Islam mula bertapak di Tanah Melayu sekurang-kurangnya kira-kira 600 tahun dahulu. Ada sumber yang mengatakan 200 tahun lebih awal daripada itu. Sebelum ini, masyarakat Tanah Melayu beragama Hindu dan sebahagiannya Buddha dan kebanyakannya percaya pada semangat kehidupan ataupun anamisme.
Kalau mengikut buku `Sejarah Melayu’, Islam datang ke Melaka melalui pedagang-pedagang Arab yang datang ke Melaka. Maklumlah ketika itu, Melaka sebuah pelabuhan enterport yang menjadi transit antara pedagang benua barat dengan benua timur. Sultan Melaka (lupa pula nama baginda) melihat pedagang Arab itu sembahyang di tepi pantai. Dipendikkan cerita, esok paginya – apabila baginda bangun daripada tidur baginda tiba-tiba baginda menyedari anu baginda telah disunatkan secara ghaib. Akhirnya Sultan Melaka memeluk Islam dan diikuti oleh para menteri dan seterusnya rakyat tanpa soal jawab. Sejak itulah, Islam mula bertapak dan berkembang sehingga pada hari ini.
Ada sumber yang menyebut bahawa Islam dibawa dari India, dari China dan dari Arab. Semua agama yang satu; Islam. Islam datang ke Melaka bukan melalui perang tetapi dikatakan melalui tasawuf. Oleh sebab itu, orang Islam di sini agak lebih lembut daripada Islam di India ataupun di Arab. Mereka mendapat Islam melalui peperangan. Agak keras pendekatan mereka. Sangat berbeza dengan Islam yang kita perolehi secara tasawuf. Lembut macam menarik rambut daripada tepung!
Mungkin pernah kita terdengar bagaiman Wali Songo (Sembilan Wali di Jawa) menjadikan wayang kulit sebagai medium dakwah. Watak Seri Rama dan Sita Dewi ditukar kepada watak-watak yang berunsurkan Islam. Akhirnya, satu demi satu wilayah di Jawa menerima hidayah dan menjadikan Islam sebagai sistem kehidupan mereka. Dan ada dari kalangan wali itu mengunakan ilmu sakti untuk melawan ilmu hitam para sami-sami Hindu. Semua ini ada dalam buku sejarah dan buku cerita kita.
Kristian bertapak di Eropah kira-kira 1500 tahun yang lalu dan beransur-ansur tenggelam. Ketika Kerajaan Roman berkuasa di muka bumi ini, mereka menjadikan Kristian sebagai agama negara. Ketika itu para paderi dan raja berada pada satu takhta. Mereka melancarkan Perang Salib ke atas umat Islam sehingga mengorbankan ribuan jiwa.
Kini sebahagian besar Eropah dan beberapa negeri lain menjadikan fahaman sekularisme sebagai sistem kehidupan mereka. Sekularisme terutama dari kalangan mazhab Liberalisme mula mendominasi bermula sejak Revolusi Industri di Eropah. Bermula dari situlah, satu demi satu kekuatan Kristian tercabut daripada masyarakat Eropah. Masyarakat Eropah menjadikan agama sebagai suatu simbol masyarakat beragama sahaja.
Komunisme hanya bertapak di Rusia, Eropah Timur dan beberapa negara lain pada tempoh tak sampai 100 tahun. Era kemuncaknya hanya pada tahun-tahun 60 an dan 70 an. Kini Komunisme dan Sosialisme cuma dapat bertahan di Republik Rakyat China, Korea Utara, Libya dan Cuba.
Islam bertapak di Andalucia selama 600 tahun dan kini ia menjadi sebuah sejarah sahaja. Sekarang untuk mencari masjidpun terlalu sukar. Selepas beratus tahun Islam hampir terkubur di Andalucia, pada 10 Julai 2003 sebuah masjid baru Granada telah dibuka oleh masyarakat tempatan. Itupun mungkin banyak diusahakan oleh pendatang-pendatang daripada beberapa buah negara utara Afrika dan disumbangkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Kami berkesempatan untuk pergi ke Mosque and Centre of Islamic Studies di Al Baisin. Masjid itu terletak berhampiran dengan dua masjid yang kini menjadi gereja dan tentu sekali saiznya jauh lebih besar. Namun sekarang masjid-gereja itu dijadikan muzium sahaja. Masyarakat Kritian di situpun sudah longgar dengan agama mereka sendiri. Kristian hanya tinggal symbol agama semasa.
Masjid yang ada sekarang cukup ringkas dan sederhana. Cukup untuk menghimpun kekuatan yang telah hilang. InsyaAllah. Sayangnya kami tak sempat nak bersolat di situ kerana mengejar waktu yang terlalu singkat.
Kembali kepada persoalan awal – agama sesuatu kaum mungkin boleh berubah. Ya memang boleh berubah. Cuma terletak sejauhmana kaum itu mampu bertahan dan menyesesuaikan diri dengan Islam yang sebenarnya bersifat syumuliah. Islam memang ada kelenturan dan bersesuian sepanjang zaman dan ruang. Soalnya, bagaimana umat Islam memahami perubahan zaman dan ruang itu. Oleh sebab itu, para intelektual dan ulama perlu dinamik memikir dan melaksanakan Islam sebagai suatu sistem. Jangan dibiarkan pemerintah menafsir Islam mengikut keperluan politik sehingga mengelirukan rakyat dan akhirnya rakyat bersikap pasif pada agama.
Intelektual perlu bangkit sebagai golongan yang membawa kesedaran kepada rakyat sebagaimana yang pernah disebut oleh Iqbal dan Ali Syariati. Para intelektual Islam perlu berada di tengah-tengah degup jantung rakyat. Idea para intelektual mesti serasi dengan masyarakat. Jangan terlalu tinggi sehingga sukar difahami oleh masyarakat – maka jadilah seperti ahli falsafah Yunani. Akhirnya Athens dijatuhkan oleh kerajaan Sparta yang brutal dan buta ilmu.
No comments:
Post a Comment