1. Selepas melewati usia lebih 60 tahun, PAS sudah banyak berubah. Sudah lain dari asalnya. Memang lain sekali.
2. Asalnya dari sebuah parti bernama Persatuan Ulama Se Tanah Melayu yang dianggotai oleh alim ulama. Yang DiPertua Agong pertamanya seorang ulama terkenal, Tuan Hj. Ahmad Fuad Hasan. Ulama kaum tua, berpengaruh dalam istana, belajar di Mekah dan berkawan rapat dengan Dato' Onn Jaafar. Semua AJK pertama persatuan itu adalah ulama.
3. Dalam Persidangan Persatuan Ulama Se Tanah Melayu ke 3 yang bertempat di Titi Serong, perwakilan bersetuju menukar nama kepada Persatuan Islam Se Tanah Melayu agar dapat melewati pengaruh politik di luar kawalan ulama. Akhirnya, masuklah Dr. Burhanuddin al Helmy, Dr. Zulkifli Muhamad, Mohammad Taha Talu, Khatijah Sidek, Abdullah Zawawi dan beberapa ahli politik kiri jika tidak sosialis tapi mereka lebih nasionalis.
4. Penentangan mereka terhadap Jus Soli daripada Perlembagaan 1946 Malayan Union hingga Perlembagaan Persekutuan 1948 terus konsisten. Pembentukan Malaysia 1963, ditentang oleh PAS kerana menyebabkan orang Melayu semakin mengecil samada dari segi demografi, ekonomi dan juga politik. Sepanjang 60an hingga pilihanraya 1969, agenda perjuangan PAS adalah mempertahankan hak kepentingan orang Melayu Islam daripada ancaman bukan Melayu. Kecaman dan kritikan terhadap Perikatan-Umno kerana mengkhianati amanah bangsa Melayu kepada mereka.
5. Selepas Tragedi 13 Mei, pimpinan PAS bagai mengubah haluan dari sebuah parti pembangkang di peringkat nasional kepada sebuah parti kerajaan setelah bersetuju mewujudkan kerajaan campuran PAS-Perikatan dan seterusnya membentuk BN pada 1973. Bersama-sama dengan Umno untuk membangunkan Islam dalam kerajaan dan negara.
6. Peralihan kepimpinan Umno dari Tun Razak kepada Hussein Onn mempengaruhi akhirnya perubahan kepimpinan dalam PAS dari Dato' Asri kepada Yusuf Rawa yang bertemakan kepimpinan ulama. PAS menjadi lebih konservatif, tradisionalis dan lebih radikal dengan idea negara Islam.
7. Sebaliknya dalam keradikalan itu, PAS menghulurkan salam persahabatan dengan masyarakat bukan Islam dan mewujudkan kerjasama politik melalui CCC. Meski gagal dan menyebabkan Ustaz Nakhaie letak jawatan dan berundur dari parti. Idea tahaluf siasi dikembangkan dari untuk masyarakat bukan Islam kepada parti-parti politik serpihan seperti S46, Hamim dan Berjasa.
8. Tahun 1998, PAS secara rasmi berkerjasama politik dengan DAP yang sejak 1963 (PAP) 1965 (DAP), yang selama ini berlaga arus. DAP yang menentang konsep `negara Islam' berada dalam satu barisan dengan PAS yang menentang konsep `Malaysia Malaysian'.
9. Pilihanraya 2008, pertama kali wanita India menjadi calon PAS di Johor. Ini tidak pernah berlaku. Dr. Mariah menang di Parlimen Bukit Raja, kawasan majoriti bukan Islam. Berpuluh ribu lagi menjadi ahli Kelab Penyokong PAS di seluruh negara. Orang bukan Islam dan Melayu tanpa rasa bimbang mengibarkan bendera PAS, melaungkan `Allahuakbar' dan sanggup ber`jihad' demi Islam.
10. PAS sudah lain. Lain dari yang lain.
...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
5 comments:
masa aku pergi ke bukit gantang ari tu, aku nampak pemuda india pakai baju kat belakangnya tulis "kami pemuda hindu bersama tok guru dan pas". mmg dah berubah...tapi takut lama-lama PAS berubah jadi UMNO, UMNO berubah jadi PAS...susah tu!!!
Sejak 1970 han setiap kali PRU saya akan menyokong PAS atau yg seangkatan dgnnya.Alhamdulillah, bila tsunami politik melanda,PAS menang dan bersama PR dapat mentadbir beberapa negeri.Saya ingin mengimbau kembali nostalgia semasa tinggal dikampung asal saya diSg.Lampam sekitar 70 han. Kalau skrg org bukan Islam memakai baju PAS adalah perkara biasa, suasana pada 1970 han sangat jauh berbeza ibarat langit dgn bumi.DiSg. Lampam,jumlah org yg aktif dlm PAS boleh dikira dgn jari,sekadar menyebut beberapa nama yg saya masih ingat spt ustaz Danuri,Kang Dol,HjDawam,Usop Kedai dan Pak Hasim.Mereka inilah antara yg aktif dlm PAS ketika itu.Ada ramai lagi yg menyokong PAS tapi tidak menzahirkannya atas sebab-sebab tertentu.Selepas era 70 han, saya tidak mengetahui perkembangan PAS dikampung kerana merantau kenegeri lain sehinggalah nama saudara Muhaimin dipilih menjadi calon DUN Sg.Manik.Semenjak detik itu PAS telah memasuki era perubahan yg ketara dan sungguh membanggakan terutama sekali penglibatan golongan muda.Kemarahan rakyat akibat dari rampasan kuasa diPerak akan menjauhkan lagi org Melayu daripada umno/BN. Dengan ini saya sangat yakin PAS akan menang diDUN Sg.Manik dan parlimen Pasir Salak seterusnya merampas kembali negeri Perak diPRU akan dtg.... InsyaAllah.TAKBIR!
Ok Min, Takbir...
Assalamu'alaikum Min, ok di sana, selamat berjuang
Kali pertama menjadi pengundi ketika di ITM, Shah Alam. Saya memang mengundi BN dan juga untuk PRU selepas itu. Menyanjung Dr Mahathir kerana beliau saya anggap politikus yang membawa banyak perubahan kepada Melayu.Disogokkan dengan berita2 yang hanya menjurus kepada BN dan UMNO. PAS adalah parti yang asing pada saya. Saya teringat ada seorang kawan di asrama di Ipoh yang lebih kedepan tentang politik daripada kawan2 yg lain. Beliau adalah penyokong tegar PAS. Masih lagi beliau dgn PAS sehingga hari ini walaupun tiada meminta apa2 balasan. Saya agak kurang matang tentang hal2 politik sehinggalah Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO. Internet pun mula menjadi perkara wajib diketahui. Maka mulalah terserlah penipuan UMNO selama ini untuk berkuasa. Saya tidak bersama PKR tapi lebih mendekati PAS .
Post a Comment