1. Memang semasa dalam perjalanan, destinasi itulah yang kita fikirkan. Susah senang terpaksa diharungi demi sampai ke destinasi.
2. Sewaktu kutinggalkan tanahair empat tahun lalu, kufikir bagaimanakah susah senangnya belajar di sini. Ketika kumenduduki peperiksaan penilaian darjah lima pada 1975, ibuku menemani aku belajar waktu malam yang disinari pelita. Sesekali menari-nari api pelita itu ditiup angin yang tembus dari lubang rumah kami di Sungai Lampam. Arwah bapa selalu balik lewat kerana mengajar agama di surau atau masjid di kampong berhampiran. Walaupun mak bapa aku selalu mengingatkan agar belajar bersungguh-sungguh, aku kurang terasa nak belajar. Belajar setakat datang ke sekolah, dengar cikgu cakap, buat kerja rumah, jumpa kawan dan balik ke rumah jalan kaki. Petang masuk sekolah agama tepi rumah tapi akulah pelajar yang paling lewat sampai ke kelas. Kadang-kadang, ustaz masuk dulu.
3. Di sekolah agama, kami kena hafal sorof bahasa Arab secara berlagu. Aku tidak tahu apa gunanya nanti. Yang pasti, hafalan itu akhirnya kutemui maknanya sewaktu aku ambil paper bahasa Arab di UM. Kira-kira selepas berbelas tahun kuhafal. Malangnya banyak yang sudah kulupa.
4. Di sekolah menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai, aku berangan-angan menjadi seorang pujangga. Melukis jiwa dengan kata. Mewarna alam dengan rasa. Atas meja menjadi kanvas. Dinding tandas kutulis syair anak muda. Akhirnya, cikgu lukisan aku ajak buat pameran lukisan di sekolah. Ah mau jadi pelukis la!
5. Jiwa orang muda memang bergolak. Tidak pernah tetap. Asyik berubah. Sekejap menjadi pujangga, pelukis, sekejap mahu menjadi peniaga, sekejap mahu menjadi peguam. Arwah bapaku kata, jadi anak soleh!
6. Kukenal apa itu UMNO-PAS semasa di UM. Kawan aku kata, itu sejenis mee dengan laksa. Semua untuk dimakan. Aku ketawa. Suka analogi itu. Aku ambil Geografi, yang kudapat Politik. Waktu itu, student power kununnya hebat sangat. Berjinak-jinaklah menjadi anti-establisment. Kebebasan mahasiswa. Mahasiswa menggugat. Mahasiswa menggigit. Nasib baik aku tidak gigit jari selepas habis belajar di universiti.
7. Waktu terus berputar. Aku dan keluargaku berada di tanah Inggeris di awal musim dingin 2006. Menyambung impian belajar di negeri orang. Kuingat panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Bukan senang hidup di negeri orang. Malam bekerja, siang belajar. Tapi sudah berapa laut kulalui, aku tidak boleh berundur pulang. Redah juga gelombang lautan yang tidak pernah sudah. Pintu langit tidak pernah tertutup. Bukankah Tuhan Maha Pemurah? Manusia sahaja yang kedekut dan miskin usaha dan berfikir.
8. Kini aku berada di tanahair sendiri. Pengajianku memang dah selesai tapi belajar tidak pernah padam. Genap semingguku berada di sini, kuhayati sendiri perubahan dan pembangunan di sekeliling. Hutan hijau menjadi hutan batu. Pohon nyiur melambai-lambai berganti menara seribu kaki melangit.
9. PAS sendiri sudah berubah wajah. Pemikiran pemimpinnya juga bercambah dan bercapah. Sesekali membinggungkan. Sesekali mengajak aku berfikir sebentar. Apakah ini suatu proses transformasi sebelum diberikan tanggungjawab yang lebih besar. Atau apakah ini satu proses merundumkan perjuangan?
10. Parti-parti lain, bertarung sesama sendiri. Tarik rambut dan janggut kawan. Kalau boleh tanggalkan baju kawan. Politik itu memang begitu. Membenarkan perlumbaan dan pertarungan meski sesama sendiri. Untuk menyedapkan telinga mendengar, lunak memandang, maka ditafsirnya sebagai satu perlumbaan mengejar kebajikan. Demi memperkukuhkan parti. Untuk nusa dan bangsa. Kerana agama. Lillahi Taala.
Lalu, akupun berkata-kata; inilah waktunya kudatang padamu, Malaysia.
...
- MS
- Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com
2 comments:
SELAMAT KEMBALI KE SUNGAI LAMPAM YA USTAZ!
-NEGERI PERAK sudah tiada silauan perak lagi, kilaunya sudah sirna.
-salam eidul adha maaf zahir batin.
Salam, selamat kembali ke Malaysia. Saya doakan agar Abg Min sukses serta dipermudahkan Allah s.w.t. dalam semua lapangan yang direncanakan.
Post a Comment