...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Saturday, 28 February 2009

Thursday, 26 February 2009

Pemuda UMNO, Pria Terhebat!

1. Aku kena tabiklah pada sekumpulan Pemuda UMNO yang datang ke Parlimen dan kasi `warning' pada Karpal Singh yang masih berkerusi roda.

2. Inilah contoh terbaik hulubalang Melayu mempertahankan maruah bangsanya dengan mencabar bangsa lain beradu kekuatan.

3. Tambahan pula tempat dipilih oleh Pemuda UMNO di Parlimen (luar) adalah satu gelanggang yang terbaik untuk menentukan siapa yang terhebat.

4. Cuma mengapa setakat tarik-tarik baju je? Kan bagus juga kalau tarik-tarik rambut sekali!

5. Pemuda UMNO, kau pria terhebat!

6. Aku masih simpan Taming Sari dalam almari. Kemas terikat kain kuning buatan Pulau Bentan.

Wednesday, 25 February 2009

TERKINI: Senarai Calon PAS Bukit Gantang.....

1. YAB. Dato' Seri Ir. Hj. Nizar Jamaluddin - tidak perlu diterangkan latar belakang beliau. Beliau dikatakan mendapat sokongan terutama daripada pengundi bukan Melayu di Kuala Sepetang. Namun, cadangan ini menambah bebanan kepada beliau sendiri jika ditakdirkan beliau kembali kepada jawatan asalnya. Pemilihan beliau juga boleh menggambarkan PAS ketandusan calon lain.

2. Al Fadhil Ustaz Ahmad Awang - Sebagai Pesuruhjaya PAS Perak dan Naib Presiden PAS tentulah beliau dianggap terkanan dari segi hirarki parti di Perak. Beliau sudah dikenali umum kerana pernah menjadi Yang Dipertua PAS Taiping - bandar terhampir dengan Bukit Gantang. Hubungan beliau dengan DAP sangat baik kerana beliau adalah antara pimpinan Perak yang dapat dibawa berbincang dengan mereka terutama sewaktu pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

3.Tuan Hj. Mat Sabu - meskipun beliau bukan anak tempatan dan bukan orang Perak, pengaruh beliau di peringkat pimpinan PAS akar umbi Bukit Gantang sangat kuat. Beliau kerap turun ke Bukit Gantang sebelum ini. Selepas namanya tidak naik di Kuala Terengganu, penyokongnya menaruh harapan di Bukit Gantang pula.

4.Ustaz Idris Ahmad - beliau dianggap regu rapat dengan Hj. Mat Sabu dan sebagai anak tempatan Kg. Sungai Petai. Changkat Jering. Sebelum ini beliau pernah bertanding pilihanraya kecil Changkat Jering dan satu lagi sewaktu pilihanraya umum 1999. Kemudian pada tahun 2004 dan 2008 beliau bertanding di Jerlun, Kedah.

5. Ustaz Nurazli Musa - beliau Ketua Pemuda PAS Perak atau dikenali dengan nama `Taliban'. Beliau pernah bertanding pilihanraya 2004 di Pasir Panjang, 2008 di Trong, DUN di bawah Parlimen Bukit Gantang. Meskipun beliau kalah di Pasir Panjang dan Trong tetapi beliau dikenali terutama kepada pengundi Trong. Beliau bertanding di Trong kerana mendapat sokongan kuat daripada Dewan Pemuda Perak.

6. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakub - beliau baru sahaja kembali ke tanahair selepas menamatkan pengajian PhD di Universiti of Manchester dalam bidang pengurusan teknologi maklumat. Sebelum ini beliau adalah Setiausaha Politik YB Hj. Mahfuz Omar. Latar belakang beliau sebagai kerabat di Raja Perak boleh digunakan oleh PAS untuk menunjukkan PAS tidak menentang institusi Raja.

7. Mungkin.

Monday, 23 February 2009

Siapa Yang DiPertahankan?

1. Hari ini segala hulubalang Melayu bangkit mempertahankan Raja-Raja Melayu agar terus berdaulat hingga kiamat. Masing-masing mengaku bahawa merekalah sebenarnya yang mempertahankan institusi fuedal itu.

