...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday, 6 January 2007

Kenduri Doa Selamat Di Hanover Street

Alhamdulillah, selesailah majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan di teratak kami, Hanover Street, Swansea pada 1 Januari 2007. Terima kasih atas kehadiran sahabat handai daripada Swansea, Lampeter, Chamerthen dan juga Birmingham yang turut serta berdoa, bertahlil, bertakbir bersama-sama untuk mengimarahkan teratak kami. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberkati majlis tersebut. Majlis tahlil yang dipimpin oleh Ust. Zuhdi Marsuki daripada Universiti Of Wales, Lampeter bermula kira-kira 1.15 tengahari. Kami sekeluarga tinggal di rumah beliau di Afallen, Byrn Road, Lampeter selama dua minggu sebelum mendapat teratak yang kami sewa ini.

Terima kasih juga kepada Brother Bob dan isteri, Safiah, Brother Salahuddin dan isteri, Zuraidah yang turut menyediakan makanan tambahan. Terima kasih juga kepada Azraie yang ternyata hebat memasak kari Bangla yang cukup menyelerakan. Tak sangka juga, Ilda dan Ija bawa makanan. Takut juga kalau tak cukup. Alhamdulillah, Allah s.w.t. dah cukupkan rezeki pada hamba-hambaNya. Tinggal lagi hamba-hambaNya ini bersyukur ataupun tidak. Bukankah nikmat Allah s.w.t. tidak terhingga?

Sebelum kenduri, kami berkesempatan ziarah raya ke rumah Salahuddin dan Brother Bob pada raya pertama. Raya kedua kami pergi beraya ke Lampeter. Raya ketiga tiba giliran teratak kami. Sehari dua itulah kami sekeluarga bergotong royong mengemas dan menyediakan kelengkapan dan keperluan.

Terima kasih juga pada Shah dan Azraie yang bawakan surah-surah Yassin. Nak cari surah Yassin kat Swansea memang susah. Yang ada al Quran sahaja. Tak ada wirid dan doa yang panjang secara berjamaah di sini. Wirid dan doa sendiri-sendiri. Apatah lagi untuk mengadakan majlis tahlil dan doa selamat.

Majlis hari itu bertambah meriah kerana para hadirin dihiburkan petikan gitar akuistik dan alunan nasyid oleh Abang Ismail. Beliau sudah 15 tahun berhijrah ke UK dan bekerja sebagai gardener-landscaping dan pemuzik. Kami bernasyid dan menyanyi bersama-sama dengan memuji Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Terasa terhibur dan bermakna dengan persembahan itu. Tak sangka juga Ustaz Zuhdi hebat bernasyid. Aku? Banyak lupa liriknya!

Tetamu perempuan juga berkesempatan dihiburkan apabila Abang Ismail membuat persembahannya di ruangan perempuan. Beliau diiringi dengan Man yang main gendang. Mengasyikkan!

Selepas solat maghrib di Masjid Swansea, kami bersama-sama kembali ke rumah untuk bertakbir raya Aidil Adha. Selepas itu, Ustaz Zuhdi memberikan sedikit tazkirah tentang sambutan hari raya korban kepada yang datang. James Killick yang akan berkahwin dengan pelajar Malaysia turut berminat mendengarnya. Begitu juga Paul yang baru setahun menganut Islam. Sepanjang majlis itu, kami berbincang pelbagai topik yang menarik samada yang berat ataupun ringan-ringan.

Sambil-sambil menjamu selera dan bersembang, para tetamu mencatatkan nama dalam buku catatan tetamu yang disediakan. Idea nak buat buku itu tiba-tiba timbul dalam fikiran aku bila pagi nak bersiap-siap mengemas rumah. Masing-masing tulislah apa yang patut ditulis.

Memandangkan ruang rumah yang agak terhad, mereka bersembang sesama sendiri dengan kelompok yang berasingan. Yang bujang bersembang di atas tangga. Sebahagian pula bersembang di ruang tamu. Yang anak-anak dara pula bersembang di tempat makan, yang mak-mak dara pula bersembang di bahagian belakang. Masing-masing saling bantu membantu menyediakan minuman, membasuh pinggan mangkok. Manakala, yang ada kemera, tak putus-putus merakamkan kenangan manis bersama. Pelbagai aksi candid dan yang tak candid.

Bernadi dari Indonesia, Abu Shuib dari Tunisia dan Zakaria dari Sudan turut hadir selepas solat maghrib. Bagi Abu Shuib dan Zakaria, hidangan cara Malaysia memang menyelerakan. Bayangkanlah, nasi minyak dan kari Bangla, nasi impit kuah sambal satay, mi goring, pudding bakar berlauk, pudding custard, bubur kacang campur chaca, dan sebagainya, tentulah menggiurkan!

Majlis malam itu berakhir kira-kira 9.00 malam. Wow! Kenduri marathon! Peserta tak bertambah tetapi yang bertambah hanyalah hidangan demi hidangan. Sudah habis yang utama, tibalah giliran makanan sampingan seperti buah-buahan, biskut dan coklat.

Kita jumpa lagi!

No comments: