...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Wednesday, 22 October 2008

Bukalah Pintu Kebenaran!

1. Hujung minggu lepas ke Prague, Czech Republic yang dulunya sebuah negara komunis. Kini dikhabarkan rakyatnya menikmati erti demokrasi dan kebebasan yang kononnya dulu tiada. Belum sempat untuk membezakan antara kesan tinggalan pemerintahan feudal Bohemian Empayar, Komunisme dan juga sekarang.
2. Kita perlu buka pintu itu untuk mendapatkan semuanya. Jangan baca akhbar atau buku semata. Apatah lagi sekadar menadah telinga buta ini!
3. Tapi yang pastinya, aku sudah ada idea untuk kupasakkan pada lantai bumi ini.

4. Bukankah manusia itu sentiasa cuba menguasai manusia lain? Atau manusia itu sekadar berdiam diri untuk dikuasai dan langsung menjadi hamba?

5. Bukakanlah pintu itu! Atau aku sendiri yang perlu membukanya?

Saturday, 11 October 2008

Belajar Menjadi Pemimpin

1. Datang belajar di UK, memanglah tak sama belajar di tanahair walaupun 'benda' yang dipelajari lebih kurang begitu. Tak sama kerana persekitaran, budaya dan sistem kehidupan di sini seperti merangsang proses pembelajaran dan pemikiran. Yang utamanya apabila berada jauh dari tanahair sendiri telah menjadikan kita lebih bersungguh-sungguh. Kita jadi pedagang. Maka hidup sebagai pedagang. Pedagang memang sifatnya bersungguh-sungguh.


2. London dan juga di kota-kota lain di UK mempunyai universiti yang tidak sekadar melahirkan intelektual ataupun teknokrat tetapi juga melahirkan pemimpin yang berkaliber. Kebanyakan pemimpin utama di UK pernah mendapat pendidikan samada University of Oxford ataupun Cambrige. Tony Blair adalah lulusan Oxford dan David Cameron yang dikatakan bakal menjadi PM Britain akan datang juga dari tempat yang sama. Seperti telah menjadi sebahagian daripada tradisi universiti di sini menganjurkan kebebasan berkarya dan berfikir. Pelajarnya diasuh dan dibentuk supaya menghargai kebebasan berfikir sehingga secara ekstrimnya mereka menolak sesuatu yang di luar rasional termasuklah agama. Pendekatan ini telah dimulakan sejak daripada kecil hinggalah ke peringkat universiti. Maka terbentuklah masyarakat yang sekular dan terasing jauh daripada kehidupan beragama. Akhirnya, sekular dan sains menjadi ‚agama baru’ kepada masyarakat yang berpegang pada rasionalsm.

3. Universiti-universiti di sini mempunyai koleksi tulisan yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan masa. Sebagai sebuah negara penjajah, kerajaan kolonial ini telah menghantar pegawai-pegawainya ke tanah jajahannya bukan sekadar pegawai biasa tetapi juga seorang diplomat dan intelektual yang hebat. Mereka membuat catatan sewaktu berkhidmat di tanah jajahan dan dibukukan dan dijadikan bahan rujukan kepada masyarakat dan generasi akan datang. Stamford Raffles, Frank Swetthenham dan lain-lain pegawai British di Tanah Melayu datang bukan sekadar pegawai tetapi datang sebagai penyelidik. Kini, buku-buku mereka menjadi rujukan para pelajar dari seluruh pelusuk dunia termasuk pelajar daripada Malaysia sendiri.

4. Lawrance of Arabia, seorang diplomat dan perisik British yang dihantar ke Arab yang menjadi penghasut kepada gerakan menentang Othmaniah oleh pemimpin Arab telah menulis buku `The Seven Pillars of Wisdom’ . Buku itu menjadi rujukan utama kepada para tentera British yang dihantar ke Timur Tengah. Saya tak pasti berapa banyak pegawai diplomat Malaysia yang menghasil buku pengalaman mereka untuk dibaca oleh rakyat Malaysia.