2. Semua bongkar sejarah Raja-Raja Melayu daripada Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Sultan Perak yang ada sekarang. Dari kitab `Sulalatus Salatin' hingga `Perlembagaan Malaysia'.

3. Jika Raja yang bersalah, mengapa tidak boleh dipersalahkan? Jika Menteri yang salah, mengapa tidak boleh dipersalahkan? Rakyat juga ada salahnya. Mengikut pemimpin tanpa berfikir.

4. Jangan dipertahankan apa jua kesalahan. Yang kita pertahankan bukankah kebenaran dan keadilan?

5. Atau kekuasaan, kedudukan itu yang perlu kita pertahankan? Aku harap tidak silap menentukannya.

Wednesday, 18 February 2009

Idea Bodoh dan Budak

1. Alangkah senangnya kalau ramai pengundi, rakyat atau penyokong itu bodoh dan budak-budak.Ye ke?

2. Oleh sebab itulah, ramai pemimpin, para ahli politik, pelawak atau penghibur serta ibubapa mendidik orang bawahan mereka dengan idea yang bodoh. Contohnya, sewaktu kecil - budak-budak ditakutkan dengan hantu itu - hantu ini. Bila sudah masuk sekolah, cikgu disiplin membuat hukuman dan peraturan yang melucukan. Bila masuk universiti, belajar dengan pensyarah yang penakut dan sibuk cari makan. Dan bila jadi bos, berlagak pandai - suruh orang bawah buat itu buat ini. Bila jadi Wakil Rakyat, tangan asyik kat belakang. Pandang orang semacam. Semua orang buat tak betul - dia saja yang betul - itu sikap peguam (kawan aku cakap)

3. Ustaz pun kadangkala nak mudah mengajar: .......nanti masuk neraka! Habis cerita. Kadangkala ngerinya neraka itu menenggelamkan keagungan Tuhan.

4. Tapi tidak semua budak dan orang bodoh itu mudah dipermudahkan begitu sahaja. Tengok Abu Nawas - rakyat biasa yang boleh kritik raja. Tengok Pak Pandir, yang sentiasa survival hidupnya dengan kebodohannya itu.

5. Lalu. Kita teruskan kehidupan kita dengan cara kita. Hidup dengan kebodohan dan kebudak-budakan.

Sunday, 15 February 2009

Saturday, 14 February 2009

KEMBALILAH!

Kembalilah berfikir
jernihkan jiwa
beningkan minda

berenang ke laut dalam - redahlah apa jua ombak
terbang ke langit terang - redahlah apa jua angin
kutiplah bintang
yang bersinar

kembalilah berfikir
dan berhenti
seketika

aku akan datang
akan datang
datang
aku

Monday, 9 February 2009

Perginya YB. Hj Roslan Shahrom

1. Kira-kira pukul 2.30 pagi itu, aku terima sms dari tanahair. Sejam kemudian, satu lagi sms aku terima. Al Fatihah buat Hj. Roslan Shahrom. Tinggal semua kenangan kami bersama.


2. Beberapa hari lepas (7 Feb), arwah sms pada aku. Cerita tentang pergolakan politik Perak yang tidak menentu. Dia minta doakan bersama.


3. Hari arwah berangkat ke Gaza untuk misi kemanusiaan, arwah telefon aku - waktu itu pukul 4.30 pagi (28 Jan). Arwah minta aku uruskan permohonan anak perempuannya belajar di Highmead Foundation dan cerita-cerita biasa lain. Kemudian, aku ucapkan selamat jalan padanya dan minta sampaikan salam pada sahabat-sahabat di Gaza.

4. Tahun lepas, arwah dan anak perempuannya datang ziarah ke Swansea. Tidur kat rumah aku. Kami uruskan kunjungan ke UK dengan berjumpa warga Perak dan Malaysia di UK.


5. Pagi ini (hari meninggal), posmen datang menghantar surat. Satu suratnya daripada arwah!


6. Al Fatihah buat arwah. Semoga bersama para solehin dan mursalin. Amin.

Sunday, 8 February 2009

Jangan Lari Tajuk

1. Kemelut politik di Perak sudah bersimpang siur. Dari konflik antara parti politik, kini melangkau ke medan istana raja. Persoalan peribadi mula diungkit. Sejarah hitam lama dibuka.

