...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 16 October 2007

Sudah Setahun Musim Berlalu

Angin mula sering bertiup kencang. Sesekali bertiup seperti lelayang yang berterbangan. Menggugurkan dedaunan yang kekeringan. Berterbangan dedauan itu – melayang dan membaringkan pada bumi Swansea yang mula dinginnya menggigit hingga ke tulang. Kekuningan dedaunan yang melitupi sebahagian lorong dan jalan sepi bagai hamparan permaidani indah. Pohon-pohon di tepi jalan, di atas bukit dan di taman mula terasa kehadiran musim yang beredar. Sesekali air hujan rintik-rintik menitis ke bawah. Mentaripun sekali-sekali sahaja menerbitkan dirinya pada langit kelabu. Langit sudah tidak secerah seperti musim yang lalu.


Pantai Mumbles seperti dulu juga. Ada waktunya ombak pasang hingga mencecah bibir pantai. Ada kalanya ombak surut berundur hingga ke tengah laut. Pantai selut itu semakin luas. Pinggir pantai yang bertanah tinggi berbatuan terus kekal menanti hadirnya ombak datang. Sesekali datang berdempuran kuatnya menghempas. Sesekali datang bagai mengelus bebatuan yang keras dan padat. Seperti membasahi bebatuan pada setiap lekuk dan liang yang wujud. Dan air ombak tak pernah jemu datang dan pergi setiap hari – setiap kali.

Terlalu cepat masa berlalu. Begitu pantas masa beredar. Kini musim luruh kembali lagi. Teringat aku pada setahun yang lalu - ketika kami sekeluarga menjejak kaki ke bumi Hamlet yang dingin ini. Sudah setahun kami di sini. Sudah setahun kami merasai beza dan keajaiban musim yang bersilih ganti. Memang sukar untuk dihayati jika belum merasai kesemua musim – luruh – dingin – bunga – panas.

Melayani waktu beredar memang mengasyikkan. Seasyik memandang sebuah lukisan atau menikmati pemandangan laut yang saujana mata memandang. Atau mungkin juga seperti melayani petikan gitar dan seruling bambu. Alangkah hebatnya suara dan bunyi yang terhasil. Terasa begitunya agungnya Allah yang menjadi Maha Pencipta seluruh alam. Tuhan seluruh alam. Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Menyayang pada hambaNya. Seperti juga musim yang menyedarkan diri – alam seperti laut, ombak, angin, dedaunan, rerumput dan sejuta hidupan memberikan warna dan rupa yang menginsafkan.

Hanya jiwa yang keras, hati yang gelap, nurani yang tertutup – enggan melihat semua itu. Melihat alam seperti melihat hidupan yang mati. Jiwanya terus keras dan perasaanya terlalu angkuh pada diri sendiri. Merasai diri sendiri yang sempurna kerana selalu merasai dirinya selalu berusaha dan mampu mendapatkannya. Merasai diri sempurna kerana akalnya selalu berbicara dengan lingkungan akalnya sendiri. Mengukur diri dengan akal sendiri. Mentafsir diri pada cermin sendiri. Terasa alam terasing pada hidup untuk mengabdikan pada Tuhannya yang Maha Satu.

Setahun – adalah waktu yang mengisafkan. Kerana kebanyakan manusia mulai membuka satu persatu diri dan wajah mereka yang sebenarnya. Setahun adalah waktu yang terlalu panjang untuk hidup berpura-pura. Lakonan diri bukan untuk selama-lamanya. Akan sampai waktunya lakonan itu melucukan dan mengaibkan diri sendiri. Seperti siput di tepi kali, setiap kali terdengar guruh di langit pasti menyembunyikan wajahnya. Siput tidak selama-lamanya menyembunyikan dirinya. Akan tiba waktunya dia menampakkan wajahnya pada alam. Manusia yang lemah memang selalu memerlukan topeng dan kosmetik untuk menutupi wajah dirinya yang sebenar. Tafsirkan sahaja apa jua bentuk topeng dan kosmetik dalam fikiran kita. Ia pasti menutup buat sementara. Zorro hanya dalam filem – tiba waktunya ia juga terpaksa kembali sebagai manusia biasa.

Ibadat puasa membentuk diri agar menjadi jujur pada diri sendiri. Tidak seperti ibadat solat, zakat dan menunaikan haji. Ibadat puasa adalah ujian pada diri sendiri. Berlaku jujur dan tulus dalam mengerjakan amalan puasa. Ia membentuk jiwa agar kembali pada fitrahnya manusia dijadikan – suci. Membersihkan diri dan jiwa dari dosa yang lalu. Semakin usia berlalu – semakin musim beredar – dosa dan pahala silih berganti. Ramadhan adalah bulan penyucian diri manusia yang tidak terlepas dari salah dan dosa. Ramadhan adalah bulan peningkatan diri manusia yang ingin melepaskan dirinya daripada siksa api neraka. Ramadhan adalah bulan peningkatan diri manusia yang ingin mendapat kerahmatan daripada Allah s.w.t.

Antara musim yang beredar dan Ramadhan yang berlalu – aku ingin Tuhan menerima kembali pada diri yang fitrah ini. Amin.

1 comment:

Anonymous said...

salam jauh...
harap posa dan raya kat sana meriah ...rindu ler nak balik semula ke Swansea, kerja banyak berlambak kat sini, dok sana takder sesibuk kat sini. Kirim salam kat kak wan dan anak2.

dari,
nun zal ra ya
ba nun
min ha min dal
nun alif wau ya