...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday, 3 September 2007

Perang Sesama Manusia: Apa Sebabnya?

Pembunuhan Habil oleh abangnya Qabil merupakan pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Inilah permulaan kepada peperangan antara manusia selanjutnya. Kedua-dua merupakan anak kepada Nabi Adam a.s. - bapa kepada seluruh manusia yang pernah menikmati kehidupan syurga Allah s.w.t. Bukan sebarang anak. Tetapi anak kepada seorang nabi Allah s.w.t. Pembunuhan itu sekali pandang adalah disebabkan oleh perempuan. Habil diperintahkan oleh Allah s.w.t. mengambil adik kembar Qabil sebagai isterinya dan sebaliknya Qabil pula mengambil adik kembar Habil untuk meneruskan zuriat manusia di mukabumi. Namun Qabil enggan menerima perintah itu. Selepas itu, Allah s.w.t. memerintahkan kedua-dua anak nabi Adam mengorbankan sesuatu untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t. Allah menerma korban Habil. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati pada Qabil dan kemuncaknya cemburu buta itu adalah dengan ia membunuh saudaranya sendiri.
Ali Syariati menghuraikan kisah itu sebagai satu pertentangan kelas. Habil mewakili kelas proletariat yang mustaafin tetapi berjiwa besar dan sebaliknya Qabil pula mewakili kelas borjouis sekaligus bersifat mustakbirin. Idea pertentangan kelas ini adalah asas dari pemiiran Karl Marx yang menyebut bahawa pertentangan manusia ini adalah disebabkan faktor perbezaan ekonomi. Perbezaan ekonomi menyebabkan rasa tamak bertambah dan rasa tidak puas hati memuncak.
Bolehkah diandaikan juga bahawa pertentangan antara kelas ataupun antara Habil dan Qabil kerana tidak mengikut perintah Allah s.w.t. Bukan kerana perempuan. Bukan kerana harta. Bukan kerana pangkat. Tetapi keegoan yang menguasai diri dan berasa bahawa ia lebih firaun daripada yang lainnya. Namun, idea tentang faktor tidak mengikut syariat terlalu umum dan sukar diterima sebagai hujah akademik. Entahlah mengapa sebabnya. Itulah yang menjadi tanggungjawab kita semua berfikir dan menyelesaikannya.
Berbalik tetang perang berlaku sekarang. Dari Korea Utara hingga ke benua Afrika - apakah yang menyebabkan perang berlaku. Manusia membunuh sesama manusia. Ada yang beranggapan memang manusia bersifat ganas dan suka kepada keganasan. Sedangkan Islam beranggapan bahawa manusia itu lahir dengan fitrah yang bersih dan ia semakin dikotorkan dengan kehidupan yang kotor dan menjijikkan. Lalu cara keganasan yang dibenarkan oleh undang-undang adalah berperang atas nama keamanan dunia sarwajagat. Maka entah berapa jumlah perang dilancarkan semua atas keamanan dan keselamatan negara ataupun dunia tetapi sebaliknya mempunyai motif yang lain - ekonomi seperti kata Karl Marx. Atau tidak ikut syariat - kesimpulan yang mudah.
Dari isu Antartika dalam konteks antarabangsa hingga kepada Isu Pulau Sipadan dalam konteks nasional - semua ingin bertegang urat leher kerana faktor ekonomi - minyak. Dan sekarang sibuk nak bergaduh di atas cakrawala - siapa yang ingin berkuasa di langit dan di bumi? Cakrawala adalah medan ekonomi dan politik yang luas dan menguntungkan. Entah berapa ribu satelit (sebenarnya ibarat kereta kebal) yang dilancarkan untuk menjajah ruang langit itu? Apa tujuannya - ingin menguasai ekonomi daripada teknologi informasi dan komunikasi. Ingin bina empayar lagi? Inilah yang disebut new colonialism. Penguasaan informasi global menjadikan sejarah dan masa depan sebagai satu acuan yang standard. Inilah ancaman sebenar kepada kewujudan manusia itu sendiri. Manusia ingin mencipta manusia yang standard. Hilang nafsu. Tiada akal. Tenggelam firasah pertimbangan. Ia mahu seperti manusia robot. Akur dan takut.
Perang sesama manusia akan terus berlaku. Sebabnya terlalu banyak. Bukan satu seperti Karl Mark sebutkan.

No comments: