...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Thursday, 14 February 2008

Gong Dipalu, Gelanggang Sudah Dibuka!

Biasanya apabila gelanggang sudah dibuka, fokuskan pada medan. Lupakan yang lalu. Mungkin jika diungkit terlalu banyak perkara yang hendak diuruskan. Lupakan titik bengik (jika ada) lupakan kesal semalam. Biarpun terlewat tetapi masih ada waktu untuk memastikan pilihanraya kali ini menjadi titik tolak untuk kita mencipta sejarah di bumi Pasir Salak - Kg. Gajah dan Sg. Manik.
Maafkan aku kawan kerana di saat begini aku hanya berdiri jauh di benua seberang. Memang kali ini aku nekad untuk bermusafir. Tidak sekali untuk tinggalkan perjuangan dan teman di kampong halaman. Tidak. Jauh sekali untuk mengundur langkah meski seinci. Aku akan kembali. Aku akan duduk bersimpuh, makan setalam, solat pada saf yang sama seperti waktu-waktu kita bersama dulu. Kadang kala teringat saat berkompang sama di beranda markaz kita yang kita sebut ia sebagai Pusat Aktiviti Sosial Pasir Salak. Teringat aku kawan; Dari sempadan Kg. Air Kuning hingga ke Parit Jerman, dari Kuala Sungai Manik hingga ke Chui Chak - telah kita jelajahi. Bertemu dan berpisah. Bersalam dan berbual. Berbincang dan pulang. Merancang, melakar dan menongkah arus - dari Melayu hingga kepada rakan kita di Perkampongan Orang Asli di Redang Punggur. Aku yakin kini ia akan kembali melakar dan menjalar.
Inilah waktu kalian teman mengenal kepimpinan di kalangan rakan-rakan kita yang berada pada saf perjuangan. Inilah waktu mereka mencurahkan seluruh kudrat yang ada untuk perjuangan ini. Sewaktu kita dulu seperti kehilangan beberapa penggerak pilihanraya yang penting - ahhh Allah s.w.t tidak akan biarkan perjuangan ini kosong tanpa pembantunya. Waktu itu aku temui kalian yang sebelum ini baru berjinak mengenali kami yang mungkin ditakdirkan lebih ke hadapan menemui jalan perjuangan. Inilah waktu kalian menjadi pemimpin dan memimpin. Kalianlah kali ini yang menjadi Ansarullah. Pembantu agama Allah s.w.t. Jadilah sebagaimana para sahabat yang mengiringi perjuangan Rasulullallah S.A.W.
Memanglah poster dan bendera merangsang pandangan mata kita. Tapi ingatlah kawan, pandangan mata kadangkala menipu. Bertemulah dengan pengundi, penduduk dari satu lorong ke satu lorong, dari satu kampong ke satu kampong. Memang kita tak mampu bawa sekampit beras untuk setiap rumah yang kita kunjung tetapi kita bawa risalah perjuangan para nabi yang lebih bermakna - lebih bercahaya. Allah dan NabiNya tidak pernah penipu pada janji yang diberikan kepada hamba dan umatNya.
Teguhkan kesetiaan dan kerjasama kita dengan rakan seperjuangan kita daripada Parti Keadilan Rakyat - KeADILan. Biarpun kali ini, pimpinan memberikan kepada rakan kita kerusi Parlimen Pasir Salak dan DUN Sg. Manik - ini merupakan suatu pengorbanan hebat yang pernah ditunjukkan oleh pimpinan dan penyokong kita di Pasir Salak. Belum pernah kita berikan pengorbanan sebegini dalam sejarah pilihanraya di tanahair kita. Dulu, pernah kita beri laluan kepada rakan kongsi kita Semangat 46 di DUN Kg. Gajah pada 1990. Kali ini setelah 18 tahun, DUN Sg. Manik pula memberikan laluan kepada rakan kongsi kita PKR. Keterbukaan dan semangat kerjasama ini perlu dipertingkatkan. Bukankah pernah Allah s.w.t. sebutkan bahawa semakin banyak kita korbankan milik kesayangan kita pada perjuangan - InsyaAllah akan berikan ganjaran yang berlipat ganda. Jangan takut untuk berkorban. Tidak miskin jika kita berkorban. Tidak papa jika kita berjuang. Tidak hina jika kita istiqamah dalam medan ini. Tidak teman.

InsyaAllah, Allah S.W.T tidak lupakan pengorbanan kalian. Saat ini, tentu sekali teman-teman sudah menyusun gerakerja dan perancangan. Teruskan. Ikutlah arahan. Berbincanglah dengan bijaksana dan bersabar. Peperangan sedang berlangsung. Letakkan akal pada pertimbangan tindakan. Pinggirkan sejenak emosi. Pasrahkan diri pada Allah S.W.T Teruskan perjuangan.

1 comment:

Muhammad Teja said...

salam. takbir!! salawat!!!

terima kasih kerana merangsang semangat2.

-marhaen yang dikeldaikan oleh kapitalisme-