...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 31 March 2009

Kempen Bodoh Pengundi

1. Setiap kali tiba kempen pilihanraya, semua parti akan membuat satu pendekatan yang mudah dan cepat.

2. Jika pengundi hendak tanah merah, bagikan tanah merah. Jika mereka hendak buat majlis kenduri, buat tahlil, mereka datang bawakan imam untuk baca doa. Jika mahukan tar, malam buta pun boleh dibuat.


3. Naik ke pentas kempen tentang keburukan musuh dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Tayang tv atau pasang radio, internet cerita yang sama.


4. Semua menjanjikan jambatan emas, syurga dan seribu cerita 1001 malam.


5. Undi parti kami, tolak parti lawan.


6. Waktu yang genting begini memang tidak perlu berpantun seloka. Kalau ada keperluan, tembak terus. Biar burung yang terbang itu mati melayang. Kalau ada kesempatan, balun habis. Biar semut itu mati ditelan perut bumi.


7. Pengundi masih lagi bodohkah atau pemimpin politik yang membodohkan diri mereka sendiri?

Sunday 29 March 2009

PAS Sudah Lain

1. Selepas melewati usia lebih 60 tahun, PAS sudah banyak berubah. Sudah lain dari asalnya. Memang lain sekali.


2. Asalnya dari sebuah parti bernama Persatuan Ulama Se Tanah Melayu yang dianggotai oleh alim ulama. Yang DiPertua Agong pertamanya seorang ulama terkenal, Tuan Hj. Ahmad Fuad Hasan. Ulama kaum tua, berpengaruh dalam istana, belajar di Mekah dan berkawan rapat dengan Dato' Onn Jaafar. Semua AJK pertama persatuan itu adalah ulama.


3. Dalam Persidangan Persatuan Ulama Se Tanah Melayu ke 3 yang bertempat di Titi Serong, perwakilan bersetuju menukar nama kepada Persatuan Islam Se Tanah Melayu agar dapat melewati pengaruh politik di luar kawalan ulama. Akhirnya, masuklah Dr. Burhanuddin al Helmy, Dr. Zulkifli Muhamad, Mohammad Taha Talu, Khatijah Sidek, Abdullah Zawawi dan beberapa ahli politik kiri jika tidak sosialis tapi mereka lebih nasionalis.


4. Penentangan mereka terhadap Jus Soli daripada Perlembagaan 1946 Malayan Union hingga Perlembagaan Persekutuan 1948 terus konsisten. Pembentukan Malaysia 1963, ditentang oleh PAS kerana menyebabkan orang Melayu semakin mengecil samada dari segi demografi, ekonomi dan juga politik. Sepanjang 60an hingga pilihanraya 1969, agenda perjuangan PAS adalah mempertahankan hak kepentingan orang Melayu Islam daripada ancaman bukan Melayu. Kecaman dan kritikan terhadap Perikatan-Umno kerana mengkhianati amanah bangsa Melayu kepada mereka.


5. Selepas Tragedi 13 Mei, pimpinan PAS bagai mengubah haluan dari sebuah parti pembangkang di peringkat nasional kepada sebuah parti kerajaan setelah bersetuju mewujudkan kerajaan campuran PAS-Perikatan dan seterusnya membentuk BN pada 1973. Bersama-sama dengan Umno untuk membangunkan Islam dalam kerajaan dan negara.

6. Peralihan kepimpinan Umno dari Tun Razak kepada Hussein Onn mempengaruhi akhirnya perubahan kepimpinan dalam PAS dari Dato' Asri kepada Yusuf Rawa yang bertemakan kepimpinan ulama. PAS menjadi lebih konservatif, tradisionalis dan lebih radikal dengan idea negara Islam.

7. Sebaliknya dalam keradikalan itu, PAS menghulurkan salam persahabatan dengan masyarakat bukan Islam dan mewujudkan kerjasama politik melalui CCC. Meski gagal dan menyebabkan Ustaz Nakhaie letak jawatan dan berundur dari parti. Idea tahaluf siasi dikembangkan dari untuk masyarakat bukan Islam kepada parti-parti politik serpihan seperti S46, Hamim dan Berjasa.

