...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 17 May 2010

Bapaku, Ustaz Sulam


Sebelum aku meninggalkan tanahair, bapaku memberikan sebuah kitab lama, `Dzadul Mutaalim' ataupun 'Bekalan Pelajar'. Dibelek-belek almari di biliknya untuk mencari kitab itu. Kitab inilah yang bapaku gunakan sewaktu mengajar budak-budak Maahad di masjid al Mansor, kampong aku, Sungai Lampam. Helaian awal kubaca, ayatnya sukar untuk difahami. Maklumlah, kitab tahun 1958. Bahasa kitab tua. Kubacakan kitab itu pada anak-anak aku di sini, ahh memang sukar untuk mereka memahami.

Kini kumengerti, hakikatnya kehidupan ini adalah belajar. Bekalan utama sebagai pelajar adalah tauhid, fiqah, tasawuf dan akhlak. Peganglah keempat-empat teras kehidupan ini. InsyaAllah akan selamat dunia akhirat. Tiada pusaka yang lebih berharga selain sebuah kitab tua ini. Aku khatam kitab ini semasa aku tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan yang sebenar. Aku masih kecil lagi. Yang kuingat adalah sifat 20 bagi Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu sehari semalam. Berpuasa di bulan ramadhan dan sebagainya. Memang kelihatan agak tradisional pendekatan kitab itu.

Sudah bertahun-tahun kutadah telinga mendengar bicaranya. Sewaktu duduk makan, selepas solat, tengah berbendang dan sedang memandu. Dari huruf Alif hinggalah kukenal erti kehidupan. Waktu gembira, saat berduka. Waktu bersama, kala bersendiri. Bapa tidak berhenti mengajar sehinggalah waktu aku memimpin bapa mengucapkan kalimah Allah di hujung sakaratul mautnya.

Sedari kecil, aku memang biasa mengikuti bapa pergi memberi ceramah maulid, maal hijrah dan mengajar di masjid. Dari motorsikal Suzuki hinggalah bapa mampu membeli kereta Opel kuning terpakai. Setidak-tidak menjadi teman bapa pulang di waktu malam. Aku masih ingat, bapa menepuk-nepuk aku yang tersenduk-senduk mengantuk ketika membonceng motorsikal. Memastikan aku tidak tidur. Kulawan juga mata ini daripada terlelap di tengah jalan. Aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Selepas pulang sekolah rendah, kami akan bersiap ke sekolah agama. Memang zaman itu, tidak ada istilah kelas tuisyen atau kelas tambahan.

Bapa mengajar untuk tidak bermusuh kerana parti politik. Memang sukar untuk mematuhi ajarannya bila aku sendiri aktivis politik. Politik semasa pula mengajar, merangsang politik sukuan, politik kauman, politik identiti dan politik untuk politik. Politik kita adalah hitam putih. Hanya ada dua pilihan. Tiada jalan ketiga. Bila bapa cenderung sedikit pada politik. Bapa terus menjadi mangsa.

Bertahun-tahun sebelum maut menjemputnya, bapa sudah memberi wasiat pada anak-anak muridnya. Ada lima wasiat yang tertulis di tembok pintu masuk ke Maahad al Islah. Itulah juga yang sering diungkapkan pada aku sewaktu aku kecil. Dua malam terakhirnya, bapa terus menasihati aku. Nasihat tidak pernah lekang dari mulut bapa biarpun aku sudah memutih helaian janggutku.

Bapa mengajar aku dengan rotan. Mendidik aku dengan cubitan. Menghukum aku dengan gigitan kerangge. Aku membuka lipatan al Quran perlahan-lahan sambil bapa mendengar bacaanku yang sering tersasar. Membetulkan dengan pandangan matanya yang tajam. Jenuh kuulang-ulang bacaan itu sehingga dia diam puas mendengarnya. Selalu bapa mengajar aku di depan tingkap. Sambil bersila menghadap bendang yang menghijau. Sambil melihat beburung berterbangan mencari padi.

Kini tiada lagi setapakpun bendang yang tinggal. Tiada lagi bendang yang pernah kuberkubang. Sudah tiada lagi kolam ikan keli atau sepat. Bapa dirikan bendang dengan madrasah. Dari madrasah yang dibina secara gotong royong bersama orang kampong hinggalah kerajaan turut bersama membesarkan madrasah. Hampir habis semua pohon mempelam ditebang. Hanya tinggal tiga empat pohon yang masih tertinggal. Bapa tinggalkan setapak kebun durian di penghujung tanah kami. Di situlah danau tempat bapa melelahkan penat berbendang dulu. Tempat berteduh tatkala mentari terik di langit. Minggu-minggu terakhirnya, kubawa bapa menghampiri kebun durian itu. Entah mengapa bapa minta aku menolak kerusi rodanya ke situ.

Madrasah ini adalah taman syurganya. Di sinilah benih ibadah itu berlanjutan tanpa henti, selagi masih ada mereka yang ingin belajar mengetahui. Selagi masih ada yang ingin beramal pada ilmunya. Inilah modal bapa. Inilah tanah bendang bapa yang subur. Subur dengan manusia yang beriman, ilmu dan beramal. Kini kusaksikan sendiri, anak-anak muridnya dari penoreh getah, penanam padi, budak pejabat hinggalah pegawai atasan yang berkuasa, usahawan yang berjaya, peguam, pensyarah lulusan Phd dan sebagainya. Bapa tidak pernah putus asa berdoa di sebalik kedegilan dan kenakalan anak muridnya. Didenda, digantung dan dibuang sekolah. Kusaksikan sendiri, saat mereka mencium tangan bapa di hospital bagai tanda kasih yang tidak pernah putus.

Jangan pulang sebelum tamat pengajian. Pesannya sebelum aku berlepas. Aku dengar dan faham betapa besar perbelanjaan yang diperlukan sekadar untuk pulang nanti. Dua tahun berlalu, kulanggar pesan bapa. Aku mahu pulang. Entah mengapa jiwaku mengajak kembali ke kampong biarpun sebentar. Tiba-tiba sahaja saat menanti tarikh pulang, aku terasa panjang. Seperti malam enggan melabuh tirainya.

Dan ketika aku pulang,
aku sebenarnya pulang untuk menghantar bapa pulang buat selama-lamanya.
Al Fatihah.

* Dedikasi buat semua guru.

5 comments:

mantaro said...

Pas itu sekolah untuk rakyat.

khair sulam said...

sedih.rindu kat bapak

PRO ISLAM said...

Al Fatihah, takziah utk saudara. semoga anak2 muridnya teruskan perjuangan utk menegak Islam dan merampas kembali kerajaan KUDETA pada PRU 13.

abuyon said...

semoga amalnya terus
mengalir dan
membekas

Al-fatehah

noora said...

Salam, terima kasih atas dedikasi. Terima kasih juga atas entry yang telah mengalirkan air mata saya. Semoga Allah tempatkan roh almarhum Ustaz Sulam di kalangan mereka yang beriman dan diredhaiNya.