2. Aku milik pendirian seperti kalian ada. Jika tidak sama, itu adalah kerana kita manusia yang milik akal fikiran. Jika samapun, bukan kerana kalian pengaruhi aku atau aku pengaruhi kalian. Lainlah kalau belum mumayiz.

3. Semua ahli politik dan sang penguasa akan cuba mempengaruhi masyarakat tentang pendirian mereka. Semua ada hujah. Dengar dan tengok mulut mereka semua berlapik ayat suci, fakta keramat dan penuh berazimat. Sewaktu Perang Siffin, Amru al As menyeru umat Islam yang berperangan sesama sendiri kembali kepada al Quran sambil di menjunjung kitab itu di atas lembingnya. Akhirnya, semua bersetuju untuk berhenti perang dan bermula lagi siri politik yang lebih licik.

4. Lenin menentang Tsar atas nama rakyat. Napoleon berperang hingga ke Waterloo demi rakyat Perancis. Brustus membunuh Ceaser, demi Rom yang lebih disayanginya. Akhirnya, kuasa akan berpusat pada pemimpin itu sendiri. Rakyat yang berkorban, berperang bermati-matian akan dianggap sebagai pahlawan dalam perjuangan. Rakyat kembali menjadi hamba kepada pemimpin baru.

5. Rakyat dan tentera seperti pengundi dan penyokong. Mereka sanggup taat kepada pemimpin sehingga menenggelamkan anugerah Tuhan kepada diri mereka sendiri. Akal. Memang semua pemimpin dan sang penguasa akan guna segala makenisme media mereka untuk membuang kewarasan rakyat. Ucapan mereka membakar emosi. Menegakkan benang yang basah. Akhirnya ilusi pemimpin kuat, benang itu tegak. Hakikatnya tidak.

6. Ironinya, jangan lupa pada akal fikiran sendiri. Emosi penting. Sama juga dengan jasmani. Jika jiwa disatukan bersama, insyaAllah kebenaran akan terjelma dalam langkah kita. Bukankah kebenaran itu pahit di hadapan, manis di hujungnya.

Saturday, 7 February 2009

Tun Dr. Mahathir dan Raja-Raja Melayu


1. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semua lagi tahu.

2. Keterlanjuran beberapa raja Melayu mengundang bala kepada institusi itu sendiri. Kes yang melibatkan raja-raja Melayu tiba-tiba satu demi satu didedahkan di media. Sehingga rakyat bersetuju perlunya institusi ini dihapuskan kekebalannya. Korang rujuklah sendiri:
http://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_Iskandar_of_Johor#Allegations_of_criminal_misconduct

3. Waktu dibentangkan, semua ahli Parlimen BN sokong, PAS berkecuali dan S46 menentang. Akhirnya rang undang-undang itu diluluskan dengan diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah. PAS berkecuali kerana rang undang-undang itu akan mengalihkan kekebalan Raja-raja Melayu kepada kekebalan pihak Executive. S46 menentang kerana Presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah adalah orang istana sendiri.

4. Akhirnya, Raja-raja Melayu hilang kekebalan. Namun, ketika itu Tun Dr. Mahathir tidak disebut derhaka bahkan dianggap sebagai pejuang keadilan. Sebab apa? Kekuatan kepimpinan dan tegas pendiriannya menyebabkan Tun mampu merasionalkan isu sensitif itu demi kepentingan negara. Tun berjaya membuang tulah daulat Raja-raja Melayu dalam kotak fikiran orang Melayu.

5. Kini, Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, MB Perak menguji kekuatan Raja-raja Melayu. Beliau perlu ada kekuatan kepimpinan, tegas dengan pendiriannya dan mampu merasionalkan persoalan yang sensitif ini sehingga pihak istana terpaksa akur dan rakyat faham.