8. Tahun 1998, PAS secara rasmi berkerjasama politik dengan DAP yang sejak 1963 (PAP) 1965 (DAP), yang selama ini berlaga arus. DAP yang menentang konsep `negara Islam' berada dalam satu barisan dengan PAS yang menentang konsep `Malaysia Malaysian'.

9. Pilihanraya 2008, pertama kali wanita India menjadi calon PAS di Johor. Ini tidak pernah berlaku. Dr. Mariah menang di Parlimen Bukit Raja, kawasan majoriti bukan Islam. Berpuluh ribu lagi menjadi ahli Kelab Penyokong PAS di seluruh negara. Orang bukan Islam dan Melayu tanpa rasa bimbang mengibarkan bendera PAS, melaungkan `Allahuakbar' dan sanggup ber`jihad' demi Islam.

10. PAS sudah lain. Lain dari yang lain.

Friday 27 March 2009

Pemuda Umno Sudah ada Ketua Baru, Pemuda PAS bagaimana?

1. YB Salahuddin Ayub sudah memaklumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda PAS. Ini bermakna, kekosongan jawatan itu akan diisi oleh orang baru pada muktamar tahun ini.


2. Terakhir peralihan jawatan Ketua Pemuda PAS melalui pertandingan ialah antara Mahfuz Omar dengan Dr. Hatta Ramli selepas Ustaz Abu Bakar Chik melepaskan jawatan tersebut.


3. Ketika itu, seperti ada kerisauan akan berlaku perpecahan dalam Pemuda PAS ekoran dari pertandingan itu. Pengalaman Pemuda PAS di pertengahan tahun 80an membayangkan pertandingan jawatan Pemuda PAS dibayangi oleh kepelbagaian aliran kelompok pemikiran.


4. Namun selepas Mahfuz Omar menang, kerisauan tersebut tidak berlaku langsung bahkan saf Pemuda PAS menggabungkan kepelbagaian kepimpinan pemuda. Apabila Mahfuz Omar mengundurkan diri, tiada pertandingan. Jawatan tersebut seperti sudah diakui akan diserahkan kepada Salahuddin Ayub, Timbalan Ketua Pemuda waktu itu.


5. Kini, apakah perwakilan akan bersikap mengelakkan wujudnya pertandingan jawatan utama itu atau terus melestarikan keterbukaan dalam menentukan kepimpinan mereka. Inilah waktunya Pemuda PAS mewujudkan suasana pertandingan yang sihat dalam menentukan pemimpin mereka. Bukan lagi ditentukan secara oligarki.


Tuesday 24 March 2009

Mengapa Perlu Masuk Umno?

1. Apabila membincangkan persoalan Kerajaan Perpaduan, sebahagian pemikiran masyarakat akan membuat kesimpulan bahawa PAS masuk Umno atau sebaliknya atau menjadikan sebuah parti baru. Oh traumanya kita!

2. Don't worry. Persaingan antara PAS dan parti-parti lain terus berlangsung. Pilihanraya terus diadakan sekurang-kurang lima tahun sekali mengikut Perlembagaan. Kempen tetap berjalan seperti biasa. Kibarlah lambang parti setinggi mana pun tidak mengapa. Edar risalah, rayu undi, ceramah akan berjalan seperti biasa. Tidak perlu masuk Umno!

3. Kita hanya perlu menukar sistem pilihanraya yang kita amalkan dari 'First-Past-The-Post-System' ataupun 'Plurality Majority' kepada 'Proportional Representation' (PR). Melalui sistem PR (bukan Pakatan Rakyat), jumlah peratusan undi yang diperolehi akan menentukan jumlah peratusan kerusi. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya, `wasted votes' yang juga mempunyai hak suara mereka sampai ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri.

