...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday, 16 June 2007

Catatan Andalucia


Catatan 1 :



Harmonikan Hiburan Itu!

Alhamdulillah, kami baru sahaja selesai ziarah di bumi Andalucia. Bumi yang pernah menyaksikan kalimah Tauhid berkuasa sebagai sebuah empayar yang hebat. Ratusan tahun membina siasah ummah yang bermaruah dan kini hanya tinggal sejarah yang melukakan dan memilukan. Ratusan masjid menjadi gereja dan muzium buat tatapan umum. Al Meuzqeta, al Hambra, al Madenatil AzZahra dan ratusan kota tinggalan menggamit kami. Bukan untuk kami datang sebagai tetamu datang untuk belajar dengan sejarah yang lalu. (Gambar 1: Kami sekeluarga di hadapan mihrab Masjid Cordoba yang dikatakan bahawa tidak mengadap kaabah! Walaualam sejauhmana kebenaran itu tidak dapat dipastikan.)

Lupakan untuk berpuisi di Cordoba atau di Granada kerana suara al Quran terlalu jarang kedengaran. Saya berkesempatan untuk berhalaqah membaca al Quran di La Meuzqeta al Murobito (al Murabitun) di tengah-tengah taman Jardines de Colon di Cordoba. Dan sempat bersolat Maghrib berjemaah dengan lebih kurang 10 orang di situ. Itupun secara kebetulan kami menemui seorang anak muda muslim yang berasal daripada Morocco memberi salam kepada kami. Dia memperkenalkan namanya; Said. Terasa seperti suatu yang terlalu asing bila menerima salam di tempat sebegitu. Kami cukup gembira kerana bertemu saudara seIslam kami. Said memberitahu kami, masjid akan dibuka pada 9.30 malam untuk solat maghrib. Jam baru menunjukkan pukul 7 petang. Tak mengapalah, kami menunggu untuk pintu masjid itu dibuka. Seperti sudah tiada lagi Muslim Andalucia melainkan para pendatang dari Algeria dan Maghribi yang mengimarahkan masjid kecil itu (Gambar 2: Aku di hadapan Masjid al Murabito, Cordoba)

Mereka bilang – Espana – negara sarat dengan hiburan. Dari hotel yang mewah, bar, kelab malam hinggalah lorong pedestrian penuh dengan hiburan. Dari penyanyi yang menghiburkan, pemetik gitar akuistik, pemain arkodian, pemain badut dan penari jalanan – semua bertujuan untuk menghiburkan dan juga untuk menampung kehidupan. Espana memang terkenal dengan petikan gitarnya yang menghiburkan dan mengasyikkan. Itulah kehidupan mereka. Hidup berhibur dan lupa akan kehidupan selepas kematian.

Hidupnya manusia berunsurkan akal, rohani, jasmani dan emosi. Keempat-empat unsur tersebut menjadikan manusia hidup seimbang dan sempurna jika diharmonikan dengan sewajarnya. Akal wajar pada ilmu, rohani wajar pada uzlah sendirian dan ‘bertemu’ Tuhan, jasmani wajar pada makanan yang seimbang dan tubuh yang sihat, emosi wajar pada kesabaran dan kesenian.

Dan duduknya hiburan pada emosi tentu sekali sering mencabar nilai diri. Emosi tidak pernah puas jika dikuasai nafsu. Seperti jua ilmu tidak akan menemui kebenaran jika tanpa merujuk al Quran dan as Sunnah. Dan juga jasmani tidak pernah sihat jika makanan dan tubuh badan bersumberkan perkara yang haram dan subahat. Rohani pula sukar untuk ditelaah pada ayat melainkan kita sendiri yang berbuat. Jika rohani atau jiwa dapat bersepadu dengan akal – bermakna seseorang itu sudah sampai kepada insan kamil. Pada tahap tersebut, keempat-empat unsur tersebut sebati pada satu.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk membawa sidang forum ke arah yang jauh melewati sempadan alam makrifah dan falsafah yang dalam dan jauh. Memadai kita berbincang pada di mana bumi yang kita pijak. Yang hampir dengan degup jantung kita. Sebagai anak muda – hiburan memang tidak dapat dipisahkan. Kita sering mencari hiburan seperti juga kita sering mencari ketentangan. Kerana kedua-dua boleh digandingkan walaupun ada waktunya ia boleh saling bertentangan.

