Tulisan ini respon aku kepada beberapa pertanyaan tentang
kritikan terhadap PAS Perak (fokusnya pada individu bukan parti) kebelakangan
ini. Aku ‘malas’ hendak melayan kerenah-kerenah
semasa begini. Hendaknya dipaksa-paksakan juga aku menulis pagi yang panjang
ini. Maka jadilah sepertinya ini:
Sebenarnya sukar untuk membuat kritikan. Kritikan melibatkan
kerja menilai tindakan sesuatu atau seseorang dengan kayu ukur tertentu. Soal kayu
ukur pun suatu bab yang sangat luas untuk diperbahaskan. Seperti kata Syed
Naquib al Attas, apabila kita melihat gelas yang dipenuhi separuh air, apa
tangapan kita? Gelas itu separuh kosong atau separuh dipenuhi air? Dari situlah
falsafahnya kita bagaimana kita melihat sesuatu. Air atau gelas yang menjadi
keutamaan?
Memang ada benar, bila buat kritikan kepada pimpinan adalah
bertujuan untuk memastikan pemimpin yang benar-benar bersih dapat ditampilkan
dalam pilihanraya nanti. Dan ini kononnya boleh menjamin kemenangan. Adalah
menjadi tanggungjawab bersama bagi membuat kayu ukur yang tepat bagi memisahkan
kritikan yang membina dengan luahan kata-kata kemarahan yang tidak memberi
apa-apa makna selain kemarahan semata-mata.
Pernyataan tidak setuju belum tentu dianggap sebagai suatu kritikan.
Ia mungkin sekadar suatu luahan kemarahan atau kekesalan. Jika kenyataan yang
bertaraf kemarahan, ia tidak banyak membantu untuk memperbaiki keadaan.
Kemarahan mungkin hanya membakar kebijaksanaan yang ada.
Lalu untuk menjadi blogger
atau facebooker yang ‘terkenal’,
salah satu pendekatan yang mudah adalah membuat ‘kritikan’ pada seseorang atau
sesuatu. Meskipun ‘kritikan’ itu begitu menyengat dan mendapat sokongan yang
banyak (melalui hit pembaca) hakikatnya tulisan tersebut adalah kosong fakta.
Yang ada hanyalah keupayaan menggarap isu dengan olahan ilusi-ilusi penulis sendiri
yang kadangkala boleh memerangkap minda pembaca. Tatkala itulah, pembaca akan
terperangkap pada ilusi-ilusi yang lahir daripada penulis yang jengkel.
Tidak dinafikan ada tulisan yang bersifat ingin membina melalui
kritikan dalam media terbuka melalui pendekatan-pendekatan menimbulkan sensasi.
Aku lihat ia sekadar suatu tulisan separuh masak daripada maklumat yang separuh
benar. Jika dimakan, kalian mungkin sakit perut!
Dalam situasi langit terbuka, pemimpin perlu membezakan
antara kemarahan dan kritikan akar umbi. Tidak melatah dan tercabar. Penyokong
akan mengunakan andaian dan ilusi-ilusi mereka bagi mempamerkan ‘semangat juang’
mereka. Tugas pemimpin antaranya ialah membawa penyokong di akar umbi berpijak
di bumi nyata. Jangan biarkan mereka men’jenin’ begitu lama. Dan pemimpin pula jangan
membadak.
2 comments:
Saya tak setuju dengan tulisan tuan.
Saya setuju
Post a Comment