4. Pilihanraya 1959, undi popular Perikatan ialah 51.7% tetapi kerusi Parlimen yang diperolehi ialah 71% berbanding dengan parti pembangkang yang mendapat undi popular 48.3% dan kerusi di Parlimen hanya ada 29%. Pilihanraya 1999, undi popular BN ialah 56.5% tetapi kerusi Parlimennya ada 77%, manakala undi popular BA ialah 43.5% tetapi kerusi Parlimen hanya ada 24%. Ini bermakna suara rakyat 43.5% dinafikan kerana kita memilih sistem pilihanraya plurality majority.

5. Kaedah PR telah diamalkan di German, Indonesia, Switzerland dan kebanyakan negara maju (kecuali UK, USA, Kanada dan Perancis).

6. Di Indonesia, PKS (Parti Keadilan Sejahtera) dari sebuah parti yang kecil tetapi mempunyai sistem perkaderan dan tarbiyyah Ikhawanul Muslimin telah dapat bersaing dengan parti-parti yang lebih lama dan berpengaruh.

7. Apakah persoalan Kerajaan Perpaduan menjadikan PAS gila atau kemaruk kuasa? PAS memilih pendekatan pilihanraya adalah untuk mendapatkan kuasa. Jika tidak kerana kuasa, lebih baik orang PAS masuk jamaah tabligh ataupun ahli sufi. Ustaz Ismail Kamus pernah berkata, 'kita bukan gila kuasa tapi kita nak ambil kuasa daripada orang gila!'

8. Oleh itu, apa perlunya nak masuk Umno? Kuatkan parti sendirilah beb! Kalau kita dah kuat, ramai orang masuk termasuklah bekas ahli Umno. Sekarang PAS pun sudah 'multimembers'. Ada ABIM, ada JIM, ada alArqamnya, ada Syiah, ada Wahabi, ada Taliban, ada yang tak pakai tudungnya, ada rockersnya dan sebagainya. Orang bukan Islam pun teringin nak masuk PAS. Apa sudah jadi pada PAS? Itulah kematangan dan kemajuan dakwah PAS sehingga melewati sempadan yang selama ini kita bina secara tidak sedar.

9. Dulu orang kutuk habis Amy Search, tapi bila kawan tu dah dekat Tok Guru Nik Aziz, berjela-jela puji. Dulu orang katuk teruk Anwar Ibrahim, tapi bila kawan tu dah berpakat dengan kita, berebut-rebut orang menadah telinga nak dengar ceramahnya. Dulu orang taruh habis Dr. Mahathir macam Firaun, tapi bila suaranya menyokong aspirasi pembangkang, masing-masing nak angkat dia.

10. Biasalah, itulah resam manusia.

Monday 23 March 2009

Permulaan Satu Autokrasi Baru

1. Akhbar alternatif perdana, Harakah dan juga Suara Keadilan digantung tiga bulan serta merta oleh pihak Kementerian Dalam Negeri hari ini.

2. Ini bermakna, pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai sepi dengan berita dari akhbar bercetak ini. Ini cabaran berat lagi kepada sang blogger untuk mengambil alih peranan media sewaktu pilihanraya kecil itu nanti.

3. Yang lebih utama, tiada lagi ucapan 'tahniah' yang bakal tercetak dalam akhbar tersebut kepada Najib Tun Razak yang bakal menadah takhta daripada Abdullah Ahmad Badawi.

4. Najib Tun Razak mungkin akan mengambil pendekatan politik Tun Dr. Mahathir sewaktu mula mengambil alih kepimpinan dari Tun Hussein Onn untuk memastikan suara politik Umno bernafas panjang.

5. Antara pendekatan itu ialah menyekat sebarang kemaraan politik pembangkang dengan apa cara sekalipun meski nampak keras. Kedua, mengambil kekuatan politik pembangkang termasuklah menjadikan idealisme dan pemimpin pembangkang sebagai sebahagian daripada mereka. Musa Hitam pernah berkata yang lebih kurang berbunyi, `jika kita tidak mampu melawan musuh, ambil saja musuh itu sebagai kawan.'

6. Bila satu autokrasi baru bermula, maka satu pendekatan politik yang baru akan mencabarnya. Siapa yang mahu mulakannya?

