...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Monday 20 February 2012

Nasib Melayu Minoriti di Tanah Sendiri

1. Kerana Inggeris itu penjajah, maka dihukum selaknat-laknatnya oleh mulut tak bertulang orang Melayu sejak dulu hinggalah sekarang.

2. Lalu dikatakan bahawa dasar `divide and rule' yang digunakan oleh Inggeris itu menyebabkan orang Melayu semekin dan keparat tak kepalang.

3. Biarpun sudah lebih setengah abad Inggeris mengundurkan diri secara kehormat, orang Melayu terus menerus memaki Inggeris sebagai punca kekeparatan orang Melayu sekarang.

4. Pelaksanaan DEB yang menyasarkan matlamat penguasaan ekonomi orang Melayu (dan juga Bumiputera) sebanyak 30% daripada kekayaan negara adalah satu lagi cerminan betapa hebatnya orang Melayu berkorban demi tanah tercinta.

5. Sanggup ikat perut demi tamu yang singgah (ada yang datang sebagai pelahab). Adab mana yang diambil?

6. Entah perkiraan mana yang membolehkan 'tuan tanah' bertuah ini hanya ingin angka penguasaan ekonomi yang kecil berbanding 'tetamu' yang datang.

7. Benarlah orang Melayu itu minoriti ekonomi, minoriti politik dan miskin jiwa (yang pernah disebut oleh Zaaba).

8. Bertahun-tahun DEB tamat, orang Melayu terus menerus minoriti.

9. Teringat kata-kata Aminuddin Baki, `ayam di kepuk mati kelaparan, itek di kolam mati kelemasan',

10. Sapa? Hang lah Melayu!

Monday 13 February 2012

Post Islamism: Haluan Gerakan Islam

1. Sudah dua tiga minggu Wacana Dr. Burhanuddin al Helmy di PPP berlangsung. Terima kasih atas kehadiran Prof. Dr. Redzuan Othman, Prof. Dr. Badlisham dan Dr. Mazlee Malek. Kesudian berkongsi ilmu sangatlah dihargai.

2. Untungnya berbeza pendapat dengan meraikan kepelbagaian pendekatan. Itulah kesimpulan yang aku jadikan ia sebagai mukadimah tulisan ini.

3. Memanglah terdapat 'otak beku' yang masih terkurung dalam zaman ais batu bagi memahami pemikiran kontemporari untuk memahami tabiat gerakan Islam.

4. Idea 'pan Islamism' yang disuarakan oleh tokoh gerakan Islam awal seperti Jamaluddin al Afghani kepada negara-negara umat Islam ketika itu sesuai saat keruntuhan Kerajaan Othmaniah.

5. Idea itu berkembang kepada pejuang untuk menuntut kemerdekaan daripada kuasa imperialis barat. Saat itu, majoriti umat Islam masih tertidur dalam pelukan penjajah yang mendodoikan dengan lagu. Terlalu sukar untuk pejuang kemerdekaan menyedarkan masyarakat yang terkeliru. Raja masih di atas takhta. Tanpa menyedari takhta tanpa kuasa. Simbol yang kosong.

6. Apabila merdeka dicapai, sebahagian besar negara-negara Islam terus berada dalam cengkaman pemikiran sekular tinggalan kuasa imperialis. Lalu, konsep Jahiliyyah moden yang diperkenalkan semua oleh Syed Qutb berjaya membenihkan semangat jihad, konsep daulah Islamiah dan tarbiyyah.

7. Kejatuhan Shah Iran di bawah gelombang revolusi Islam yang diketuai Imam Khoimeini merancakkan kebangkitan Islam (yang juga disebut oleh sarjana Barat sebagai Islamism). Saat ini, keghairahan terhadap konsep Islam yang syumul. Universal.

8. Sebahagian besar regim yang berkuasa di negara Islam melaksanakan kediktatoran sebagai penjamin kuasa di dalam genggaman. Sebaliknya gerakan Islam berusaha mengembalikan 'Madinah' dalam dunia politik moden. Namun ia lebih bersifat perundangan daripada falsafah perundangan itu sendiri.

9. Demokrasi yang memberi peluang untuk gerakan Islam memperolehi kuasa sering dinafikan di saat gerakan Islam melangkah ke gerbang takhta. Soal-soal kemiskinan dan kezaliman menjadi wahana masyarakat.

10. Laluan Gerakan Islam kini adalah menawarkan idea kebajikan (welfare), keadilan (justice) dan kebebasan (freedom) kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

11. Bahkan di tahap yang lebih semasa, gerakan Islam tiada pilihan kecuali bekerjasama dengan pihak sekular atas prinsip kebersamaan dan mengendurkan perbezaan yang wujud.

12. Pemimpin gerakan Islam yang bijak akan menggunakan keperluan politik semasa dengan mentafsir sirah secara lebih semasa. Sejarah adalah pengajaran. Masa hadapan adalah harapan.