Onn Jaafar dan Raja-Raja Melayu

1. Dato Onn Jaafar. Semua rakyat Malaysia kenal.

2. Sewaktu British mengemukakan Malayan Union 1946 dan dipersetujui oleh Raja-raja Melayu, gerakan Dato' Onn Jaafarlah dapat memberikan kesedaran baru kepada orang Melayu untuk bangkit menentang persetujuan tersebut. Meski ada KMM (1936) dan PKMM (Ogos 1945). Ibrahim Yaacob, Dr. Burhanudin al Helmy, Ust. Abu Bakar al Baqir. Ramai tak kenal. Sejarah mereka ditenggelamkan.



3. Mereka lebih awal memberi amaran bahayanya pegangan tradisi orang Melayu terhadap institusi Raja-raja Melayu dan penjajah. Sayangnya waktu itu, Raja-raja Melayu dikelilingi ulama tradisional, aristokrat dan kongsi gelap. Baginda tidak mendapat nasihat yang betul.


4. Ada yang menyebut bahawa Raja-raja Melayu dipaksa menandatangani perjanjian itu oleh Pesuruhjaya British Malaya, Sir Harold MacMicheal. Raja-raja Melayu sebenarnya dipaksa dengan tawaran elaun yang lumayan. Raja-raja Melayu tidak dapat menolak tawaran paksa itu meski baginda dan orang Melayu akan kehilangan kuasa. Asal saja baginda dapat takhta. Simbol orang berkuasa.



5. Oleh kerana Dato' Onn Jaafar ada hubungan dengan istana dan merupakan pegawai kerajaan British ketika itu, langkahnya mudah diterima oleh orang Melayu. Dato' Onn Jaafar menyakinkan Raja-raja Melayu bahawa rancangan Malayan Union akan menguburkan kuasa orang Melayu. Barulah Raja-raja Melayu insaf.


6. Sayangnya aku tidak tahu bagaimana Dato' Onn Jaafar bercakap dengan Raja-raja Melayu. Mungkin, `Patik mohon sembah derhaka untuk menentang persetujuan tuanku dengan British.'

Pengajaran Buat Kerajaan PR Perak

Dalam anarki begini, aku gariskan beberapa pengajaran buat kerajaan PR Perak yang menyebabkan keadaan ini berlaku:

1. Langkah pemberian Tanah Kekal kepada penduduk Kampung Baru dan Kampung Tersusun gagal diurus dengan baik. Orang Melayu marah kerana pemberian itu secara terbuka. Orang Melayu tidak kisah kalau pemberian itu secara tertutup biar seluas mana sekalipun.

2. Menukar kereta rasmi kerajaan Proton V6 kepada Camry yang tidak perlu dilakukan. Aku dah ulas bulan lepas.

3. Tidak dapat mengawal saki baki kakitangan kerajaan negeri yang berjiwa `UMNO' seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Langkah `pemecatan' Pengarah JAIP, Dato' Jumry tidak cermat sehingga menimbulkan masalah lain.

4. Ucapan MB Perak yang bersemangat kadangkala melangkaui keperluan semasa.

5. Gagal memecahkan lingkaran yang mempengaruhi pihak Istana terhadap kepimpinan dan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat.

6. Kurangnya engagement dengan BN terutama dengan UMNO.

7. Kurangnya backup yang kuat daripada parti sendiri. Kerusi ADUN PAS yang sedikit menyukarkan MB Perak berfungsi lebih berkesan. Kadangkala, kerajaan PR Perak terlalu bergantung kepada personaliti Ir. Hj. Nizar sahaja. Yang lain sekadar tumpang semangkuk.

`Tahniah' Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir!

1. Lupa pulak nak ucap tahniah pada MB Kembar Perak. Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir yang baru mengangkat sumpah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Tesis PhDnya adalah mengenai perjuangan PAS untuk mendapatkan kuasa di Malaysia. Tentu dia akan lihat betapa jauh murninya cara PAS dengan cara beliau mendapat `kuasa'.

2. Memang benar cabaran utama beliau adalah untuk mengharmonikan keadaan khususnya di Perak. Beliau perlu bertindak cepat dan membuat hubungan terus dengan pimpinan PR. Jika tidak, dia akan membantu mempercepatkan proses pereputan Umno.