5. Marx yang berasal dari Jerman telah menghabiskan masanya untuk menelaah tentang sejarah dunia di Library Museum of London sehinggalah menghasilkan buku `Das Capital’ yang menjadi rujukan gerakan Komunisme seluruh dunia. Di sini Marx mendapat pelbagai maklumat dan idea untuk membangunkan hepothesisnya tentang ketidakadilan dan pembentukan masyarakat yang lebih adil. Pebagai aliran pemikiran dan falsafah yang berpusat di London. Keadaan ini sebenarnya menambahkan kematangan seseorang untuk memahami dan mencari sesuatu yang dijadikan sandaran kepada perjuangan mereka. Sekali pandang mungkin ia banyak membawa kekeliruan tetapi jalan kebenaran harus dimulakan dengan pelbagai kekeliruan dan ketidakfahaman.

6. Tun Abdul Razak Hussein sewaktu di London juga menganggotai Parti Buruh British bagi mengasah dan mendedahkan dunia politiknya. Bahkan ada yang menyebut beliau terpengaruh dengan kumpulan Fabian yang membawa aspirasi sosialis. Pengagihan tanah oleh Tun Razak kepada rakyat miskin di bawah program FELDA adalah salah satu program yang tercetus daripada idea sosialisme. Inilah kaedah untuk membangunkan masyarakat orang Melayu khususnya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan yang disebabkan kekurangan modal utama; tanah.

Thursday, 9 October 2008

Wajah Baru, Hati Tetap Sama


1. Tengok depa buat blog – macam-macam dibuatnya. Kadangkala tak da idea. Sekadar mereka-reka design dan tampal gambar. Ceritalah satu persatu kisah di sebalik gambar. Memang menarik. Naik dengki dibuatnya. Aku? No time nak buat tu. Tapi tengah ada moderator sukarela nak buat – hantam sajalah!

2. Moderator tu, anak-anak aku. Dari dia orang buat blog dia macam-macam, lebih baik buat untuk bapanya.

3. Nak tukar stail tulis – ikut macam Tun Mahathir. Senang. Tapi isi tetap berbeza.

4. Time ni, isteri aku balik Malaysia – bapa mertua aku sakit – kena strok. Masuk ke Hospital Kota Bharu. Teringat waktu dia jaga arwah bapa aku yang menghadapi kanser, aku merasai betapa waktu itu – hati seorang bapa yang sedang sakit. Wajah dan usapan tangan kita adalah terapi buat mereka. Bapa dan mak kita ada satu. Maka hargailah – meski tiada harga yang boleh dibayar. Apatah lagi sehelai tiket flight!

5. Jangan lokek untuk berkorban demi bapa dan mak kita. Malu jika disingkap silam yang sarat perjuangan membina keluarga oleh bapa dan mak kita. Time raya, depa tak pakai baju baru - anak-anak diutamakan. Time anak di asrama kenyang - mak bapa entah lapar entah berpuasa. Anak-anak kadangkala tak tau atau tak ambil kisah. Itulah kisahnya si Tanggang.

6. Apapun doakan kesihatan dan keselamatan semua bapa dan mak kita.

Mencari Kebebasan Berpolitik Di Kota London

1. Jika Kota Paris dikaitkan dengan perkembangan fesyen terkini dunia, London pula adalah pusat perkembangan pemikiran global. Penduduk kota London kira-kira 14 juta merupakan kota pelbagai kaum, agama dan masyarakat. Seperti juga kota Mekah dan Madinah, ia tidak lagi kota untuk orang Arab tetapi kota semua Muslim yang merentasi bangsa dan kaum di seluruh dunia. British sebagai sebuah bekas empayar yang mempunyai ratusan wilayah yang dijajahnya mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Mekah dan Madinah. Penduduk kota Mekah dan Madinah dikaitkan dengan Islam sebagai faktor demografi sebaliknya di Kota London, faktor politiklah yang mencorakkan warna demografinya.