Muzik - Ramai berpandangan bila berbincang soal hiburan – tidak akan lepas dengan membincangkan soal muzik. Seolah-olah muzik itu adalah kunci dan inti hiburan. Sedangkan muzik hanyalah sebahagian juzuk kecil dalam hiburan.

Dan jangan dipandang pada alatnya sahaja untuk memberikan penilaian tetapi harus juga dilihat pada tinggi rendah sesuatu nada yang keluar daripada alat muzik. Muzik adalah soal perbezaan dan persamaan antara nilai tinggi dengan nilai yang rendah. Muzik tidak pernah mempunyai satu nilai melainkan ia memiliki kepelbagaian nilai. Bagaimana perbezaan ini dapat diharmonikan sebagai hasil ciptaan kreativiti manusia yang hebat.

Antara siulan beburang yang berterbangan dengan gemersik rimbun bambu tentu berbeza dengan bunyi daripada petikan gitar atau seruling bambu kerana satu dihasilkan secara fitrah dan satu lag terhasil daripada imiganisi dan kreativiti pemuzik. Semua adalah sama – bunyi muzik.

Dalam sejarah perang dahulu kala – selain daripada alat peperangan biasa seperti pedang, meriam, anak panah dan sebagainya yang menumpahkan darah dan melukakan tubuh – jangan lupa ada satu lagi alat – gendang perang! Tabuh perang! Terompit perang! – Yang boleh meruntuh jiwa para seldadu yang rapuh. Ini bukan pada sejarah Melayu tapi ia seperti suatu pertalian antara budaya dari China hingga ke Roman. (Gambar 3: Membelakangkan Madinahtul Az Zahra - kota tinggalan Khalifah Abdul Rahman Ke 3)

Itu waktu genting –waktu antara nyawa di hujung pedang. Ketika Nabi Muhammad s.a.w menuju ke kota Yasrib – para kaum Ansar berhimpun di hujung kota sambil menyanyikan – tolaah badrul alain na – sambil memalu gendang menandakan keriangan menyambut pemimpin akhir zaman.

Al Farabi – ahli falsafah yang terkenal dengan karyanya `Madinah al Fadilah’ sebuah tulisan utama dalam pembentukan siasah bernegara rupa-rupanya sempat juga ia menulis sebuah karya tentang muzik – ‘Kitb al Musik’ dan beliau dianggap orang yang mula-mula memperkenalkan system note dalam muzik yang digunakan hingga hari ini. Bukan setakat itu sahaja, beliau juga pintar memetik gambus dan mengalunkan syair-syair sehingga membuat penonton menangis dan ketawa. Dan nyanyian juga boleh melalaikan. Ketika Israel hendak melancarkan perang ke atas Mesir, mereka menunggu waktu rakyat Mesir mendengar penyanyi lagenda Mesir Umi Kalthum mengalurnkan suaranya di siaran radio. Ketika itu rakyat Mesir seperti tidak dapat membezakan antara suara Umi Kalthum yang merdu dengan bunyi bom yang menggegarkan. Alangkan tragedisnya!

Pernah suatu ketika dulu, seorang anak muda yang hidupnya sendat dengan muzik tiba-tiba jiwanya ingin beralih pada agama. Kosong jiwanya kerana muziknya sekadar hiburan luar yang langsung tidak menyentuh roh sebaliknya jiwa agamanya semakin lama semakin menipis dan hampir mati. Mujur ia tidak pernah meninggalkan solat. Barangkali dahi yang sujud pada bumi berjasa untuk mengingatkan masa hadapannya yang masih panjang. Apa yang boleh saya lakukan pada masa itu? Nantilah akan saya ceritakan.

Lakonan, filem dan drama - Biar saya satukan perkara ini pada satu perenggan perbincangan. Lakonan dan drama sering dikaitkan dengan tinggalan tamadun Rom. Mereka terkenal dengan teaternya.

