...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 26 May 2013

Himpunan Lawan Himpunan

1.  PR buat himpunan Blackout 505 di PJ. Lautan hitam manusia berkumpul mempamerkan solidariti untuk membersihkan sistem pilihanraya negara yang korup.

2.  Hari dan jam yang sama di Putrajaya, Najib dan KJ bersama lautan belia dalam Festival Belia 2013.

3. Sebutlah apa jua nama himpunan itu - pada akhir titik makhluk siasah adalah memperolehi sokongan dan menunjukkan kekuatan yang ada.

4.  Hari ini, esok aku ada himpunan keluarga. Pamerkan kekuatan kasih sayang. Eratkan perhubungan. Tingkatkan makrifat.

5.  Jangan takut untuk berhimpun, di jalanraya, di pasaraya, di balai raya. Jangan tunggu hari raya datang baru nak berhimpun.


Saturday 25 May 2013

Kejujuran Dalam Berpolitik

1. Mstar melaporkan bahawa Anwar dan Najib ada membuat perjanjian sebelum PRU13. sumber Laporan ini juga diulas dalam WSJ.sumber

2. Ramai yang menyebutkan bahawa itulah kebijaksanaan Anwar.

3. Aku tidak meragui tetapi lebih memahami kejujuran dalam berpolitik.

4. Teringat pada Ust. Abd. Hadi Awang menghadapi isu UG pada 2008 dulu. Waktu tu, aku masih di UK. Kebetulan isu itu meletup tatkala Ustaz Hadi berada di London. Seminggu dua kali kami bertemu dengan beliau untuk mendapatkan lafaz langsung dari lidahnya sendiri.

5.  Ternyata jauh lebih bijaknya Ustaz Hadi berpolitik.

Thursday 23 May 2013

Mentara Hari Sabtu

1. To be or not to be. Hamlet berfikir berkali-kali dalam novel William Shakespeare. Kira-kira akupun macam begitulah. Nak pi ke PJ atau tidak?

2. Aku dah cancel sessi 'Bedah Buku: Aku Melayu di Kota Inggeris' di SASS sempena Pesta Buku Selangor yang sepatutnya berlangsung 5 petang Sabtu. Memang rasa rugi tak berada di situ.

3. Setidak-tidaknya bolehlah hilang kempunan aku semasa di PWTC bulan lepas. Penganjur tidak benarkan kami meneruskan sessi bedah buku di saat aku sedang menyusun kata bicara di atas pentas.

4.  Katanya, himpunan di PJ itu akan jadi program raksasa macam filem kartun Jepun dulu-dulu. Raksasa itu akan membunuh raksasa yang ganas.

5.  Isham Rais kata, dia suruh orang pakai kasut masa turun di jalanraya. Adam Adli dah bebas. Tian, Haris danTamrin sedang menunggu giliran di lokap polis.

6.  Aku sedang menghafal mentara hari sabtu. Lupa. Jarang-jarang dibaca.




Tuesday 21 May 2013

Matinya Seekor Monyet

1.  Seperti manusia, monyet juga makhluk yang ada titik mula dan akhirnya. Sudah tertulis pada kitab sebelum kelahirannya.

2.  Bagai buang tabiat seekor monyet ini apabila tidak memberi laluan pada aku. Langsung tiada rasa takut pada dirinya. Dia berdiri di belakang rumahku sedangkan rakan-rakan seusrahnya telah bertempiran lari melihat aku datang.

3. Pagi ini, kulihat monyet seekor tu terbaring di belakang rumahku, Kelopak matanya terbuka. Tangan kirinya memegang perutnya. Ada darah hitam pekat di lantai. Nyata monyet itu sudah mati.

4. Kurakamkan takziah pada warga monyet Kg. Padang Tembak atas kehilangan anggotanya. Melalui firasatku, monyet itu luka parah kerana bergaduh sesama mereka sewaktu berebut untuk pasang bendera semasa kempen PRU13 lalu.