2. Sewaktu wilayah-wilayah yang dijajah oleh British belum merdeka, semua rakyat wilayah taklukan dan jajahannya dianggap sebagai rakyat kepada Queen of Great Britain. Queen menjadi payung kepada jutaan rakyat yang dijajah termasuklah orang Melayu sebelum diberikan kemerdekaan pada 1957. Sewaktu itu, ada juga sesetengah ulama-ulama di negeri Tanah Melayu mendoakan kesejahteraan kepada Queen. Kini, Kota London dipenuhi tidak sahaja orang British tetapi dari Eropah timur hinggalah ke benua Cina. Rencam sekali.

3. Sebahagian besarnya pada waktu siang berada di dalam tanah. Ini kerana kebanyakan penduduk kota London menggunakan keretapi bawah tanah (tube) yang menjalar ke seluruh kota seperti sarang labah-labah. Dengan membayar tiket lebih kurang £5, kita boleh menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah untuk sehari. Seramai lebih kurang 27 juta setahun yang melancong ke London. Mereka datang dengan pelbagai tujuan selain sekadar melancong. Sebahagiannya meninjau keperluan untuk menjadikan kota London sebagai pentas penerus perjuangan mereka. Bagi negara-negara Komenwelth seperti Malaysia diberikan kelonggaran untuk tinggal selama enam bulan tanpa visa. Sekarang difahamkan, proses mendapatkan visa ke UK semakin sukar dan banyak prosedur yang perlu dipenuhi sebelum diluluskan. Walaupun bayaran pelajar luar Eropah tiga kali ganda dengan bayaran pelajar tempatan dan Eropah, namun sejak akhir-akhir ini kerajaan UK semakin mengetatkan permohonan untuk mendapatkan visa.

4. Gandhi, Lenin, Karl Marx dan banyak lagi pemimpin politik dunia memulakan karier politiknya di London. Kota London semacam memberi satu ruang atau kesempatan untuk seseorang membina rangkaian dan pemikiran politik. Sewaktu ditanya kepada Gandhi mengapa dia keluar negara (UK), dia hanya menyebut, `untuk mencapai cita-cita saya’. Akhirnya, Gandhi berjaya menjadi seorang peguam dari University College of London. Pergaulannya dan pemikirannya berubah menjadi lebih prihatin terhadap nasib negara yang terjajah. Semua ini membentuk pemikiran kepada gerakan kemerdekaan India daripada British.

5. Beberapa pimpinan gerakan Islam yang berada dalam buangan berada di London ataupun di sekitar kota-kota di United Kingdom (UK). Antaranya seperti Rashid Ghanuaschi, Saiful Islam Hassan al Banna, dan lain-lain menyebarkan idea politik mereka dari UK. Bahkan pemimpin Hindraf sedang cuba mendapat perlindungan di kota London. Jika dia balik ke Malaysia, ISA kemungkinan sedang menanti di pintu imigesen KLIA. Cuma ada bezanya orang dalam buangan dengan orang yang tak mahu berjuang di tanahair. Ada beberapa kecenderungan di kalangan sesetengah ahli politik yang lebih selesa ’berjuang’ di UK berbanding di tanahair sendiri. Mereka mengaturkan beberapa alasan untuk ’berjuang’ dari jauh walaupun keadaan tanahair mereka sebenarnya adalah selamat. Hakikatnya, kehidupan di UK lebih selesa dan memenuhi selera orang yang sering mendakwa mereka ’berjuang’ hakikatnya mereka adalah golongan `yang gugur dalam berjuang’.

6. Pada kebanyakan pemimpin negara-negara sedang membangun dan mundur di Asia dan Afrika menggunakan pendekatan kepimpinan diktator untuk memastikan keamanan negara terjamin. Penangkapan dan penyisihan musuh-musuh politik sangat berleluasa terutama di negara-negara benua Afrika dan Asia Barat. Bukan sekadar tidak mendapat keadilan tetapi penyiksaan dan penindasan yang dilakukan sesetengah regim sukar dikesan oleh masyarakat. Setakat ini, keadaan politik Malaysia tidak sedemikian rupa. Oleh itu, tidak wajar untuk orang Malaysia melarikan diri ke London.

