Terima kasih kawan-kawan yang mengutus email tapi aku jua yang lewat reply. Maafkanlah. Alhamdulillah berkat doa keluarga dan kawan-kawan, semuanya insyaAllah berjalan lancar. Jika ada kesukaran, itulah cabaran. Jika ada kesenangan, mngkin itu juga satu ujian.
Cerita Swansea? Biasa je. Musim beredar mcm biasa dan kini giliran sejuk yang mengigit ke tulang. Seperti manusia juga, ia terus bertukar dan berubah. Yang tak berubah adalah hukum alam. Ia tetap patuh pada perintah Tuhan.
Pada kawan yang baru selesai menyiapkan PhD (Nazeri dan Zawati), sekali lagi nak ucap tahniah - atas kesungguhan dan kejayaan mencapai hajat - PhD. Moga-moga ini menambahkan tekad kalian untuk menyumbangkan pada tanahair dan umat. Jika rasa bosan pada kerenah birokrasi, autokrasi, dan macam-macam tabii manusia, fikir-fikirkanlah penyelesaiannya. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri - lebih baik negeri sendiri. Rasanya elok dikongsi juga idea Ali Syariati, Iqbal dan Syed Jamaluddin Afgani tentang peranan intelektual dalam masyarakat. Universiti adalah medan intelektual, pencambahan minda bukannya penjara idea, pejabat urusan budak sekolah, atau kilang yang memperkukuhkan kuku kapitalis.
Ada kawan-kawan di universiti cerita tentang budaya intelektual di tanahair yang semakin `dikuduskan' dalam seperti menara gading yang terpisah dengan hidupan sang gajah dan anak buahnya di rimba liar. Entahlah, pengalaman aku dengan universiti sekadar menjadi mahasiswa tidak boleh menjadi kayu ukur pada `kehebatan' universiti tempatan. Teringat pada Prof. Dr. Rafiah Salim (NC UM) yang tersedu bila ranking universiti tertua itu semakin gedebok ke bawah. Kesihan pun ada. Padan mukapun ada! Mengapa begitu pula?
Aku tengok beberapa kawan-kawan yang studi kat UK ni, hebat-belaka kajian mereka. Daripada sains kejuruteraan bio hinggalah aerospace dan macam-macam ilmu, sains yang kdangkala aku pun terkial-kial untuk memahami keperluannya di tanahair. Mereka memang hebat. Seperkara lagi, banyak budaya di UK yang merangsangkan kehebatan mereka itu - kebebasan pemikiran, kesungguhan, sistem bekerja dan sebagainya. Tanpa menafikan ada juga budaya mereka yang menyosang dan menyesatkan. Jika semua ini menjadi faktor kepada pembinaan intelektual kawan-kawan kita yang belajar di UK, mereka akan kembali ke tanahair dengan seribu satu sentuhan ajaib! Jika tidak seperti tangan si Midas sekurang-kurangnya tidak seperti sekudung kehilangan tongkat!
Ada kawan aku cakap; belajar kat UK tapi otak macam Myanmar! Intelektual hebat - first class tapi tindakan macam negara mundur. Kawan aku yang lain bilang - ini kerana sistem negara memang menyebabkan kita terpaksa begitu. Ohhhh.....gitu ceritanya, aku sekadar meraikan pandangan pasifnya itu. Namun di dalam kusut begitu, kita lebih cenderung untuk memilih berdiam daripada berperang! Meskipun, dalam jiwa ini memberontak atas ketakutan yang tak berasas itu. Daripada mati di katil, lebih baik mati di medan pertempuran. Mati bermaruah. Walhal pertempuran ini bertempur tanpa menitiskan darah dan membunuh jiwa. Bertempur idea. Berpencak hujah. Bersilang dengan muslihat akal fikiran.
Inilah yang kadangkala kita enggan campur. Kita lebih memilih menjadi penonton yang melihat kesudahan pada sebuah kesimpulan kisah. Intelektual kita semakin tumpul. Daya akal kita semakin lemah. Berfikir untuk memilih antara ya atau tidak. Bukan berfikir untuk membina pilihan pada jalan penyelesaian. Layaknya seperti penonton tv di rumah yang sepi. Terasa meremang bulu roma bila menonton cerita seram, terasa berahi menonton versi romantisme dan terasyik dengan ilusi sang pengarah filem. Alangkah tragisnya kehidupan intelektual jika begitu.
Ahhhh....aku kadangkala mengarut sendiri. Maafkanlah jika begitu.
Doakan kami di sini terus diberkati Allah s.w.t. dan menjejaki langkah kalian. Jumpa nanti.
...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
No comments:
Post a Comment