5. Sekiranya kutahu monyet itu dalam kelukaan yang amat, tentu kurawat atau setidak-tidaknya boleh kudail 999 untuk rawatan kecemasan. Malangnya, aku tidak pernah tahu jeritan monyet tengahari semalam adalah panggilan terakhirnya.

6. Aku tidak boleh memusuhi monyet-monyet ini. Seharusnya begitu.

Monday 20 May 2013

Biarkan Adam Adli Begitu

1.  Jika diikuti ceramah Adam Adli, tak banyak perubahan mesej yang nak disampaikan. Cuba cara dia berceramah semakin baik. Itu normal. Kebiasaan itu mengajar lebih mudah dan lancar.

2.  Sudah ditangkap anak muda itu dan disimpan dalam lokap untuk siasatan.  Biarkan polis buat kerja.  Adampun sudah boleh tidur selesa. Makan tidur free.

3.  Dia tak perlu tulis buku lepas ni, macam aku buat dulu. Cukup dia duduk dalam diam-diam.

4.  Sebab Adam sekarang sedang mengeram segunung telor untuk ditetaskan di Dataran Merdeka.

5.  Turun ke jalanraya, lupakan pilihanraya.

Saturday 18 May 2013

Pergi Kau, Monyet!

1.  Rumahku memang di desa menghijau. Berdepan dengan kebun durian dan berbelakangkan puluhan kelapa sawit milik orang.

2. Setiap hari, segerombolan monyet-monyet melintasi laman rumah aku untuk bergayut di pohon durian yang tinggi menjulang.

3. Mas'ul atau Amirul Monyet itu mengarahkan anak-anak buahnya menyeberang laman aku sambil kepalanya memandang keliling kanan dan kiri.  

4. Monyet-monyet ni semua nak tunjuk betapa hebat ilmu aerobic yang dipelajari dari turun temurun sejak zaman aisbatu. Memang ada yang hampir-hampir terjatuh tapi sempat tangannya menyambar dahan.

5. Setakat nak lalu laman rumah, oklah tapi sampai naik atas bumbung kereta aku, berdansa dan bercanda monyet-monyet ni, ini sudah melampau.

6.  Satu hari aku ajak Amirul Monyet itu duduk berbincang dengan aku. Itupun aku terpaksa bagi pisang emas sesikat untuk menjemputnya ke meja perundingan.

7.  Selepas Amirul Monyet itu mendengar fakta aku (siap bernota kaki), diapun menjawab sambil menggaru kelapanya yang sebesar dua penumbuk, 'Beginilah tuan, sebenarnya tuan telah mengambil habitat kami tanpa sebarang habitat gantian yang setara.'

8. Amirul Monyet itu menyambung lagi, 'Tuan, manusia yang dikurniakan akal fikiran hanya mementingkan mata dan perut tuan. Tuan, gunakan geran-geran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah untuk menafikan hak azali kami. Tuan telah berlaku zalim kepada haiwan yang tidak berakal seperti kami'

9.  Pergi kau, monyet! sakit hatiku mendengar hujah bodoh monyet itu.

10. Amirul Monyet itupun beredar sambil mengepit baki pisang yang tak sempat dijamahnya tadi.


Thursday 16 May 2013

Kalau UTP Sponsor......

1.  Ada hamba Allah s.w.t. bertanya pada aku.....kalau UTP sponsor hantar keluar negara, apa research nak  dibuat?

2.  Aku jawab. Memanjangkan pemikiran Prof. Syed Naquib al Attas tentang teori penyatuan masyarakat Malaysia melalui bahasa Melayu.

3.  Sebenarnya, aku baru menyelak helai awal buku Adab dan Peradaban, karya ahli falsafah itu. Tak habispun.

4.  Tidakkah itu cukup menggambarkan betapa 'nasionalis'nya aku?

Wednesday 15 May 2013

Menzahirkan Batin Yang Rosak

1.  Sesiapapun yang melahirkan kata-kata dengan tidak bijak akan terperangkap dengan kata-kata yang dilontarkannya.

2.  Berapa banyak orang politik bercakap bagai halalintar lagaknya, hakikatnya ia sedang menzahirkan batinnya yang rosak, lemah dan naif.