Kerana teater mereka adalah tempat public berhimpun dan membuat keputusan buat negara. Di situ jugalah tempat hukuman dijalankan pada pahlawan musuh dengan melepaskan singa lapar. Jika benar ia pahlawan sejati, mungkin singa yang akan kecundang. Jika tidak – singa tidak lagi lapar. Pada mereka ini adalah satu bentuk hiburan. Mereka terhibur apabila melihat pertarungan antara haiwan liar itu dengan pahlawan gagah. Mereka lebih terhibur ketika melihat samada darah sang singa atau pahlawan yang menitis. Itulah hiburan mereka. Seperti juga permainan Matador – perlawanan antara lembu liar dengan sang matador yang berseledang merah. Pada akhirnya, sang Matador akan menikam pedangnya betul-betul ke arah kepala lembu yang tak berdosa itu sebagai tanda kemenangannya. Lalu tersungkurlah sang lembu dan sang penonton bertepuk kegirangan. (Gambar: Di atas tinggalan Teater Roman di Malaga)

Di teater juga tempat bersyarahnya para pujangga seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Mereka berbincang dan berfalsafah sehingga meninggalkan kehidupan harian mereka. Berbincang dengan logic dan mengkaji dengan akal fikiran. Memang budaya fikir mereka jauh kehadapan sehingga mereka terus berdebat dan berbincang panjang. Hasil taakulan mereka himpunkan dalam buku untuk dikongsi sama. Lahirlah idea Republic, Retorica, Democracy dan sebagainya.

Di situlah tempat pemujaan pada tuhan-tuhan mereka. Biarpun sesetengah ahli falsafah mereka berfikiran bahawa agama hanya ciptaan akal manusia yang memerlukan Sang Pelindung – maka manusia mencipta agama. Memang agak asing sekali dengan tamadun kita.

Ketika mereka meluaskan pengaruh jajahan – mereka membina teater di setiap kota yang mereka takluk, termasuklah di Malaga dan Almeria. Jika alcazaba atau kota yang mereka bina untuk menghalang serangan musuh yang datang – teater pula akan dijadikan medan pembinaan fikiran baru pada penduduk asal kota tersebut. Di sinilah mereka membina tamadun baru yang bersesuaian dengan tuan baru mereka – Rom.

Kini, filem dijadikan satu medium untuk membentuk pemikiran masyarakat. Ah.....tentu sekali kapitalist Amerika akan memanfaatkan semua ini. Mereka terus mencipta Superman dan Rambo yang menjadi penyelamat seluruh umat manusia. Mereka terus membina agenda keamanan pada dunia. Mereka terus memahat keyakinan warga dunia akan kepimpinan mereka. Langsung umat Islam yang terus berfikiran singkat dan terperangkap dengan khayalan itu – terhibur dan terjajah.

Puisi dan novel – Orang Swansea berbangga dengan penyairnya – Dylan Thomas. Seperti biasa samada di kota besar atau pekan kecil – mereka akan abadikan tokoh tempatan mereka dalam bentuk patung di tengah kota mereka. Jika kalian pergi ke tengah pekan Swansea – mungkin akan terbaca bait-bait penyair kemegahan mereka pada dinding, lantai monemun yang mereka bina khas untuk mengabadikan puisi penyair mereka.

Satu bait puisi yang sering bermain dalam fikiran saya adalah daripada Tongkat Warrant ataupun Sasterawan Negara Usman Awang: bisa keris raja, bisa lagi pena pujangga! Bisa keris raja berbeza dengan keris-keris biasa milik rakyat. Mungkin kalian masih ingat kisah Sultan Mahmud mati dijulang. Baginda dibunuh oleh Laksamana Bentan yang membalas dendam kerana baginda membunuh isterinya hanya semata-mata mengidam nangka milik baginda. Kalau saya berada pada zaman itu, saya tentu sokong tindakan Laksama Bentan yang telah berjasa pada negara dengan mempertarungkan nyawa di medan pertempuran tetapi apabila pulang ke tanahair – Sultan dengan sewenang-wenangnya telah membunuh isteri yang sarat mengandung.

Dalam nyawa-nyawa ikan itu, baginda telah melontarkan keris baginda dan terkena sedikit pada kaki Laksamana Bentan. Pada akhirnya, Laksamana Bentan mati kerana bisa keris raja yang amat sangat. Namun, ada lagi yang lebih berbisa daripada keris raja – kata Usman Awang - pena pujangga!