7. UK terus menjadi medan penyebaran idea demokrasi dan kebebasan walaupun dalam masa yang sama kerajaan UK cuba mengawal syarat-syarat kemasukan pendatang. UK terus menjadi lubuk buat mereka yang terpaksa melarikan diri daripada negara asal demi meneruskan perjuangan mereka. Ini tidak sekadar pemimpin politik seperti Thaksin, tetapi juga penulis, penyair, pemuzik, pelukis dan bekas tentera. Mereka menulis ataupun berkarya bagi mencipta satu lagi gelombang kebangkitan rakyat di negara mereka melalui karya mereka di negara asing. Mereka terus bersuara samada melalui tulisan, lukisan dan muzik.

Thursday, 2 October 2008

Aidil Fitri Tanpamu.....

Aidil Fitri ini kali kedua kami beraya di UK. Beraya berjauhan daripada keluarga tersayang memang merindukan. Tapi bukanlah tidak memeriahkan, cuma sedikit kehilangan yang selama ini tidak begitu difikirkan.

Ukuran kemeriahan Aidil Fitri bukan pada hidangan makanan yang pelbagai atau hiasan rumah seperti ingin mengadakan pesta keseronokan. Kemeriahan Aidil Fitri terletak sejauhmana falsafah madrasah Ramadhan itu dapat dimanfaatkan. Tidak pada solat terawih semata atau lapar dahaga.

Raya ini, sudah sebulan lebih pemergian almarhum ayahanda kami tercinta. Pergi tak kembali. Pergi menghadap Ilahi. Baru terasa betapa hebatnya pengorbanan seorang bernama AYAH yang kupanggil BAPAK. Yang berkorban demi kelangsungan perjuangan umat. Tidak pernah kenal jemu dan putus asa demi mendidik masyarakat. Enggan mengalah meski di saat nyawa di penghujungan jalan. Mendidik diri kami menjadi insan yang berjaya dan berjasa pada perjuangan. Tidak meninggalkan seinci bendang atau tanah perladangan tetapi mewarisi kami sebuah madrasah untuk kami bangunkan demi melahirkan anakbangsa yang beradab dan berilmu. Berpengetahuan sambil berjalan sepanjang kehidupan dengan pedoman.

Saat-saat begini baru kita memahami betapa kehidupan itu mesti dimanfaatkan untuk umat. Kerana di situ ada ruang untuk kehidupan diri kita yang sebenarnya yang lebih abadi. Mengetahui tidak sama memahami. Sepertilah juga memahami juga tidaklah sehebat menghayati satu kehidupan.

Selamatlah almarhum di pusara. Dibasahi dengan air syurga. Dilindungi awan yang bertasbihan. Sinarlah kegelapan bumi dengan nurNya. Tidakkan sendiri bersemadi. Bawalah ia bersama berhimpun dengan para mursalin, solihin dan anbiya'. Ampunlah dosa al marhum, terimalah ibadahnya, terimalah doa kami, panjangkanlah belas kasihanMu Ya Rahman, Ya Rahim pada almarhum ayahanda kami.

Sunday, 14 September 2008

Jadilah Pulau!

Berkecamuk memikir soal kemelut politik. Bergaduh soal kuasa yang tak pernah surut. Awal-awal seperti berpatah arang berkerat rotan tapi kemudian 180% berubah menelan ludah sendiri. Jilat najis sendiri. Sebenarnya tiada kerasionalannya dalam berpolitik. Kadangkala atau mungkin selalunya kuasa `bawah sedar' itulah yang mengatur strategi orang politik. Aku tak marah pada orang politik kerana aku sendiri sedang bereksperimen tentang metos dan dongeng politik. Arwah Ustaz Fadzil kata, khurafat terbesar sekarang adalah mempercayai UMNO sebagai pelindung keamanan, kesejahteraan dan rezeki orang Melayu.

Pun demikian, kita juga jangan jadi terus taqlid pada pemimpin politik yang membuat pertimbangan salah. Salah pada kita mungkin tak salah pada orang lain. Kalau PAS fikir tidak perlu menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat, PAS perlu memilik peranan tersendiri dan penting. Banyak perkara yang memungkinkan pendekatan ini boleh berlaku. Kan ini politik. Yang jelas, saf kepimpinan PAS tidak sebulat dalam hal ini seperti bulan purnama yang menjadi simbol parti. Sekerat bercakap soal moral, maruah dari memperolehi kuasa dari `rampasan kuasa'. Sekerat pula berhujah, untuk apa disandarkan maruah pada demokrasi yang sistemnya sudah korup?