Tuesday 14 May 2013

Putus Sudah Kasih Sayang

1.  Kemarahan segelintir orang Melayu pada orang Cina hanya akan memutuskan hubungan yang sedia terjalin beratus-ratus tahun lamanya.

2.  Orang Cina yang berimigran (sensitif jika disebut berhijrah) ke Tanah Melayu seawalnya pada 1450 semasa Sultan Mansor Shah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po. Lalu dikurniakan pengiring Puteri Hang Li  Po sebuah bukit yang dikenali Bukit China sebagai tanda kasih sayangnya antara kuasa Kesultanan Melayu dengan Empayar Maharaja China.

3. Kumpulan kedua Cina imigran adalah semasa zaman keemasan bijih timah di Semenanjung Tanah Melayu.  Tatkala itu, buruh Cina adalah kuli batak pembesar Melayu dan tokey Cina yang berkerjasama dengan Inggeris.

4. Jika tidak kerana gajah Ngah Ibrahim terbenam dalam lembah yang penuh bijih tentu Lembah Kinta tidak segagah Ipoh pada hari ini.

5.  Lalu berhimpunlah kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain semasa membentuk Perlembagaan Rakyat sebagai ganti Malayan Union 1946.  Dalam masa yang sama berhimpunlah juga kepala Melayu-Cina-India dan lain-lain di penjuru yang berbeza dan mengemukakan Perlembagaan Persekutuan 1948.

6. Begitulah akrabnya Melayu-Cina-India dan lain-lain termasuklah Kadazan, Iban, Orang Asal dan sebagainya membentuk sebuah negara dinamakan Malaya dan Malaysia.

7. Hampa baca sejarah tak?

8. Dah tu nak boikot-boikot - buat pa? Boikot Isreal pun masih terhegeh-hegeh....... piiiirahhhh!




 

Monday 13 May 2013

Meruncingkan Perkauman

1.  Keputusan MCA Pusat untuk para ADUNnya tidak mengisi jawatan EXCO dan Menteri adalah suatu usaha meruncingkan wajah perkauman UMNO-BN.

2.  Barisan kabinet BN akan dilihat didominasikan UMNO dan Melayu. Secara politiknya, ini memang memudahkan Pakatan Rakyat melebar luaskan hujah bahawa UMNO adalah sebuah parti yang racist.

3.  Ini bukan kedudukan yang mudah bagi UMNO untuk meneutralkan wajah dan pendekatan politik mereka mendatang ini.

4.  Orang Melayu akan lebih sayangkan UMNO walaupun parti itu tidak memberikan apa-apa makna dalam kehidupan mereka melainkan kekenyangan emosi dan mimpi yang panjang.

5. PAS sebagai parti alternatif Melayu akan jauh tersingkir daripada kotak pemikiran orang Melayu yang sarat dengan kepompong perkauman.  

6.  Khabarnya, ada ADUN MCA di Johor bersedia mengisi jawatan EXCO. Harap ini sedikit menjernihkan politik Johor. Itupun dengan syarat, mengisi bukan kerana perut dan peribadi tapi mestilah kerana untuk mengendurkan ketegangan kaum yang semakin runcing.



Manifesto Tertangguh

1.  Membentuk satu manifesto yang indah dan menawan memerlukan kaki idea, pelukis grafik dan ahli bahasa, Lalu dipersembahkan dalam majlis gilang gemilang untuk diperlihatkan betapa seriusnya kitab manifesto itu.

2.  Menyediakan manifesto hanyalah satu butiran daripada beberapa butiran dan ketulan peluru yang ditala pada pengundi. Terpesona atau terpengaruh.

3.  Setelah gagal memperolehi kuasa, manifesto jadi bahan sejarah. Ia akan menjadi manifesto yang ditangguhkan pelaksanaannya kerana ketiadaan kuasa pada tangan.

4.  Yang memegang kuasa, akan berkata bahawa manifesto akan dilaksanakan berperingkat-peringkat sehingga akhirnya tertangguh juga!

