Dan akan tercapai juga kemuliaan bangsaku, persatuan tanah airku.
Hilang perasaan perbezaan dan kebencian dan tercapai keadilan dan bahagia’’–
Pak Hamka, Tenggelamnya kapal van der wijck(1937)
Mukadimah
Aku mula mengetahui novel epik karya
Pak Hamka, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk’ sewaktu di Tingkatan Dua. Tetapi bukan daripada pembacaan novelnya. Aku
mengetahuinya melalui drama radio yang diadaptasi daripada novel karya Pak
Hamka. Waktu itu, memiliki televisyen dianggap sebagai harta mewah
bagi orang kampong seperti kami. Aku menjadi pendengar segmen drama radio yang
setia ketika itu.
Nama Pak Hamka lebih awalku
kenali kerana sewaktu kecil, nama ulama hebat Nusantara itu sering disebut oleh
arwah bapaku. Arwah bapa menyimpan beberapa buku karya Pak Hamka. Yang masih
ada dalam simpanan khutub khanah arwah bapa adalah ‘Merantau Ke Deli’. Sehingga kini, kukira karya Pak Hamka yang
benar-benar terkesan pada aku adalah ‘Falsafah Hidup’, ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’ dan ‘Di
Bawah Lindungan Kaabah’. Karya terbesar Pak Hamka adalah ‘Tafsir al Azhar’ yang
ditulisnya sewaktu merengkuk dalam tahanan regim Sukarno. Inilah harta warisan
Pak Hamka yang sentiasa membasahi tanah hijau ini.
Susuk ulama besar Nusantara ini
tidak sekadar seorang ulama yang terkurung dalam lingkungan madrasah atau
masjid sahaja. Inilah susuk ulama yang melibatkan seluruh hidupnya pada Islam
yang praktis. Dari segi politiknya, Pak Hamka seawal usianya menjadi ahli
Sarekat Islam, berjuang kemerdekaan dan terpilih sebagai anggota Dewan
Perundangan Jawa Tengah di bawah Parti Mahsyumi. Dipilih sebagai Ketua Umum pertama
Majlis Ulama Indonesia. Pak Hamka juga menulis pelbagai bentuk penulisan yang mengupas
banyak aspek kehidupan dari tafsir hingga ke novel.
Bagaimana seorang ulama besar
menghasilkan novel cinta?
Rakaman Sosial: Kritikan Yang Membangkitkan
Kebelakangan ini, aku tidak begitu
mengikuti sangat perkembangan novel popular di tanahair. Sesekali hujung bola mataku
mencuri deretan novel-novel cinta pada rak kedai buku ternama. Tajuknya sudah
cukup memualkan. Betapa banyak agama dan cinta digunakan sebagai perencah novel
popular. Ia seperti filem dan drama di televisyen. Inilah satu siri pembebalan
masyarakat yang berpanjangan dan kukira adalah episod doktrinisasi yang paling menyeksakan
bagi sang pintar. Untuk perbincangan ringkas ini, aku memilih karya dua novel
Pak Hamka (Tenggelamnya Kapal Van der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah) sebagai
satu perkongsian sama dalam mengkaji rakaman sosial semasa untuk memahami
peranan kita sebagai manusia di bumi Allah s.w.t. ini.
Kedua-dua novel Pak Hamka
berkisar usaha mewujudkan kemerdekaan dalam diri dan memperjuangkan keadilan
untuk masyarakat. Kritikannya terhadap masyarakat yang mewujudkan dua darjat
berdasarkan perbezaan kekeluargaan, pangkat dan harta benda. Pak Hamka menulis
novelnya dalam tahun-tahun akhir 1939. Ketika itu Nusantara masih dalam naungan
dan penjajahan. Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’ diterbitkan oleh Balai
Pustaka dan terlepas daripada penapisan kerana dianggap sebagai karya
agama. Seperti disebut oleh pengkritik
sastera Indonesia, H.B. Yassin, penulisan Pak Hamka sederhana tetapi berjiwa.