Wednesday 18 March 2009

Istanbul Yang Menggamit

Idea Kerajaan Campuran di Malaysia

1. Sebelum ini aku sudah lontarkan idea kerajaan campuran di Perak. Kita memerlukan keberanian dan meneroka pendekatan yang lebih bersesuaian dengan situasi politik semasa.


2. Kerajaan campuran ini tidak bermakna pakatan antara Umno dengan PAS tetapi ia sebenarnya melingkupi semua parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

3. Dan juga tidak bermakna perlu dibubarkan PR atau BN. Biarkan parti itu wujud sebagai institusi politik yang memainkan peranan sama dan langsung tidak mengenepikan dasar dan matlamat perjuangan parti itu. Kekalkan persaingan politik antara pakatan atau parti.

4. Yang kita ubah ialah bagaimana semua parti boleh mengambil bahagian dalam meneraju kerajaan sebagai badan legislative atau Parlimen dan dalam masa yang sama, wakil parti ataupun pimpinan parti yang berkemampuan dan berkebolehan tinggi mentadbir badan executive.

5. Tiada istilah parti pembangkang atau parti kerajaan. Pemimpin parti yang berperanan di dalam badan executive akan dipantau oleh pemimpin parti yang berada dalam badan legislative.

6. Melalui kaedah ini, hanya pemimpin yang benar-benar berkualiti dapat dipilih kerana telah melalui banyak tapisan dan negara dapat mengambil manfaat daripada kebolehan pemimpin tersebut.

7. Apa yang berlaku pada hari ini, apabila BN sudah tiada peminpin yang berkaliber dan berkemampuan tinggi, maka mereka ambil sikap `tiada rotan, akarpun jadi'. Ini berlaku juga pada kerajaan PR di Perak. Maka ada pemimpin yang terlanjur menang, memaksa diri menjadi pemimpin 'mee segera'. Ini kerana pakatan politik yang ada pada hari ini, ialah pakatan berasaskan garisan politik kekelompokan dan bukan atas kepentingan nasional.

8. Oleh itu, pemimpin yang dipertanggungjawabkan dalam satu-satu kementerian mestilah membuktikan keupayaannya menterjemahkan perjuangan parti secara praktikal. Dan seterusnya untuk meningkatkan sokongan daripada rakyat, dia mesti menterjemahkan konsep parti yang bersifat abstrak ke alam nyata.

9. Rakyat akan dapat menilai prestasi parti dan pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan mereka. Bukan lagi berdasarkan retorik mereka semata-mata.

10. Banyak perkara perlu diperhalusi lagi. Namun sekurang-kurangnya, kita mesti berani merubah sistem politik lapuk negara kita yang hanya membenarkan politik kekelompokan menguasai negara.

Tuesday 17 March 2009

Ustaz Jaiz Anwar Kembali Ke Rahmatullah


1. Ustaz Jaiz Anwar, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat zaman Dato' Asri Hj. Muda telah meninggal dunia petang ini di Hospital UCL. London.

2. Penghujung Disember lepas, kami sekeluarga menziarahi almarhum sekeluarga di London. Turut serta masa itu ialah, Ustaz Riduan Mat Noor, Ustaz Wan Azhar , Fawaz dan beberapa pelajar Malaysia.

3. Meskipun kami sampai lewat malam di rumahnya, tetapi almarhum begitu ghairah dan semangat bercerita zaman perjuangan politiknya di tanahair dulu. Diceritakan juga zaman awal beliau di London. Dikisahkan juga susah senang beliau sekeluarga mengembara dan akhirnya menjadi rakyat di sini.

4. Beliau belajar ke Universiti al Azhar dan berkawan rapat dengan almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Berkahwin dengan anak Dato' Asri Hj. Muda. Beliau berasal dari Bagan Datoh.

5. Kali pertama aku temui sewaktu aku mendeklamasikan puisi `Salam Syair Perjuangan' di Kedah pada 2003 sempena ulangtahun 50 Tahun Dewan Pemuda PAS Pusat.

