...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday, 19 December 2012

Pasca HKR Perak: Yang Perlu Dikongsikan


1. Alhamdulillah, Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak yang berlangsung di Seri Iskandar berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

2. Terima kasih pada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Tentu sekali pada tuan rumah yang berhempas pulas siang malam memastikan kelancarannya.

3. Terima kasih juga kepada yang tunjuk sibuk dan menyibuk. Majlis yang begini memanglah semua nak tunjuk muka. Tak kira, yang ada muka, tak bermuka atau yang bermuka-muka.

4. Ucapan penghargaan kuberikan kepada yang gigih semangat datang dari seluruh penjuru negeri Perak. Yang berkonvoi atau yang travel secara solo. Bawa isteri, dukung cucu, iringi mertua dan kawan-kawan.  Ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda, ada yang dipimpin ada yang melenggang dan ada seribu satu cara untuk berhimpun di bekas tanah lombong bijih itu.

5.  Tahniah kepada gerombolan anak-anak muda yang mempamerkan kesungguhan sebagai anak muda yang bertenaga. Entah dari gunung mana mereka turun, dari sungai mana mereka bermudik. Aku tak sempat bertanya. Tapi percayalah, HKR Perak telah menghulurkan salam perjuangan.

6.  Bravo pada bang Ito Blues, Nik Jidan, Airmas, Zua, 2BS dan Sivaguru. Koranglah hero malam itu. Yang hadir bernyanyi sama dengan penyanyi tentu suatu yang menarik. Sivaguru macam MGR mengajak berperang di tengah hujan yang turun! Sebuah filem Tamil di Seri Iskandar.

7. Tabik spring pada Jeneral Arif dan UNIT AMAL. Maaf bekalan makanan tak cukup. Bukan kerana perut yang boroi. Ramai anggota yang bertugas dalam kelaparan di tengah hujan dan letihnya mengurus manusia yang berombak datang.

8. Selamat bertugas kepada pasukan Polis dan Majlis Tempatan yang melaksanakan tugas secara profesional. Biarpun memaksa kami membuka kembali kitab dalam bab melembut hati-hati manusia.

9. Ucapan sang politikus?  Tiada idea. No komen la.



 



Wednesday, 12 December 2012

Wednesday, 21 November 2012

Kritikan Atau Kemarahan


Tulisan ini respon aku kepada beberapa pertanyaan tentang kritikan terhadap PAS Perak (fokusnya pada individu bukan parti) kebelakangan ini. Aku  ‘malas’ hendak melayan kerenah-kerenah semasa begini. Hendaknya dipaksa-paksakan juga aku menulis pagi yang panjang ini. Maka jadilah sepertinya ini:

Sebenarnya sukar untuk membuat kritikan. Kritikan melibatkan kerja menilai tindakan sesuatu atau seseorang dengan kayu ukur tertentu. Soal kayu ukur pun suatu bab yang sangat luas untuk diperbahaskan. Seperti kata Syed Naquib al Attas, apabila kita melihat gelas yang dipenuhi separuh air, apa tangapan kita? Gelas itu separuh kosong atau separuh dipenuhi air? Dari situlah falsafahnya kita bagaimana kita melihat sesuatu. Air atau gelas yang menjadi keutamaan?

Memang ada benar, bila buat kritikan kepada pimpinan adalah bertujuan untuk memastikan pemimpin yang benar-benar bersih dapat ditampilkan dalam pilihanraya nanti. Dan ini kononnya boleh menjamin kemenangan. Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi membuat kayu ukur yang tepat bagi memisahkan kritikan yang membina dengan luahan kata-kata kemarahan yang tidak memberi apa-apa makna selain kemarahan semata-mata.  

Pernyataan tidak setuju belum tentu dianggap sebagai suatu kritikan. Ia mungkin sekadar suatu luahan kemarahan atau kekesalan. Jika kenyataan yang bertaraf kemarahan, ia tidak banyak membantu untuk memperbaiki keadaan. Kemarahan mungkin hanya membakar kebijaksanaan yang ada.

Lalu untuk menjadi blogger atau facebooker yang ‘terkenal’, salah satu pendekatan yang mudah adalah membuat ‘kritikan’ pada seseorang atau sesuatu. Meskipun ‘kritikan’ itu begitu menyengat dan mendapat sokongan yang banyak (melalui hit pembaca) hakikatnya tulisan tersebut adalah kosong fakta. Yang ada hanyalah keupayaan menggarap isu dengan olahan ilusi-ilusi penulis sendiri yang kadangkala boleh memerangkap minda pembaca. Tatkala itulah, pembaca akan terperangkap pada ilusi-ilusi yang lahir daripada penulis yang jengkel.