Situasi begini memang memerlukan pemimpin yang tegas dan kuat pendirian. Presiden PAS, Ust. Hadi Awang jelas membina kembali kepercayaan diri selepas Muktamar untuk membuat sebarang keputusan untuk masa hadapan parti dan perjuangan Islam di tanahair. Memang terdapat khilaf tentang samada terus menyertai Pakatan Rakyat, berkecuali dan tentu sekali tidak berada di celah kangkang UMNO. Respon Cikgu Mustafa Ali tentang moral perjuangan perlu juga difikirkan. Meskipun ada pihak yang mempersoalkan cara sesetengah pemimpin tertinggi (ia merujuk Ust. Nasaruddin Mat Isa) bermukabalah atau bermuzakarah dengan pemimpin UMNO juga satu tindakan tidak bermoral! Biarpun sudah ada penjelasan dari Majlis Syura namun pandangan Mursyidul Am yang mengetuai Majlis Syura tidak sehaluan. Manakala sesetengahnya berfikiran PAS sudah berada di landasan yang tepat apabila masyarakat bukan Islam mulai menyokong. Meskipun belum pasti ukuran sokongan itu bersifat protes atau proses pembinaan keyakinan politik PAS. Jika PAS meninggalkan jalan berpakat dengan Pakatan Rakyat, ia seperti membuang air di daun keladi. Tentu sekali, Murshidul Am, Dato KJ, Dr. Ramli Hatta, Dr. Dzul dan rakan-rakannya yang lain tak mahu hal ini berlaku.
Abang Mat Sabu, Ust Idris Ahmad, Mahfuz Omar dan Salahuddin masih belum jelas stand tentang isu ini. Kita raikan khilaf ini. Ya, inilah kebijaksanaan pemimpin. Namun, hakikatnya rakyat semakin kelabu.

Sewaktu saya di tanahair, seorang pemimpin DAP Perak meluahkan kesalnya pada `adegan mukabalah'. Seolah-olah lepas ini, mereka tidak mahu lagi mempercayai PAS! Nadanya seperti jenaka walaupun berbaur ugutan ringan. Manakala pemimpin akar umbi terus berdendam dengan UMNO sepertilah marah kepada Abu Jahal dan Abu Lahab. Abadan! UMNOpun perlu belajar daripada keputusan pilihanraya. Untuk menafikan peranan UMNO dalam pembinaan negara tidaklah adil. Seperti tidak adilnya UMNO berfikir bahawa tiada peranan parti-parti pembangkang lain dalam membina demokrasi dan negara merdeka ini.

Di tengah-tengah masyarakat hampir tenggelam dengan tsunami politik tanahair, kita perlu jadi pulau. Menjadi penyelamat rakyat yang hampir kelemasan dipukul ombak, tertelan air masin laut dan sejuk angin. Kitalah pulau yang menjadi pelantar kepada berlabuhnya bahtera yang dilambung ombak. Pemimpin politik tanahair hari ini berkejaran seperti mengejar atau dikejar bayang-bayang dan impian. Rakyatpun ikut berlari bertempiran tak tentu hala. Penangkapan ISA menambahkan ketidaktentuan meskipun nampaknya seperti terhenti sebentar kekalutan dan keceluparan. Tapi ini mungkin permulaan anarki tahap yang lebih kritikal. Kenaikan kos kehidupan menambahkan lagi tajamnya anarki kali ini.

Jika sebaliknya ingin terus bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru - jangan pula di pulaukan. Terpinggir jauh. Melukut di tepi gantang. Ada tak menambah, tiada tak mengurang. Ketika ini - PAS perlu menjadi sejalur banjaran yang menjadi tulang belakang kekuatan tanah besar. Menjadi benteng kekuatan kepada rakyat dan segala makhsul negara. PAS perlu dilihat dari sudut mana sekalipun sebagai sumber kekuatan rakyat itu. Macam memandang Banjaran Titiwangsa atau Sierra Nevada dari runtuhan kota Madinatul Az Zahra di Cordoba.

