...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 24 September 2013

Menjawab Tulisan Dr. Mujahid Yusuf Rawa: Kecelaruan Istilah Dalam Parti

Memulakan dengan terma ‘ konservatif’ dan ‘reformis’ dalam membincangkan persaingan dalaman PAS memungkinkan suasana yang kurang selesa pada sesetengah pihak. Saya ingin merujuk tulisan sahabat saya, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Saya memahami beliau cuba membawa keluar daripada kerangka dikotomi ulama-profesional yang memerangkap sebahagian besar khalayak parti. Usaha  memecah-mecahkan tekstur anggota parti kepada kepingan kertas ijazah, warna jubah, lokaliti dan sebagainya harus disokong. Walau bagaimanapun, pengkategorian pemikiran atau pendekatan ahli kepada kutub konservatif dan kutub reformis secara tidak cermat akan mengelirukan akhirnya.

Istilah ‘konservatif’ bermaksud bersikap mempertahankan adat, nilai yang menjadi tradisi ataupun kelaziman. Bahkan istilah ini juga membawa maksud tidak mudah menerima perubahan dan lebih ‘teruk’ ia memberi erti sebagai kolot dan tidak moden. Makna itu sendiri meletakkan konservatif pada sudut kelompok yang ‘bermasalah’ dengan perubahan. Tidak mesra perubahan. Berada pada takuk lama. Mandom.

Manakala istilah ‘reformis’ adalah golongan yang menganjurkan atau mengusahakan perubahan dan pembaikan dalam bidang-bidang tertentu. Akar kata reformis ini mempunyai nilai yang asing dengan budaya kita tetapi telah diberi nafas tempatan sehingga diterima sebagai suatu istilah yang baik. Jika dikorek dalam-dalam lagi, istilah ini adalah masalah agama Kristian!

Sayapun tidaklah berhasrat menambah-nambah kecelaruan yang sediada melainkan cuba memberi sedikit ruang untuk menjadi sebuah perbahasan yang mematangkan pimpinan dan ahli parti. Mungkin sebagai satu bata-bata bagi mewujudkan persekitaran parti yang sihat dan merangsangkan pemikiran.  

Dalam aspek kepimpinan politik, kita boleh melihat bagaimana kupasan James Mac Gregor Burns memahami pendekatan pemimpin. James Gregor Burns memang bukan seorang Muslim tetapi anggapkan ideanya sebagai suatu ‘hikmah’ yang tercicir.  Sebagai pengutip hikmah, tidak salah untuk mengambil manfaat untuk kepentingan bersama. Beliau membahagikan gaya dan pendekatan pemimpin secara umum dibahagikan kepada dua; transformational leadership dan transactional leadership.  Istilah ini masih muda dalam kamus pemikiran orang Melayu.

Secara umumnya, transformational leadership adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan melebarluaskan ideanya, memberi inspirasi, mendidik ataupun membentuk pengikutnya dan memiliki tahap toleransi yang seimbang. Pendekatan kelompok ini tidak berkembang dengan keupayaan berpidato, retorika ataupun susuk tubuh pemimpin yang memiliki aura tersendiri. Perlu diakui, setiap pemimpin yang karismatik memiliki daerah auranya yang tersendiri. Semakin luas daerah auranya, semakin tinggilah nilai karismatiknya.

Inti kepada kepimpinan transformational adalah kekuatan idea dan proses pengembangan idea itu sendiri. Idea itu menjadi sumber kuasa yang merangsang para pengikut bekerja dan berjuang.  Pemimpin yang baik bukan sekadar mampu melontarkan idea yang bagus tetapi memahami proses menyampaikan idea secara berkesan.  Pemimpin bukan sahaja perlu ‘alim’ atau berpengetahuan secara asas agama tetapi dalam sebuah organisasi politik dan dakwah, PAS sebenarnya lebih memerlukan pemimpin yang ‘alim sosial’. Alim sosial adalah salah satu kualiti kepimpinan transformational. Mereka memahami keperluan sosial semasa dan mampu merangsang masyarakat bergerak sama. Kepimpinan transformational sentiasa bertolak ansur bagi memastikan idea besar mereka berkembang. Ini dapat dilakukan melalui sessi penerangan, pengajaran, pendidikan ataupun dalam konteks PAS disebut tarbiyyah.

Kepimpinan transformational ini tidak sangat bergantung kepada kuasa karismatik seorang pemimpin. Kekuatan mereka adalah bergantung kepada kekuatan idea yang dibawa oleh mereka. Idea inilah yang membentuk dan mewarnai pemikiran para pengikutnya.

Manakala, transactional leadership pula adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan menggunakan kuasa dan kedudukannya dalam menggerakkan organisasi (jamaah atau parti) ke arah yang menjadi objektif perjuangan mereka. Pemimpin kelompok ini memiliki nilai karismatik melalui keupayaannya berpidato, berkomunikasi dengan pengikut mereka. Tentu sekali pemimpin ini memiliki daerah aura yang lebih luas. Daerah aura mereka dibentuk oleh tradisi pemikiran ahli atau pengikut yang sedia ada. Secara tradisinya, ia agak berbau feudal tetapi bukan kerana faktor darah tetapi kerana kedudukannya sebagai pemimpin. Kedudukan (jawatan) pada organisasi itu sendiri memberikan kelebihan pada seseorang pemimpin transactional bertindak.

Kepimpinan transactional bercakap atas kapasiti jawatan. Ini kerana jawatan dalam organisasi itu sendiri memiliki autoriti yang semacam perlu dipatuhi. Jawatan itu sebagai kuasa yang akan memberi ganjaran kepada pengikut jika mematuhi atau sebagai amaran jika pengikut mengambil sikap engkar.

Dalam konteks persaingan yang ada pada PAS, kepimpinan transactional akan menggunakan platform organisasi untuk menglegitimasikan idea dan tindakan mereka sebaliknya kepimpinan transformational menggunakan kekuatan idea itu sendiri. Siapa mereka dalam PAS yang boleh dikategorikan sebagai kepimpinan transformational dan transactional? Saya tidak mahu menjadi penyebab kepada pendikotomian parti.  Saya ringkaskan bahawa kita perlukan kepimpinan transformational bagi membawa parti berhadapan masa hadapan. Jawatan bukanlah satu-satunya sumber kuasa tetapi idea besar adalah kuasa penentu dalam melakar siasah tanahair.

Untuk akhirnya, maaflah kerana mengajak sidang pembaca pada nota universiti!