3. Jika pimpinan PR enggan menghulurkan salam persahabatan, tidak salah untuk beliau memulakannya. Bahkan lebih mulia.

4. Sebagaimana yang difahami oleh beliau tentang sikap teman-teman dalam PR, tentu beliau boleh menelah bagaimana jalan yang harus dipilih.

5. Kuasa kini pada beliau. Sultan di kanan, Najib di kiri, rakyat di hadapan, PR di belakang. Semua perlu difikirkan. Aku tahu, tentu dia sudah fikirkan.

6. Selamat berjuang kerana di sana ada ribuan lagi yang berjuang untuk menentang.

Friday, 6 February 2009

Tulislah Tentang Raja Berperlembagaan!

1. Brother! Boleh tolong buat artikel semuka tentang Raja Berperlembagaan. Aku nak sebar kat Perak. Ahhh, termenung sekejap aku nak menjawabnya.

2. Malas nak buka kitab Perlembagaan. Kalau nak buka kitab Hikayat Merong Mahawangsa, Hang Tuah ke, insyaAllah sekejap je beb! Itu raja tak berperlembagaan. Raja bertakhta di hati dan di kaki.

3. Buku J.M. Gullick, T Braddell, W.R. Roff mudah menceritakan asal usul timbulnya konsep raja berperlembagaan. Memanglah orientalis dasarnya mencari salah orang, tapi tidak boleh dinafikan kebenaran dan fakta yang diberikan.

4. Masing-masing mula buka kitab Perlembagaan Tubuh Negeri dan Malaysia. Baguslah.

4. Kalau ada, emailkan. Aku nak forward je.

Khabar Dari Rumah MB Perak

1. 'Aku minum kat luar.' Kawan aku menjawab telefon aku.

2. Ceramah di rumah MB masih berjalan. Cuma tidak seramai seperti malam semalam. AJK PAS Perakpun sudah selesai bermesyuarat. Beberapa ADUN PR dan Speaker Perak masih ada di situ. Jam sudah hampir pukul 12.00 mlm.

3. Demonstrasi di Bukit Chandan tiada yang melibatkan pimpinan PR. Itu demonstrasi rakyat. Tiada siapa yang memimpin. Kawan aku marah kerana pimpinan PR tak ada. Rakyat berdemonstrasi tanpa arahan. Mereka melaungkan kemarahan.

4. Unit AMAL Selangor dan Wilayah datang membantu mengawal keselamatan MB yang mungkin akan ditangkap. Mungkin berulang lagi tragedi 2 Sept 1998.

5. Ohhh sebab itulah kau minum kat luar!

6. Tau pun.

Berita Dari Bukit Chandan

1. Ramai pulak kawan tutup telefon time begini. Akhirnya dapat juga.

2. 'Black Friday' di Bukit Chandan. Di depan Masjid Ubudiah yang tidak berjauhan dengan Istana Iskandariah. Depannya Madrasah Idrisiah.

3. Bukan soal berpuluh-puluh trak FRU atau beratus anggota FRU. Atau Majlis Angkat Sumpah MB Baru. Atau demonstrasi rakyat. Itu soal biasa.

4. Buat pertama kali kereta Raja Muda Perak disekat oleh rakyatnya baginda sendiri. Raja Di Hilir cuba menenangkan keadaan sambil membuka tingkap keretanya. `Apa sabar-sabar!' orang itu marah dan diludahnya Raja Di Hilir Perak. Mungkin diapun tak kenal Raja di Hilir itu.

5. Seorang budak naik atas bonet belakang kereta Raja Muda Perak.

6. Baginda Sultan Perak tak tenang. Baginda diberitakan tiada selera untuk bersantap mengenang kejadian yang berlaku.

Kalau Berani, Turun!

1. Ramai marahkan pada PR terutama pada PKR yang `gagal' membariskan calon pilihanraya yang benar berkredibiliti. Sampai diungkit-ungkit kerja posmen yang tiada kena mengena dengan soal kepimpinan. Hina sangat ke posmen? - (teringat aku lagu 'Mr. Postman' oleh Carpenter yang popular tahun 70an dulu.)

