...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday 2 September 2009

Darurat Dalam Merdeka

1. Yang kuingat pada waktu itu, arwah bapa aku bawa aku naik basikal balik dari Pt. 16 Sg. Lampam. Aku duduk dalam bakul rotan di belakang. Arwah bapa beli sardin tin. Aku tak kira, kerana masa itu aku belum reti mengira lagi. Ada lagi barang yang arwah bapa aku beli. Tapi aku tak ingat.

2. Sewaktu arwah bapa mengayuh basikalnya untuk pulang, kami bertembung dengan beberapa orang kampong. Dia berhenti dengan kakinya menongkat basikal. Arwah memaklumkan sesuatu yang aku tak faham pada mereka. Aku dengar perbualan mereka di tepi jalan. Selepas itu, arwah bapa mengayuh basikal laju. Orang itupun mengayuh basikal laju.

3. Sampai ke rumah. Bapa aku berehat di bawah rumah sambil bersembang dengan arwah Embah dan mak aku. Entah apa yang disembangkan waktu itu, akupun tak ingat. Tapi yang kuingat wajah arwah bapa agak serius dan ceritanya macam mencemaskan.

4. Aku selalu nampak arwah bapa simpan pedang sedepa panjang di dalam biliknya. Aku tak pernah tanya masa kecil-kecil. Terasa seram tengok pedang itu. Masa arwah Embah Sarmadi Pt. 15 ada, aku selalu juga tengok mereka buka keris yang bersalut kain kuning.

5. Selang beberapa bulan lepas itu, aku selalu keluar malam ke rumah Gambereng di Pt. 16A. Ada kelas pencak silat. Aku tukang tengok. Duduk tepi gelanggang yang sudah dijampi. Yang belajar semua buka baju dan berikat kepala. Ada yang bertarung guna senjata. Bersilat bersungguh macam nak bergaduh. Sesekali seperti nak mengamuk. Seorang bakal pendekar Melayu itu terbang dan satu sepakan singgah ke dada. Tumbang bakal pendekar Melayu itu. Latihan silat itu bertambah rancak sambil diiringi paluan gendang. Gendang perang. Aku masih ingat kerana nada itulah yang selalu aku dengar bila nonton filem pendekar Melayu. Tapi selalunya aku tengok orang Melayu bunuh Melayu. Pembesar Melayu rampas anak dara rakyatnya.


Menara Condong: Karya 1885 Leong Choon Cheong

6. Setelah itu, baru kuingat semua itu kerana berlakunya 13 Mei 1969. Aku tak tahu keadaan Teluk Anson waktu itu. Tapi macam kami orang kampong, aku rasa tak ada lagi bas. Yang ada hanya keretapi di Chikus. Tapi arwah bapa aku pernah cerita, masjid depan rumah kami itu penuh masa itu. Agaknya berhenti ke Teluk Anson atau ke Pekan Langkap.

7. Setelah beberapa tahun kemudian, aku berasa bangga menjadi `orang Sg. Manik' yang terkenal dengan lagenda `pedang terbang'. Aku dengar sendiri cerita dari Pak Salleh Kudung, Taliair 6 Kg. Belt tentang cerita itu. Aku dengar juga dari Bang Pei di surau Simpang Tiga Sungai Manik. Ada seorang lagi pakcik itu, aku lupa namanya. Sudahpun meninggal dunia. Cerita Khalifat Perang Sungai Manik, Tuan Guru Hj. Bakri mengurus peperangan. Cerita tongkang Cina Setiawan tenggelam di Kuala Sg. Manik dan kedai tokey emas Simpang Tiga yang terbakar. Orang Melayu dibahagikan kepada puak Banjar di Kuala Sungai Manik, puak Jawa di Sg. Lampam, puak Mendaling di Chikus. Macam ada parti-parti time tu.

8. Seorang pak cik (aku lupa namanya), menegur kerana aku asyik bertanya tentang peperangan itu. Aku nak tahu samada itu perang jihad atau perang antara kaum. Jangan dibuka cerita lama. Masih ramai orang terlibat masih hidup di Sg. Manik dan di Pekan Langkap dan Kg. Baru Chui Chak. Aku nak berhujah tapi aku memilih untuk berdiam tapi aku cuba cari-cari jalan lain. Aku simpan lagi keratan cerita yang dibuat oleh Abu Bakar Sidek dalam Utusan tentang Perang Sg. Manik.


Warisan Perang Sungai Manik. Sumber: khd2329

9. Apabila aku bersembang dengan Cikgu Berahim Langkap, (bekas Pengetua SM Sg. Manik yang lawan Ramli Ngah Talib untuk jadi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) semangat Melayu beruap-ruap macam asap keretapi. Aku tak ingat mengapa tapi ada kaitan dengan sejarah lama yang terpendam. Sampai hari ini, orang Melayu terus ke Pekan Langkap untuk mencari barang keperluan harian. Rasanya tak sah jadi orang Sg. Manik jika tak ke Pasar Rabu di Pekan Langkap. Malangnya ada kedai Melayu di kampong diboikot kerana beza parti atau berfahaman kaum muda.

10. Sewaktu Tragedi Kg. Medan, Bang Mail SB Teluk Intan (sekarang dah pencen) datang jumpa ke sekolah pagi-pagi. Kami sembang kat luar pejabat je. Dia nak tahu berapa ramai Pemuda Sungai Manik yang dihantar ke Kg. Medan. Huh! Aku pun nak tahu juga, kalau-kalau dia tahu. Tapi dia tak pernah beritahu.

11. Merdeka!


5 comments:

ali said...

abg muhaimin,kenal sy lagi x?
jika sudi linkkan blog kami di blog abg muhaimin.ini blog nya :http://bebaskanmereka.blogspot.com/

badrul.hayat said...

salam,kabare paman..prt 15 sg manik ke?

Zarpeno said...

OOO tu la yang parang terbang tu..


dok tertanya-tanya jugak :

Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela

Anonymous said...

Itu cerita lama tinggal sejarah buat pengajaran...

Yang terkini semalam isteriku buat survey di sebuah kelas Tingkatan 4 di sebuah sekolah tak jauh dari Al Islah.

Isteriku bertanya dalam kelas ini berapa ramai pelajar lelaki yang telah berpuasa penuh tak tinggal walaupun sehari? Sedihnya hanya 2 orang pelajar lelaki yang mengaku berpuasa penuh.

Yang lain memberi alasan lupa nak berniat, tak terbangun utk makan sahur,tak larat kerana letih dll.Sedangkan tubuh mereka begitu sasa.

Nampaknya terlalu banyak yg perlu diperjuangkan/perbetulkan ,... inilah cabaran masyarakat jiran-jiran kita.

....bagaimana mungkin mereka jadi pengganti sehebat arwah Hj Salmadi, Ust Rais, Tn Guru Hj Ahmad, Ust Mokti kg bahagia dll

MS said...

Pt. 15, - Sg. Lampam. Mukim Sg. Manik.