.

Sekurang-kurangnya aku tumpang gembira biarpun barangkali aku adalah yang paling senior di kalangan mereka dari segi usia. Aku bukan terlewat tapi tak sempat!

Sajak `Berteduh di bawah Hujan’ karya Assyaffa menarik kerana tajuk itu sendiri mengundang makna yang cukup luas. Manakala Ainun Nazrin KZ bereksperimen dengan sajak ringkas. Walaupun sepatutnya sajak-sajak pendek ini padat tapi nampaknya Ainun memilih kata-kata yang mudah, seperti sajak `Pimpin’. Aku mula menyukai sajak-sajak pendek untuk dideklamasikan kerana biasanya pendengar kurang stamina mendengar sajak yang panjang dan berat. Sebab itu, sewaktu di Dublin minggu lepas – aku memilih membaca sajak pendek – `Sekali Aku Pergi’ dan `Bacalah’. – dalam lima baris setiap sajak. Dan untuk menambahkan maknanya, diulang beberapa patah kata penting.

Sekali Aku Pergi

Sekali dayung sudah di tangan
Layar sudah terbentang
Biar ombak besar datang

Untuk undur pulang ke pelabuhan
Jangan sebut aku anak jantan!

Sajak ini sebenarnya aku ubahsuai daripada novel Hamka – Di Bawah Lindungan Kaabah. Apabila keadaan politik tanahair seperti berlaku perubahan besar selepas pilihanraya baru-baru ini, ada kawanku mengusik untuk mengajak aku pulang ke tanahair. Tidak. Jika aku pulangpun, aku akan kembali ke sini – selagi belum tamat pengajian. Jangan harap aku pulang. Aku harap mesej ini juga dapat difahami terutamanya oleh para pelajar yang menuntut ilmu dengan duit rakyat. Biarpun atas nama biasiswa, pinjaman ataupun bantuan pendidikan. Semua itu adalah duit rakyat.

Sajak tulisan Fahd Razy – Al Andalus Menangis, memang mengesankan. Tambahan apabila sewaktu aku dan keluargaku ziarah ke Andalusia, aku dapat memahami mengapa puisi itu ditulis – namun jika orang tak ke sana – sekadar mendengar kisah – mungkin sukar untuk dimengertikan. Lain kali, baca sajak itu di depan pintu al Hambra! Jika aku ke sana lagi – itulah yang barangkali keutamaan akan kubuat!

Sajak `Selamat Mati Siang’ tulisan Hafez Iftiqar, satu lagi sajak ringkas dan mudah. Membaca `Keringat Buat Abang’ tulisan Kausar Jiwa mengingatkan aku pada sajak-sajak Usman Awang. Begitu juga sajak `Apabila Jiwa Mengingatkan Mati’ ciptaan Mardiah Masharudin. `Sehening Kata Jiwa’ oleh Mohd. Bakri Bakar juga antara yang mengesankan.

Usaha menghimpunkan sajak dalam sebuah buku memang satu yang wajar dihargai namun apa yang lebih penting bagaimana sajak itu menyentuh pemikiran dan hati masyarakat. Aku berpegang bahawa sajak bukan sekadar himpunan kata puitis tetapi kata yang menyengat dan merangsang masyarakat untuk bangun, bangkit dan bergerak atas kesedaran diri. Oleh itu, usaha pendeklamasian sajaklebih penting daripada menghimpunkan sajak. Kita himpunkan sajak itu dengan teknologi dan internet – seperti Youtube ataupun blog. Ia mudah disebarkan dan tak perlu melibatkan kos. Sesekali aku malas nak menulis sajak selagi sajak yang ada tidak dibacakan.

Cerita tentang Eros ataupun Afik dengan rakan-rakannya yang mementaskan `Bila Tuhan Berbicara’, kumpulan muzik dan nasyid (aku lupa nak catat) juga perlu diberikan perhatian serius. Medium muzik ibarat jarum yang boleh menyuntik rasa kesedaran diri seperti puisi. Bahkan ia aku fikir, ia lebih hebat pengaruhnya. Aku tengok sewaktu persembahan itu, penonton asyik sekali. Cuma tak pasti asyik tentang apa dan mengapa. Meskipun mereka sibuk dengan pengajian perubatan, tetapi menganjurkan program seperti itu memang menagih pengorbanan yang tinggi. Sewaktu pementasan itu, aku sempat menulis sebuah sajak sebagai dedikasi aku pada mereka;

Bila Anak Muda Berbicara

Bila anak muda berbicara
Terlalu mudah
Panas, menggelegak
Sesekali sengaja menanggung padah

Kata-katanya seakan ingin bersopan
Biar kelihatan kurang ajar
Kerana anak muda bila berbicara
Riwayat hidupnya kurang mengikat
Bukan akal fikirannya singkat
Tapi mereka terlalu nekad.


2 comments:

Anonymous said...

salam,

trimas sy ucapkan krn mendedikasikan sebuah sajak buat kami. Insyallah akan kami teruskan perjuangan ini melalui semua medium dakwah yang ada.

Jzkk
wslm

Anonymous said...

Ahah. Kadang-kadang saya kdekut juga nak beri buku 'percuma'. Tapi Al Andalus Menangis tempoh hari sebagai tanda terima kasih kerana hadir bagi pihak GKLN. :) Ada usia, murah rezeki, jumpa lagi.