Sentuhan kata-kata Pak Hamka
menjadikan novelnya sentiasa ‘hidup’ dan memberi jiwa pada pembaca. Ia
menyedarkan bahawa peri pentingnya pemilihan isu, kata, bahasa dan tema
persoalan dalam berkarya. Ia bukan karya syok sendiri tetapi satu karya yang
mengangkat isu biasa sebagai satu persoalan penting untuk diinsafi oleh
masyarakat.
Pak Hamka memilih pendekatan ‘pengakhiran
yang menyedihkan’ dilihat seperti pasif. Namun kesedihan itulah titik tolak
kebangkitan pada jiwa pembaca. Watak utama dalam novel-novelnya berakhir dengan
tragedi. Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijk’, adalah kisah tentang watak
utama Zainuddin dan Hayati yang tidak dapat berkahwin kerana perbezaan darjat
dan keturunan. Hayati meninggal selepas kapalnya tenggelam dalam pelayaran. Zainuddin
juga akhirnya meninggal kerana kesedihan kehilangan kekasihnya itu.
Begitu juga dalam novel ‘Di Bawah
Lindungan Ka’abah’ watak utama Hamid yang meninggal di hadapan kaabah setelah mengetahui
kekasihnya Zainab meninggal dunia. Kedua-dua kekasih tidak dapat berkahwin
kerana perbezaan darjat dan sistem pemikiran masyarakat semasa ketika itu. Aku
tidak berhasrat untuk berkongsi sinopsis novel tersebut. Memadai untuk
kunukilkan tentang keupayaan Pak Hamka mengkritik ketidakadilan masyarakat
ketika itu terhadap masa hadapan anak muda. Corak pemikiran dan sistem sosial yang
sedemikian telah membunuh potensi anak muda untuk membangunkan masyarakat dan
negara.
Zainuddin dan Hamid adalah watak anak
muda yang milik kekuatan berkarya bagi membebaskan negara dari cengkaman
penjajah dan seterusnya membangunkan negara baru yang merdeka. Watak Zainuddin sebagai seorang
penulis terkenal tetapi kecundang dalam bercinta. Begitulah juga watak Hamid
yang merupakan seorang ilmuan dan memiliki peribadi untuk dicontohi dalam
masyarakat juga gagal dalam menguasai cinta yang terhalang.
Kedua-dua anak muda adalah lambang
mangsa kezaliman sosial yang diterima sebagai norma dalam masyarakat. Begitu
juga watak Zainab dan Hayati yang mewakili kelompok lemah, mangsa dalam sebuah sistem
nilai masyarakat yang tidak mengikuti syariat agama. Melalui novel ini, Pak Hamka cuba menggarap
potensi anak muda untuk masa hadapan negara yang akan merdeka. Mereka harus
berani menongkah arus, berkerat rotan, berpangkal arang jika mahu mencapai
keadilan dan kebahagian sejati.
Sebenarnya masyarakat di Malaya
ketika itu mengalami situasi yang sama. Ia diterjemahkan oleh karya Seniman Agung P.
Ramlee dalam filem epiknya ‘Penarik Beca (1955)’, ‘Antara Dua Darjat (1960)’
dan ‘Ibu Mertuaku (1962). Bezanya P.Ramlee bukanlah ulama seperti Pak Hamka.
Namun, kedua-dua sang pengkarya ini telah menterjemahkan sosio semasa untuk
dinilai secara halus melalui seni – filem dan novel. Sayangnya ramai asyik dengan kejelitaan seniwati Saadiah, Sarimah dan Zaiton dan kesyahduan lagu P. Ramlee daripada memahami tema filem tersebut.
Ada yang menyebutkan bahawa ‘Tenggelamnya
Kapal Van der Wijk’ adalahi ‘merayakan cinta, membangkitkan kesedaran berbangsa.
No comments:
Post a Comment