Memulakan dengan terma ‘
konservatif’ dan ‘reformis’ dalam membincangkan persaingan dalaman PAS
memungkinkan suasana yang kurang selesa pada sesetengah pihak. Saya ingin
merujuk tulisan sahabat saya, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.
Saya memahami beliau cuba membawa
keluar daripada kerangka dikotomi ulama-profesional yang memerangkap sebahagian
besar khalayak parti. Usaha
memecah-mecahkan tekstur anggota parti kepada kepingan kertas ijazah, warna
jubah, lokaliti dan sebagainya harus disokong. Walau bagaimanapun,
pengkategorian pemikiran atau pendekatan ahli kepada kutub konservatif dan kutub
reformis secara tidak cermat akan mengelirukan akhirnya.
Istilah ‘konservatif’ bermaksud
bersikap mempertahankan adat, nilai yang menjadi tradisi ataupun kelaziman. Bahkan istilah ini juga membawa maksud tidak
mudah menerima perubahan dan lebih ‘teruk’ ia memberi erti sebagai kolot dan
tidak moden. Makna itu sendiri meletakkan konservatif pada sudut kelompok yang ‘bermasalah’
dengan perubahan. Tidak mesra perubahan. Berada pada takuk lama. Mandom.
Manakala istilah ‘reformis’
adalah golongan yang menganjurkan atau mengusahakan perubahan dan pembaikan
dalam bidang-bidang tertentu. Akar kata reformis ini mempunyai nilai yang asing
dengan budaya kita tetapi telah diberi nafas tempatan sehingga diterima sebagai
suatu istilah yang baik. Jika dikorek dalam-dalam lagi, istilah ini adalah
masalah agama Kristian!
Sayapun tidaklah berhasrat
menambah-nambah kecelaruan yang sediada melainkan cuba memberi sedikit ruang
untuk menjadi sebuah perbahasan yang mematangkan pimpinan dan ahli parti. Mungkin
sebagai satu bata-bata bagi mewujudkan persekitaran parti yang sihat dan
merangsangkan pemikiran.
Dalam aspek kepimpinan politik,
kita boleh melihat bagaimana kupasan James Mac Gregor Burns memahami pendekatan
pemimpin. James Gregor Burns memang bukan seorang Muslim tetapi anggapkan
ideanya sebagai suatu ‘hikmah’ yang tercicir.
Sebagai pengutip hikmah, tidak salah untuk mengambil manfaat untuk
kepentingan bersama. Beliau membahagikan gaya dan pendekatan pemimpin secara
umum dibahagikan kepada dua; transformational
leadership dan transactional
leadership. Istilah ini masih muda
dalam kamus pemikiran orang Melayu.
Secara umumnya, transformational leadership adalah
seorang pemimpin yang memiliki keupayaan melebarluaskan ideanya, memberi
inspirasi, mendidik ataupun membentuk pengikutnya dan memiliki tahap toleransi
yang seimbang. Pendekatan kelompok ini tidak berkembang dengan keupayaan
berpidato, retorika ataupun susuk tubuh pemimpin yang memiliki aura tersendiri.
Perlu diakui, setiap pemimpin yang karismatik memiliki daerah auranya yang
tersendiri. Semakin luas daerah auranya, semakin tinggilah nilai karismatiknya.
Inti kepada kepimpinan transformational adalah kekuatan idea dan proses pengembangan idea itu sendiri. Idea itu menjadi sumber kuasa yang merangsang para pengikut bekerja dan berjuang. Pemimpin yang baik bukan sekadar mampu melontarkan idea yang bagus tetapi memahami proses menyampaikan idea secara berkesan. Pemimpin bukan sahaja perlu ‘alim’ atau berpengetahuan secara asas agama tetapi dalam sebuah organisasi politik dan dakwah, PAS sebenarnya lebih memerlukan pemimpin yang ‘alim sosial’. Alim sosial adalah salah satu kualiti kepimpinan transformational. Mereka memahami keperluan sosial semasa dan mampu merangsang masyarakat bergerak sama. Kepimpinan transformational sentiasa bertolak ansur bagi memastikan idea besar mereka berkembang. Ini dapat dilakukan melalui sessi penerangan, pengajaran, pendidikan ataupun dalam konteks PAS disebut tarbiyyah.
Kepimpinan transformational ini
tidak sangat bergantung kepada kuasa karismatik seorang pemimpin. Kekuatan mereka
adalah bergantung kepada kekuatan idea yang dibawa oleh mereka. Idea inilah
yang membentuk dan mewarnai pemikiran para pengikutnya.
Manakala, transactional leadership pula adalah seorang pemimpin yang memiliki
keupayaan menggunakan kuasa dan kedudukannya dalam menggerakkan organisasi
(jamaah atau parti) ke arah yang menjadi objektif perjuangan mereka. Pemimpin
kelompok ini memiliki nilai karismatik melalui keupayaannya berpidato,
berkomunikasi dengan pengikut mereka. Tentu sekali pemimpin ini memiliki daerah
aura yang lebih luas. Daerah aura mereka dibentuk oleh tradisi pemikiran ahli
atau pengikut yang sedia ada. Secara tradisinya, ia agak berbau feudal tetapi
bukan kerana faktor darah tetapi kerana kedudukannya sebagai pemimpin. Kedudukan
(jawatan) pada organisasi itu sendiri memberikan kelebihan pada seseorang
pemimpin transactional bertindak.
Kepimpinan transactional bercakap
atas kapasiti jawatan. Ini kerana jawatan dalam organisasi itu sendiri memiliki
autoriti yang semacam perlu dipatuhi. Jawatan itu sebagai kuasa yang akan memberi
ganjaran kepada pengikut jika mematuhi
atau sebagai amaran jika pengikut mengambil sikap engkar.
Dalam konteks persaingan yang ada
pada PAS, kepimpinan transactional akan menggunakan platform organisasi untuk
menglegitimasikan idea dan tindakan mereka sebaliknya kepimpinan
transformational menggunakan kekuatan idea itu sendiri. Siapa mereka dalam PAS
yang boleh dikategorikan sebagai kepimpinan transformational dan transactional?
Saya tidak mahu menjadi penyebab kepada pendikotomian parti. Saya ringkaskan bahawa kita perlukan
kepimpinan transformational bagi membawa parti berhadapan masa hadapan. Jawatan
bukanlah satu-satunya sumber kuasa tetapi idea besar adalah kuasa penentu dalam
melakar siasah tanahair.
Untuk akhirnya, maaflah kerana
mengajak sidang pembaca pada nota universiti!
2 comments:
I think we should have a transformational and transactional leadership. Both will strengthen the party.
good idea
Post a Comment