5.  Lima tahun akan datang, kita buat lagi manifesto untuk sedia ditangguhkan!

Membuka Cerita Rahsia

1.  Mesyuarat biasanya sebelum membuat sesuatu keputusan, ada perbahasan. Ada yang menolak, ada  yang reverse dan ada bermacam hujah diberikan. Itu normal dalam mesyuarat yang berkesan. Aku banyak hal yang tak setuju dalam mesyuarat tetapi bila dah jadi keputusan, kena ikutlah.

2.  Seperti juga mesyuarat, perbincangan antara dua orang atau kawan dianggap sebagai mesyuarat. Sesi perkongsian pandangan.

3. Sebab mesyuarat adalah untuk membuat keputusan. Oleh itu, keputusan itulah yang paling penting.

4.  Malangnya, ramai tak tengok keputusan mesyuarat. Yang disibuk-sibukkan adalah proses membuat keputusan. Proses membuat keputusan bukan tak penting. Ia tetap penting selagi mengikut prosedur atau amalan kebiasaannya.

5.  Dari sinilah timbulnya penyakit membuka rahsia dalam mesyuarat.

6.  Akhirnya, bergaduh sakanlah orang di luar mesyaurat atau di luar perbincangan kerana mendapat episod berita yang tidak lengkap.


Saturday 11 May 2013

Berbuahlah Pisang 13 kali!

1.  Aku cukup terkesan bila membaca bait puisi Usman Awang yang berbunyi; Berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi. Meski mengenal universiti, tapi masih berdagang di rumah sendiri!  Aku cuba bangkit dari mimpi panjang orang Melayu sebagaimana terungkap dalam lagu 'Nelayan' karya M. Nasir, mimpi tentang duyung, mimpi tentang untung.

2.  Dan kata-kata pak Hamka yang cukup merangsang aku sebagai lelaki;

Sekali dayung sudah di tangan
Layar sudah terbentang
Biar ombak besar datang

Untuk undur pulang ke pelabuhan
Jangan sebut aku anak jantan!

3. Akhirnya akupun tinggal di Swansea, UK empat tahun.

4. Mengutip hikmah. Mengukir rindu. 

Friday 10 May 2013

Esei Selepas PRU13

1. Izinkan kali ini aku menceritakan sesuatu yang jarang kukongsi. Ada sesekali keceritakan juga. Sudah lama aku tidak menulis kebelakangan ini. Meninggalkan sehari menulis akan menjadikan otak kita beku dan kematu.  Aku cuba menulis biarlah sebaris kata.

2. Sewaktu aku pergi ke Bank Islam semalam, aku disapa oleh guru sastera aku semasa di sekolah menengah, Cikgu Naemah. Terasa kurang ajarnya aku kerana tidak sempat memberinya salam terlebih dahulu. Aku tahu dia sudah maklum tentang pemikiran dan pendirian politik aku. Diapun tak pernah ambil tahu. Dia lebih bertanya tentang keluargaku.

3. Berbulan-bulan kebelakangan ini, memang tanahair kita disaratkan dengan sampah politik yang menyemakkan pemikiran. Terasa membusung nanah bila hendak diceritakan.

4. Semalam aku ada masa mengemaskan kembali buku-buku di rak yang bersepah dan berdebu. Aku teringat banyaknya buku sejarah, budaya, sastera yang kubeli. Isteriku sudah naik rimas tengok bukuku melambak, tak da tempat nak park.



5. Tadi sebelum aku pulang dari mesyuarat di Ipoh, aku singgah di kampung bertemu dengan emak aku. Sudah berkali-kali emak aku berpesan untuk aku berehat. Aku diam dan menjawab dengan senyuman biasa. Sukar untuk menghuraikan panjang-panjang kerja kita pada emak kita.

6. Apa kaitan Cikgu Naemah, buku-bukuku, emak aku, isteri dan keluargaku dalam eseiku ini?

7. Inilah mukadimah untuk aku menghuraikan bagaimana kita sebagai orang Melayu bebas daripada kebergantungan hidup dengan subsidi, biasiswa, status bumiputra dan bla-bla yang dicipta oleh ahli politik (tak semua) yang sarat dengan kemunafikan.