6. Al Fatihah. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh almarhum.

Kemiskinan Yang Menang

1. Memang menjadi resam dunia, sudah berjaya - berbondong-bondonglah mendekati. Al Quran merakamkan peristiwa Fathul Mekah dalam surah al-Nasr yang bermaksud,

`Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong'

2. Hari ini, jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai datang bertanya khabar dan membawa buah tangan.

3. Waktu menangis, sendiri di lautan yang bergelora, sang nelayan biasanya tegar merentas demi sesuap nasi untuk keluarganya.

4. Dalam saat begini masih ada lagikah Khalifah Umar al Khatab yang memikul makanan di waktu malam untuk rakyatnya yang miskin?

5. Masih adakah sang ibu menanak batu dan anaknya terlena dalam kelaparan?

6. Sekadar ingatan pada pemimpin negeri di bawah slogan negara berkebajikan. Untungnya, Nik Nur Madihah cemerlang dalam pelajaran tapi bagaimana mereka yang keciciran?

Saturday 14 March 2009

Bahasa Demonstrasi


1. Ahli bijakpandai bahasa dan sastera tanahair sudah menggunakan berdemonstrasi jalanan untuk membahasakan perjuangan mereka.

2. Sesuci mana perjuangan menegakkan bahasa ini? Adakah ia termasuk di dalam perjuangan yang dituntut oleh agama?

3. Cuma, ada bahaya jika semua pihak ingin menggunakan demonstrasi untuk mereka berbahasa. Mungkin sudah tiada istilah, kata, ungkapan untuk mereka nyatakan.

4. Akhirnya mereka sekadar berjalan beramai-ramai. Berpegangan tangan. Meski diam. Tutup mulut. Rupa-rupanya dengan begitu baru orang boleh faham.

5. Kadangkala bahasa bukan dengan kata lebih dimengerti. Bahasa badan (body language) lebih tajam.

6. Cuma bahasa diam juga berbisa tapi mesti ada sempadan. Ada waktunya, kena bercakap, menulis dan menjerit!

Monday 9 March 2009

Memahami Seni Bersikap


1. Beberapa hari lepas aku bercakap dengan sekumpulan pelajar tentang seni di Cardiff University. Aku sebutkan betapa celarunya sesetengah orang memahami bahawa seni itu sekadar untuk nyanyian, tarian dan berpuisi. Dalam perangpun ada seni.


2. Aku baru terbaca tulisan Sdr. Faisal Tehrani tentang ungkapan yang dikutip dari mulut Sasterawan Negara Dato A. Samad Said. Seni Bersikap. Satu kemahiran yang sukar untuk dikuasai oleh manusia.


3. Bagaimana sikap kita ketika berhadapan dengan pandangan yang berbeza dengan kita. Kadangkala terus menghukum dan akhirnya kita juga akan terhukum. Kita saling hukum menghukum.


4. Kadangkala mudah untuk menghukum si pulan itu derhaka. si pulan itu bangang. si pulan itu dijadi kuda tunggangan dan seribu satu contoh yang ada disekeliling kita hari ini.


5. Dalam konteks istilahnya, seni adalah fiqh. Jika Dr. Yusuf Qardawi menggariskan keperluan para pemimpin dan ahli gerakan Islam memahami fiqh al awlawiyyat. Aku fikir, kita juga perlu menguasai fiqh bersikap. Bagaimana sikap kita dengan kawan dan lawan. Kita perlu berlaku adil terhadap semua orang meski pada musuh.


6. Jangan kerana nyamuk seekor, kelambu hendak dibakar. Marahkan pada Sultan Perak pada isu yang berlaku di Perak, jangan sampai hendak dibakar institusi Raja itu. Marahkan polis yang bertindak ganas, jangan sampai hendak hukum semua polis pengganas. Sakit hati pada UMNO, rasa nak ludah. Itu tak betul. Marah dengan ceramah PAS, langsung diharamkan ceramah. Itupun tak betul juga.