Berapa banyak penulis yang berupaya mengubah fikiran masyarakat? Dan berapa banyak sudah penulis yang dipenjara dan dibunuh? Dan berapa banyak buku ataupun karya yang diharam atau dibakar kerana mempunyai `bisa’? Semaklah kisah Hamzah Fansuri di Acheh, Chairil Anwar dan Rendra di Indonesia, Leo Tolstoy di Rusia, Imam Hanafi, Imam Shafei, Syed Qutub, Maududi, Iqbal dan ribuan penulis dan pemikir yang mengalami cabaran sehingga mereka mati kerana penulisannya.

Apakah mereka menulis sekadar satu hobi, hiburan ataupun mengisi waktu yang terluang! Tidak. Mereka memberikan satu hiburan dan dalam masa yang sama mereka memberikan satu fikiran, kesedaran, harapan, impian, dan akhir sekali satu tindakan untuk melakukan perubahan. Rendra pernah berkata:

Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan!

Orang-orang tua kita pula pernah berpesan:

Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

Cuba fikir dan renung-renungkan.

Lukisan dan ukiran - memang sebelum sampai di Malaga, antara destinasi ziarah kami adalah Museo Piccaso Malaga – pelukis kelahiran kota Malaga. Orang Malaga bermegah dengan Pablo Piccasso yang mempunyai koleksi luksan bernilai hingga ratusan juta ringgit Malaysia. Setiap bilik pameran ada pegawal yang memastikan keselamatan karya agung itu. Jangan harus menyentuh lukisan. Sekadar pandang dan cuba menghayatinya. Pelukis lagenda itu mencipta nama ketika usianya sudah mencecah setengah abad. Aku cuba juga untuk menghayati lukisan, coretan, lakaran dan ukirannya – ada yang boleh kusimpulkan ada juga masih menjadi pertanyaan. Ada juga yang lucah – hingga tidak manis untuk ditatap pandang. Tapi mereka bilang – itulah seni. (Gambar: Di hadapan Museo Picasso di Malaga)



Muzium itu menghimpunkan 155 karya yang disumbangkan oleh Christine dan Bernard Ruiz-Picasso, menantu dan cucunya. Karya epiknya ini telah menarik ramai pengunjung. Ketika berjalan-jalan di bandar peranginan Torremolinos – kami terserampak dengan sebuah geleri lukisan milik pelukis wanita. Dia menjual lukisannya dan mengajar orang melukis. Mereka boleh hidup mewah dengan melukis. Kerana bagi mereka lukisan memberikan satu hiburan.

Tentu berbeza seni ukiran dan yang terdapat di al Hambra dan La Muezqeuta - Cuma agak menghairankan kerana ada patung singa di tengah-tengah istana khalifah Ummayah ini. Ada dua belas ekor patung singa yang mengeliling kolam bulat dan dikatakan mulut singa-singa itu mengeluarkan air setiap masuk waktu solat. Dan ia digunakan untuk mengambil air sembahyang kerana kedudukannyapun tak jauh dari masjid al Hambra yang kini menjadi gereja. Kini kesemua patung singa itu sudah tiada – dipindahkan kerana kononnya untuk dibaiki. Sebenarnya patung itu sudah berkali-kali cuba dikaji tentang keajaibannya kerana air yang keluar itu bersumber dari air gunung sahaja. Sayangnya, mereka belum dapat menemui teknologi silam itu.

Ketika berkunjung ke ISTAC di Damansara beberapa tahun yang lalu, ada dua patung singa di hadapan pintu masuk masjidnya. Ada sumber yang menyebut bahawa hanya patung singa sahaja dibenarkan di dalam Islam. Saya tak pasti cuma agak keliru.

Ketika di al Hambra terlintas dalam fikiran saya – bukan sekadar ketelitian si pengatur batu pada lorong taman istana atau sang pengukir tetapi pada jurutera yang menjadikan air gunung Seirra Nevada melewati pada seluruh lorong dan alur di seluruh taman yang luas hingga mengalir dari mulut sang Singa yang mengawal istana raja! Itu juga satu bentuk hiburan pada jiwa ini. (Gambar: Sedang melihat bagaimana halusnya seniman itu melukis corak geometri di gerai-gerai tepi al Hambra, Cordoba)

