Jangan biarkan emosi kalian dikuasai dengan tajuk di atas. Jangan terus membuat kesimpulan sebelum ataupun selepas membaca artikel ini. Jangan anggap tulisan ini sebagai suatu nasihat apatah lagi teguran. Ia sekadar satu fikiran lepas saya terhadap politik. Politik adalah satu medan yang paling menarik kerana di situlah lubuk utama kejadian penting dunia. Politik samada disukai atau tidak, ia pasti memberi kesan langsung kepada semua.
Khabarnya pilihanraya umum di Malaysia semakin hampir. Paling awal mungkin penghujung tahun ini. Ataupun mungkin lebih awal lagi. Dan Anwar tidak lagi menjadi faktor utama dalam penentuan tarikh pilihanraya kali ini tetapi lebih kepada faktor Abdullah Ahmad Badawi. Bukan tidak penting faktor Anwar dan penting sangat faktor Abdullah. Tidak. Tidak seperti zaman Mahathir dulu, ia lebih kepada faktor Anwar. Biarpun Mahathir yang mempunyai `kuasa' menentukan waktu pilihanraya tetapi Mahathir sendiri akan mengambil kira pengaruh faktor Anwar untuk membuat perkiraan itu. Kali ini, Abdullah mencari indakator lain dalam menentukan tarikh pilihanraya.
Dalam sesi era pra-pilihanraya, biasanya isu pembahagian kerusi adalah episod yang paling menarik. Perbincangannya mungkin memakan masa tetapi ia lebih ironinya adalah mungkin memakan hati. Isu permaufakatan politik memang sedap didengar. Ia seperti suatu kata-kata yang indah dalam puisi. Tapi hakikatnya ia sukar untuk difahami dan dihayati. Kesukaran akan bertambah apabila masing-masing memiliki kepentingan tertentu. Masing-masing boleh mendakwa kepentingan mereka berasaskan falsafah permaufakatan politik (mengikut tafsiran masing-masing).
Apabila suatu kerusi PAS diberikan kepada PKR atau sebaliknya, ia akan menimbulkan suatu tindakbalas daripada akar umbi. Bagi akar umbi PAS, alasannya mudah - PKR tak ada jentera, PKR tak ada pengikut, bahkan sesetengah tempat PKR tak ada pimpinan! Nah. apa pula alasan untuk PAS menyerahkan kerusi kepada PKR? MEmadaikan untuk golongan akar umbi berpuas hati dengan hujah permaufakatan politik (ataupun lebih lembutnya disebut tahaluf siasi)? Golongan akar umbi memang sukar diberikan kefahaman jika waktu yang diberikan terlalu singkat. Ini memerlukan satu proses yang panjang dan memberi peluang golangan akar umi berfikir lebih tenang dan rasional. Maafkan lah kalau dikatakan bahawa sebahagian golongan akar umbi sering tidak berfikiran rasional - mereka lebih emosional. Yang lebih parahnya apabila golongan yang sedikit ini menguasai jentera pilihanraya di peringkat kawasan ataupun DUN.
(Ini berbeza dengan golongan akar umbi UMNO - mereka memang emosi dan biasanya umpan untuk menueutralkan ketidakpuashatian mereka adalah dengan fulus) . Bagi golongan akar umbi PAS mereka tidak makan dengan wang ataupun pangkat. Mereka dididik dengan rasa tanggungjawab terhadap perjuangan parti lebih besar dan utama daripada keperluan peribadi sendiri.
Maka oleh sebab itulah, golongan ini memerlukan sentuhan daripada pimpinan yang sememangnya bersifat elit. Elit dalam konteks kepimpinan PAS ini bukan bermaksud bermewah dan bersendirian seperti elitnya UMNO. Elit dalam kepimpinan PAS adalah sifatnya yang tersendiri dan sedikit tetapi memiliki kuasa ke atas golongan akar umbi. Memang sukar untuk pimpinan memberikan ruang waktu kepada golongan akar umbi kerana kekangan waktu. Tidak dapat tidak, golongan elit pimpinan PAS perlu membina rangkaian pimpinan yang boleh memberikan kefahaman dan keserasian untuk menerima sebarang arahan dan keputusan daripada pimpinan. Namun, kecenderungan ini tidak begitu popular dalam budaya kepimpinan PAS sebagaimana yang ada dalam UMNO. UMNO membina klik ataupun kroni berasaskan rangkaian keuntungan bersama bagi memastikan idea kepimpinan berlangsung dari negeri - bahagian hingga ke peringkat cawangan.
Memang mudah membuat rangkaian antara peringkat Pusat dengan Negeri tetapi agak sukar untuk membuat rangkaian antara peringkat Negeri dengan Kawasan dan cawangan. Tiada cara yang mudah kecuali bermula daripada sekarang.
Pendekatan ceramah umum seharusnya dilihat sebagai medium untuk umum ( dan inilah yang menjadi amalan sekarang). Soalnya bagaimana dengan pembinaan terhadap medium untuk golongan akar umbi yang sebahagiannya menjadi jentera piliharaya? Berdasarkan pengalaman, terlalu sukar golongan akar umbi ini untuk datang mendengar taklimat ke peringkat negeri apatah lagi pusat. (UMNO agak senang kerana pengikut mereka macam semut kebulur gula. Pemimpin datang bawa gula-gula je - selesai!) Bahkan untuk datang ke markaz kawasanpun, golongan akar umbi ini masih dianggap payah untuk dibawa bersama. Inilah masalah dan cabaran PAS. Bukan masalah pada pimpinan PAS tetapi juga kepada seluruh ahli dan penyokong PAS.
Masih payah untuk membuang tabiat menunggu pilihanraya baru nak bekerja. Sepatutnya kerja-kerja pilihanraya sudah bermula dan pilihanraya hanya waktu penyerang sudah berada di pintu gol. Sekarang tengah mencari padang untuk bermain ataupun sedang meratakan tanah untuk dijadikan padang perlawanan!
Oleh itu, politik maufakat yang mempunyai nilai dan keperluan semasa yang penting mungkin boleh bertukar menjadi politik maut jika salah kendalian. Ini bukan soal kepimpinan sahaja tetapi ini juga soal mentaliti pengikut dan penyokong. Bagi pimpinan, bagaimana harus mereka memberikan kefahaman tentang konsep politik maufakat. Bagi pengikut pula, bagaimana harus mereka memahami tentang konsep politik maufakat. Jika kedua-dua ini tidak bertemu titik pertemuan, ia mungkin menjadi politik sebaliknya. Politik maut!
No comments:
Post a Comment