7. Habis itu, nak baik bodoh begitu sahaja?


8. Itulah yang sedang aku cuba memahaminya sekarang - seni bersikap.






Friday 6 March 2009

Zubir Ali: Selepas Kau Pergi


1. Zubir Ali. Nama yang tidak boleh dipisahkan antara puisi dengan lagu di Malaysia. Hingga ke UK pun, aku bawa kasetnya. Dari ke Swansea ke Lampeter, lagu-lagunya sering mengisi kesunyian memandu seorang diri.


2. Kali terakhir aku jumpa Allahyarham ialah di DBP sewaktu Pidato Pemuda Malaysia yang membariskan Ketua-Ketua Pemuda Parti Politik Malaysia, Dato' Hishamuddin Onn (UMNO), Salahuddin Ayub (PAS), Shamsul (PKR), Nga Khor Ming (DAP) dan Ketua Pemuda MCA. 2006. Beberapa bulan sebelum aku tinggalkan tanahair,


3. Waktu itu kami bersembang di belakang pentas. Kami dijadualkan mendeklamasikan sajak. Aku ajak Zua XPDC dan rakan-rakannya untuk memetik gitar sewaktu mendeklamasikan sajak. Sampai habis program, kami duduk di belakang pentas. Bersembang macam-macam. Macam satu kepala aje time tu bersembang.


4. Dia tunjukkan gitar yang bakal dipetiknya. Gitarnya cukup power. Walaupun `second hand', tapi dia beli RM7000. Zua dan aku try petik-petik gitar itu. Power lah.


5. Allahyarham adalah anak murid kepada al Marhum Dato' Fadzil Mohd. Noor di Maktab Mahmud dan kawan kepada Dinsman. Sewaktu, Dinsman buat persembahan teater di Maktab Mahmud, ramai ustaz-ustaznya tidak setuju kecuali Ust. Fadzil! Aku tak ingat, samada Allahyarham Zubir Ali turut serta dalam teater itu.


6. Dan kali pertama aku berjumpa Allahyarham ialah sewaktu di UM. Waktu itu, Allahyarham bekerja di Pusat Kebudayaan UM dan aku datang sebagai wakil PMIUM. Aku lupa apa pokok perbincangannya. Tapi seingat aku, dia sangat welcome.
7. Selepas kau pergi, baru sekarang terasa kehilanganya. Al Fatihah.






Wednesday 4 March 2009

Jangan Tebang Pokok Itu!


1. Apapun kejadian menarik dalam siasah tanahair belum berakhir walaupun persidangan DUN Perak diadakan di bawah pokok. Akan ada lagi yang lebih menarik.


2. Tentu pokok itu akan menjadi sebutan dan sering dipandang orang.


3. Aku harap pokok itu tidak ditebang atas sebab orang sekarang selalu menyebut tentang `pokok itu.....' meski tidak melintas atau memandang.


4. Kerana di akhir ungkapan `pokok itu.....' ia tetap meresahkan dan membanggakan.

Tuesday 3 March 2009

Hello, Hero Akan Datang!


1. Dalam keadaan politik anarki, hero akan datang. Datangnya mungkin sebagai penyelamat atau pemusnah. Kerana Hulagu Khan, hero pada kaca mata Monggol. Tetapi pemusnah kepada tamadun Baghdad yang sombong.

2. Tercermin pada wajah hero adalah karismatik. Ayatnya penuh puitis. Bibirnya menguntum senyum. Tangan mengenggam bara. Kaki sudah terpasak ke bumi. Rambut sudah tegak ke langit.

3. Hero akan membunuh sebelum musuh membunuh. Hero akan membenam sebelum musuh menenggelamkan.

4. Yo Perak ! Hello, bila Hero mau datang? Diaorang sudah sakan bertarung.

5. Kita tengok. Saksikan pada layar fikiran sendiri. Jangan nonton pada wayang orang. Kita ada panggung sendiri. Kita ada fakulti akal yang luas sekira-kira tempurung kelapa sawit!
6. Maafkan aku kawan kerana biarkan kalian berperangan. Aku kodok yang pandai menyanyi di tengah malam (sekarang di UK, 2.42 pagi).