Seni taman di sini memang menenangkan kami yang penat berjalan. Hijaunya disulami dengan bebunga yang mengharum. Bau bunga dapat dirasai. Terasa seperti bau bunga Tanjung. Ini juga satu bentuk hiburan. Ambil sedikit masa untuk duduk di taman yang dipenuhi dengan air pancut dan kolam yang airnya mengalir. Alangkah nikmatnya suasana ketika itu sambil memandang jauh pada ratusan rumah di luar kota. Memang sukar untuk diceritakan. (Gambar: Kami di taman permainan sang raja dulukala di al Hambra)

Seorang pengukir muda berjumpa saya sewaktu kami menghadiri forum yang dianjurkan oleh IKD di Kuala Lumpur – Dia bertanya: apa yang boleh saya sumbangkan pada Islam? Suruh dia untuk mengukir khat? Tentu sekali bukan bidangnya. Sukar untuk memberikan satu jawapan yang menyenangkan. Begitu juga dengan pelukis. Namun, agak mudah buat pelukis komik ataupun kartunis. Barangkali contoh terdekat dengan saya ialah Zunar, Rossem, Boy PJ dan rakan-rakannnya.

Sukan dan Riadah - Ia juga satu lagi bentuk hiburan popular yang boleh mempunyai nilai komersil. Lihat sahaja bagaimana sukan boleh menghimpunkan puluhan ribu dalam sebuah stadium dan jutaan penonton yang menghadap di hadapan televisyen. Ceramah politikpun sukar mendapat sambutan jika bertembung dengan perlawanan bolasepak Piala Dunia. Penonton terhibur melihat aksi ahli sukan bertanding dan bermain. Semakin tinggi skil yang digunakan maka semakin terhiburlah penonton. Orang Inggeris memang gila bola. Hampir setiap pekan memiliki kelab bolasepak mereka. Mereka membina pengaruh melalui bolasepak. Mereka membuat wang daripada bolasepak. Berjuta-juta wang digunakan sekadar untuk mendapatkan pemain yang memiliki skil bolasepak seperti Ronaldo, Beckham dan lain-lain.

Lihatlah aksi penonton sewaktu bola menerjah masuk ke dalam jaring pintu gol. Itulah hiburan buat mereka. Aksi ahli sukan membuatkan penonton tak boleh duduk diam. Seluruh anggota badan berfokus pada satu padang permainan dan sebiji bola.

Mungkin terlalu banyak kegiatan harian kita yang boleh dikaitkan dengan sesuatu yang boleh mengiburkan kehidupan. Cuma samada kita sedari ataupun tidak. Apabila sesuatu itu hilang daripada diri kita, terasa seperti ada kekurangan. Mungkin yang hilang itu adalah salah satu jenis daripada ribuan hiburan yang pernah kita miliki. Jangan sempitkan ruang hiburan dengan tafsiran yang jumud. Kita perlu mengharmonikan hiburan yang ada sebagai suatu kehidupan yang bermanfaat dan seimbang.

Dan menziarahi bumi Andalucia – memang mula berfikir untuk berjalan-jalan makan angin. Tapi selepas kembali ke sini - jangan fikir ia satu bentuk hiburan tetapi pengajaran pada kehidupan yang panjang. Kita memang tidak boleh bergembira sewenangnya di bawah runtuhan agama. Dr. Burhanuddin al Helmy ketika berucap, dia berpesan pada orang Tanah Melayu agar menuntut pembebasan dari penjajajahan British;

Di bawah robohan kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka

Dan Andalucia kini telah hilang......

2 comments:

Anonymous said...

miss al-andalus...=D
-ADEQ N KAKAK- hehe <3

amighul said...

Subhanallah.. dengan membaca cerita tuan sahaja sudah membangkitkan naluri ingin sy tahu yang lebih mendalam terhadap bumi al-hambra yang mana sebelum ini hanya dibimbing oleh buku2 sejarahnya dan didodoikan oleh lagu2 nya..

sesungguhnya tuan amat beruntung kerana diberikan oleh Nya sesuatu yang sangat berharga yang tidak semua mampu memilikinya..

sy harap tuan akan berkongsi lagi cerita seperti ini kerana cerita itu juga suatu ilmu dan berkongsi ilmu adalah menjadi tuntutan sesama umat islam kn? hehehe...
assalamualaikum..