Tidak dinafikan ada tulisan yang bersifat ingin membina melalui kritikan dalam media terbuka melalui pendekatan-pendekatan menimbulkan sensasi. Aku lihat ia sekadar suatu tulisan separuh masak daripada maklumat yang separuh benar. Jika dimakan, kalian mungkin sakit perut!

Dalam situasi langit terbuka, pemimpin perlu membezakan antara kemarahan dan kritikan akar umbi. Tidak melatah dan tercabar. Penyokong akan mengunakan andaian dan ilusi-ilusi mereka bagi mempamerkan ‘semangat juang’ mereka. Tugas pemimpin antaranya ialah membawa penyokong di akar umbi berpijak di bumi nyata. Jangan biarkan mereka men’jenin’ begitu lama. Dan pemimpin pula jangan membadak. 

Sunday, 4 November 2012

Membaca Politik Dari Bawah

1.  Ada banyak bezanya memahami politik antara yang baru hendak gelumang dengan politik dengan ahli politik yang sudah pro.

2.  Yang baru, ikhlas dan tulus. Ada juga yang pasang niat macam nak beli insuran hayat kalau BN tumpo.

3.  Manakala sang politikus pro, ada bezanya yang duduk atas bumbung parti dengan yang duduk dekat bawah yang tak bersimen.

4.  Yang duduk atas bumbung dan berbumbung parti, biasanya kagum dengan idea dan kepimpinan diri sendiri. Ni, yang nak kena flying kick. Ada pula yang kononnya terlalu demokratik, sehingga sekecil-kecil bendapun nak bersyurakan. Tak habis-habis meeting.

5.  Yang duduk bawah lantai tak bersimen pula, mandang pemimpin macam raja yang memiliki metos kuasa raja-raja zaman dulu kala. Wala'nya sampai rasa marah dalam diri dipendam-pendam hingga jadi pekasam busuk yang merosakkan akal budi sendiri.

6.  Suruh apa sahaja, politikus bawahan akan bersedia macam askar gagah berani. Taruhkan segala yang ada.

7.  Apa yang mereka fikirkan, biarlah pimpinan dan parti mereka menang. Jadi YB. Jadi menteri. Mereka akan terus jadi petani, jadi nelayan, berniaga cari rezeki sendiri.




Wednesday, 31 October 2012

Peniaga Kecil Yang Terbunuh

1.  Pembukaan beberapa supermarket oleh syarikat gergasi antarabangsa dan nasional seperti TESCO, Giant, TF dan sebagainya diluluskan oleh Majlis Perbandaran atau Daerah.

2.  Pembukaan supermarket sebegitu memang dapat memperlihatkan kemajuan sesuatu kawasan. Orang ramaipun suka bershoping di situ.

3.  Sengaja kubawakan cerita ini selepas mendengar beberapa rintihan beberapa peniaga kecil pasar Tapah yang terkesan teruk akibat pembukaan supermarket TF yang selesa dan ada 'aircond'.

4. Daripada orang Asal yang tinggal di Bt. 7 Jalan Cameron hinggalah pegawai kerajaan yang tinggal di tanah lot Batu 3 Jalan Tapah akan berpusu-pusu ke supermarket baru itu.

5.  Lalu, para peniaga kecil di tepi jalan, pasar-pasar sehari atau malam akan sedikit demi sedikit hilang dimakan oleh pembangunan dan keghairahan orang kita sendiri bershoping di supermarket.

Monday, 22 October 2012

Keluk Kelak Politikus

1.  Politik itu ada waktu naik, ada waktunya turun. Merundum, berdikit-dikit.

2.  Kerana itu, politik itu adalah ketidaktentuan dalam mendapatkan ketentuan. Samalah juga aktor dalam alam politik seperti pemimpin politik, pelahap politik, broker politik dan juga parti politik.

3.Jalan politik paling selamat ialah berkelak keluk. Sekejap cakap bulat,sekejap cakap pipih. Sekejap ke atas, sekejap ke bawah.


Wednesday, 17 October 2012

Retorik Politikus dan Tajamnya Kata Sang Penyair

1.  Dua tiga hari lepas, minum petang dengan Meo Busker di Food Court KLC. Sembang kosong dengan teh tarik kurang gula.

2. Sembang tentang sejarah busker tanahair hinggalah sepak terajang politik semasa. Biasalah orang politik  beretorik laksana ahli sihir bijaksana.

3. Boleh menjanjikan bulan dan bintang. Bikin orang ramai pengsan, tenggelam dalam mimpi yang menawan.

4. Daripada pendidikan percuma hinggalah gula-gula akhir tahun untuk orang tua, budak sekolah dan orang pencen.

5. Tidak seperti sang penyair. Bait kata-katanya memberi makna. Meski terpaksa menikam.