Macam penting sangat peranan PAS dalam politik Malaysia! Jangan tanya aku!











Wednesday, 3 September 2008

Luar Biasa Politik Melayu Berfikir

Telah lebih dua bulan genap aku tak menulis dalam blog ini. Kali ini tamatlah tempoh gelap aku. Tak menulis seperti tak terbit matahari di pagi hari. Tak menulis seperti manusia yang terbaring menanggu waktu. Pasif.
Izinkan aku mulakan blog musim ini dengan karenah orang politik Melayu berfikir. Mereka berfikir standard cerita lisan klasik Pak Kaduk dan Si Lebai Malang. Ini berlaku baik di sebelah parti sini ataupun parti sana. Terlalu sukar untuk keluar daripada kepompong cerita lama ini. Kesimpulan dari akhir cerita itu adalah jenaka yang menikam diri sendiri.
Pemberian Kerajaan PR Perak 400 ekar tanah kepada sembilan SRJK Cina adalah contoh terbaik bagaimana orang Melayu berpolitik. Pemberian itu seolah-olah tanah di negeri Perak telah habis. Seperti orang Melayu tak punya tanah. Tanah Rizab Melayu di Perak yang sejumlah lebih kurang 5 juta hektar pada tahun 1957, kini khabarnya hanya tinggal 2.45 juta hektar. Walaupun Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan undang-undang untuk menggantikan tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan dengan saiz dan tabi yang sama namun kerajaan Perak yang lalu tidak berbuat demikian.
Sedangkan dalam tempoh kerajaan Perak yang lalu memerintah, beratus ribu (mungkin berjuta) hektar tanah diberikan kepada individu bukan Melayu atas nama pembangunan tidak pernah dipersoalkan. Kadangkala, tanah anugerah diberikan oleh kerajaan Perak (lama) kepada individu Melayu (tentu sekali kepada pemimpin UMNO) tetapi mereka hanya transit untuk dipindahkan hak milik itu kepada peniaga bukan Melayu. Bila bercakap begini - agak perkauman nadanya. Banyak contoh boleh diberikan. Standard politik Melayu adalah menjadi broker dan transit kepada kekayaan ataupun matlamat kaum lain. Orang Melayu seperti buaya yang kena tipu dengan sang Kancil sewaktu mahu menyeberang sungai. Sudahlah kepala buaya (yang kononnya garang dan ganas) diketuk, ditipu hidup-hidup pula. Alangkah murahnya buaya atau politik Melayu itu.
Sementara itu, pemberian tanah sebagai modal politik juga harus difikirkan semula. Ini merupakan pendekatan lama yang perlu difikirkan kaedah yang lebih selamat dan menguntungkan semua pihak. Teringat pula cerita Sultan Kedah dengan Francis Light tentang hikayat hilangnya Pulau Mutiara. Begitu juga cerita Sultan Johor dengan Stamford Raffles tentang hikayat Temasik yang menjadi Singapura. Begitu juga sikap Raja Siam memberikan negeri Patani, Kelantan dan Terengganu kepada British bagi memastikan kuasa politik mereka terus kekal adalah satu lagi contoh.
Sewajarnya kita mempelajari bagaimana politik yang berkuasa untuk memperolehi modal tanah yang lebih luas dan bermakna. Bukan tanah yang dijadikan modal untuk memperolehi kuasa politik. Jepun meskipun mempunyai tanah subur yang sekangkang kera tetapi melalui teknologi mereka dapat memanfaatkan setiap inci tanah itu. Kuasa barat pada abad ke 16 yang menghadapi kekurangan tanah dan modal di bumi sendiri telah melancarkan pembesaran wilayah pengaruh mereka dengan menjajah bumi Timur. Ini adalah perkiraan politik yang bijak.
Ringkasnya, tanah bukan modal politik.
Harap kesimpulan ringkas ini dapat difahami semua.