...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 13 February 2007

Kaum Yang Terbunuh

Kaum Yang Terbunuh

Aku adalah sisa

Dari kaum yang terbunuh

Mati di tanah sendiri

Permisi sebelum waktu

Berdiri aku di tanah pusaka

Yang berlembah hiba

Hilang sudah

Rimbun dedaun hijau

Tegak kota batu, pagar keluli

Yang meminggir ke penjuru

Seluruh desa permainanku

Semalam yang memanggil aku

Penuh dingin menikam sukma - berdarah

Menitis mengalir darah

Selendang merah luka bangsa

Jangan lagi bicara soal

Yang kurik itu kendi

Yang merah itu saga

Kerana kaum ini

Telah hilang istilah dan peribadi sendiri

Telah roboh kotanya

Rebah madrasahnya

Ranap gedungnya

Dan remaja gersang hidup

Racun sang penguasa yang rakus

Sedang si tua hilang akal

Mengitung luka bertahun

Di tengah-tengah kamruk pada pangkat dan harta secubit

Rela membunuh sesama rumpun

Mencabut damai

Memenjara lelayang

Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar

Hilang sudah susilanya

Mencari kata-kata yang sukar diberi makna

Seperti langkah

kehilangan gagah

Tidak persis lelaki sejati

Yang berani dan berahi

Mencabar zaman

Mengisi ruang

Dan kaum yang terbunuh

Terpinggir di bumi sendiri,

Lemah, dimamah

Terkapai, tak terbela,

Tenggelam, mati, hanyut

Si bangsat yang hilang

Buminya sendiri

Teringat aku pada hikayat lama

Bagaimana Temasik di langgar todak

Bisanya keris Laksamana Bentan

Amuk si Jebat derhaka

Titah berdarah Puteri Gunung Ledang

Ada lagi Musang Berjanggut,

Pak Pandir, Si Kadok menang sabung,

Kampong tergadai.

Aku menuntut hak kaum yang telah mati

Biar kuburnya bertanda akan

Ayat-ayat Tuhan yang hampir dilupakan

Kerana yang tinggal pada kaum ini

Hanyalah ingatan pada keyakinan yang samar

Akan ajaran lama yang ditinggalkan

Berdiri seakan bertafakkur

Kerana al Fatihah belum mampu dihabiskan

Aku terus berdiri dan melangkah

Kerana kau adalah sisa kaum yang terbunuh

Yang ingin hidup lebih bermakna.

Muhaimin Sulam

2006

Sajak ini mula kubaca di tengah-tengah perhimpunan umat di hadapan pejabat SUHAKAM bagi membantah cadangan mengubah Artikal 112. Kemudian kubacanya berkali-kali. Kali terakhir, aku baca di Karnival Halal Ria di Chenderong Balai dengan iringan petikan gitar oleh Zua Apache, gitaris XPDC.

No comments: