...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday, 27 April 2010

Tiada Taubat Dalam Politik

Aku bercakap tentang politik atas tanah bukan politik atas langit. Mana manusia yang tidak pernah buat dosa kecuali para nabi.

Kempen pilihanraya di tanahair menjelaskan bagai tiada istilah taubat dalam politik. Oleh sebab itu, segala dosa dulukala dan terkini diungkit-ungkit demi memperlihatkan betapa pendosanya musuh politik mereka. Masing-masing cuba mempamerkan gunungan pahala yang mereka telah lakukan hingga mereka menjanjikan syurga yang diimpikan.

Seperti kaum yang marahkan pada Umar al Khatab, lalu diburukkan bahawa Umar pernah menanam bayi perempuan hidup-hidup, kaki minum, gedebe sewaktu zaman jahiliyyahnya. Untungnya Umar al Khatab dikelilingi para sahabat.

Kalau ditakdirkan orang seperti Umar al Khatab bertanding dalam pilihanraya di salah sebuah kawasan Parlimen di Malaysia, mau hilang pertaruhannya!

Tiada ampun dalam politik. Yang ada, ampun patek!

Thursday, 22 April 2010

Menerima Kejahatan UMNO

Berdasarkan dengar-dengar cerita dari kempen pilihanraya Hulu Selangor, yang disibukkan adalah peribadi calon. Idea dan kepimpinan calon tidak begitu tertonjol dan ditonjolkan.

Untungnya BN berhadapan dengan Zaid Ibrahim yang pernah menjadi ahli dan pemimpin UMNO. Parti yang bertanding pula PKR, parti Anwar Ibrahim, bekas Timb. Presiden UMNO. Lalu, dibongkar semua dosa-dosa lalu seluas-luasnya. Dari kaki minum arak, terlibat judi, perempuan, bersetongkol dengan Yahudi dan sebagainya.

Kesimpulan yang mudah di sini ialah UMNO memang sarang pelaku dosa. Oleh sebab itu, tidak hairan jika dosa-dosa itu cuba disucikan dengan terus menyokong BN. Seolah-olah BN memegang pintu taubat.

Seorang pemimpin UMNO berkata sewaktu di London, bahawa dia memang tahu ramai pemimpin UMNO korup, kurang akhlaknya, kaki minum dan bla bla bla..... aku dengar je. Nasib baik, aku tak tanya siapa gerangan pendosa itu. Tapi katanya sambil bola matanya memandang wajahku, menarik simpati agaknya, setidak-tidaknya UMNO itu Melayu......orang Islam. Kalau bagi PAS menang, nanti DAP yang tunggang. Tengok Nizar tu.... habis! PKR pula dikuasai oleh Islam Liberal. Sheikh, anta orang perjuangan, anta tau kan..... pujuknya lagi. He..he..he dengan sopan santun aku menolaknya.

Skrip ini aku dah lama ulang tayang. Skrip lapuk BTN. Terimalah kejahatan UMNO seadanya!

Terima padah.

Saturday, 17 April 2010

Kenyang Dengan Slogan

Seminggu dua ini
pengundi didendangkan
slogan keramat

Nasi kandar tahun lepas
yang dipanaskan
terasa sedap dimakan
aromanya menyelerakan
lubang hidung

Kita kenyang dengan telinga
mereka kenyang seluruh usus
dan perut

Friday, 16 April 2010

Perang Bermula

Gelanggang perang sudah dibuka
manifesto dibentang
janji air liur melaut bergelombang
biar kupetik mentari
dan kupersembahkan pada kakimu

Simpanlah keris atau pedangmu,
susunlah ayat pendinding
lagu menyentuh hati
hari ini dan esok
adalah hari-hari untuk rakyat
selepas waktu perhitungan tamat
adalah hari pemimpin
menentukan langkah kaki rakyat

* Selamat berkempen pada Gordon Brown, David Cameron dan Nick Clegg. Juga kepada PR dan BN.

Wednesday, 7 April 2010

Bukan musang berbulu ayam

Setiap krisis atau masalah yang berlaku di dalam parti ataupun organisasi, biasanya ditimbulkan oleh orang yang mengetahui parti itu sendiri. Untuk itu, siapa yang mendapat kepercayaan daripada pemimpin, senanglah masuk ke dalam. Tambahan lagi jika pemimpin itu terlalu `suci' dan amat dihormati, segala barang apa juapun boleh masuk mudah. Unit Amal pun tak boleh sekat.

Musang memang biasa mencari peluang. Simpan fail penting, cari minit mesyuarat dan pasang telinga bila orang berbincang. Kekadang sempat menyempit diri dalam kelompok elit pemimpin. Konon nak tuang kopi dalam cawan tapi sebenarnya nak curi cerita daripada sembang pemimpin. Ini biasa berlaku dengan mudah.

Hakikatnya, ada sesetengah pemimpin parti yang rabun ayam. Tidak dapat membezakan antara musang dengan ayam. Semua yang nak berjuang, dianggap satu bakul yang sama. Ingat, parti lainpun anggap mereka juga berjuang. Jangan anggap, kita sahaja berjuang.

Thursday, 1 April 2010

Serahkan Saja Darjah Itu!

Apabila sesuatu parti mula menguasai pentadbiran kerajaan melalui pilihanraya dan demokrasi, gelaran Yang Berhormat adalah darjah kemasyhuran yang diberikan oleh rakyat ataupun pengundi.

Apabila seseorang alim mengajar ikhlas, gelaran tok guru adalah darjah kemuliaan itu adalah anugerah masyarakat kepadanya. Tidak boleh diberikan ataupun merancang untuk memberikan gelaran tok guru pada semua orang alim, biarpun mengajar penuh ikhlas. Masyarakat yang memberikan darjah kemuliaan itu sendiri.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perak, almarhum Ustaz Sabran Asmawi dulu cuba dipanggil dengan gelaran Tuan Guru. Hampir-hampir nak menjadi tapi akhirnya tak menjadi. Begitu juga Ustaz Ahmad Awang. Tak menjadi bila nak panggil Tuan Guru ataupun Tok Guru. Ini kerana anugerah oleh masyarakat yang tidak boleh dipaksa.

Adapun darjah dari istana yang bergelar Dato, Dato Seri, Tan Sri ataupun Tun, hanyalah proses pengukuhan feudalisme dalam kelompok ahli politik. Dari sudut sejarahnya, tradisi feudal sebenarnya halangan besar kepada perubahan besar. Feudal hanya mengekalkan kuasa dalam lingkaran elit mereka sahaja.

Tidak rugi kiranya, darjah kebesaran Istana diserahkan kembali demi perubahan yang lebih bermakna.

Bagaimana YB Dato Seri Ir. Nizar? Setuju tak?