2. Aku ada kenal calon Pilihanraya PAS di Sg. Manik (kampung halaman aku la). Seorang, arwah Tuan Guru Haji Ahmad yang jadi calon PAS dalam tahun-tahun 80an. Orangnya sangat tua, warak dan suaranya tak kuat. Apatah lagi untuk berceramah berdegar-degar. Tak. Bila mengaji, arwah akan buka kitab kuning. Susah juga untuk aku memahami apa yang disyarahnya. Yang mengajipun tidak sampai sepuluh orang. Mengaji lepas maghrib tapi dia datang waktu Asar kerana tumpang kereta orang yang menuju ke Teluk Intan. Balik kami hantar. Hingga saat akhirnya, Tuan Guru Haji Ahmad tetap dengan perjuangannya.

3. Kedua, Ustaz Ibrahim Ariffin. Anak dia ramai. Kerja jual di pasar sehari dan selalu mengail ikan di parit tepi jalanraya untuk cari rezeki. Keretanya senget sebelah tapi masih boleh berjalan, uzur. Berkain pelekat sahaja. Dia jadi calon PAS dalam pilihanraya 1986 dan 1995. Hingga kini dia istiqamah dalam PAS.

4. Ada orang kata, tak ada ke calon lain? Malulah. Tak ada karismatiklah, susah nak lawan calon BN dan bla bla bla......

5. Ada orang kata, kita mahukan yang ada kelulusan tinggi, harta, kedudukan dan sebagainya.

6. Come on man! hakikatnya kalian yang miliki kelulusan tinggi, banyak harta dan kedudukan yang hebat - penakut. Kalian hanya berani bila sudah menang atau nak menang. Kalian mementingkan perut masing-masing. Kalian takut hilang harta dan kedudukan. Memang kalian dasar pengecut dan berhujah tak pakai akai!

7. Lu ada cermin tak!

8. Kalau berani, turun!

Sultan Tidak Maksum, Pemimpin Tidak Suci

1. Selamat pagi. Salam dari Swansea yang masih sedikit bersalji. Assalamualaikum kepada semua. Pagi ini buka balik tingkap rumah aku di Brynmill, sepi. Sejuk.

2. Buka saja komputer, menyemak berita internet dan telefon kawan, sejuk pagi ini tiba-tiba menjadi panas!

3. Sultan Perak sudah melantik Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak.

4. Protes ribuan rakyat di jalan masuk ke Istana Iskandariah Bukit Chandan sebenarnya telah mencabar kedaulatan dan integriti Sultan Perak. Dalam feudalisme Melayu, Sultan seperti maksum. Meski kekebalan Raja-raja Melayu sudah dihapuskan oleh Dr. Mahathir. Secara psikologinya, orang Melayu masih menganggap Sultan tidak boleh ditegur apatah lagi dilawan. Hanyutlah baginda jika dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang mempunyai kepentingan sendiri.

5. Sultan mungkin tidak selesa dengan gaya dan pendekatan Menteri Besar yang dilantik. Menteri Besar sebagai pemimpin negeri juga tidak suci. Dia mungkin ada kesilapan yang telah dilakukan. Pemimpin harus menilai diri sendiri.

6. Jangan terus menyokong kemaksuman Sultan sehingga lupa dia adalah manusia biasa. Dan jangan terus menyucikan kepimpinan politik, kerana dia juga manusia biasa seperti kita.

Thursday, 5 February 2009

Rakyat Perak Mula Turun


1. Mengikut maklumat yang baru aku dapat, kini tidak orang Melayu sahaja yang berkumpul di kediaman rasmi MB Perak. Ramai orang Cina dan India juga datang memberikan sokongan kepada MB Perak dan kerajaan Pakatan Rakyat.

2. Polis sekadar mengawal keadaan. Tiada sekatan untuk masuk ke dalam kawasan kediaman rasmi MB.

3. Esok akan diadakan solat hajat di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan selepas solat Jumaat. Pemuda PAS sedang menggerakkan seluruh jenteranya di seluruh negara. Semua ADUN PR dijangka akan boikot majlis angkat sumpah Dato' Dr. Zambry Kadir sebagai MB Perak.

4. Unit AMAL ditugaskan menjaga keselamatan MB Perak.

5. Masih ramai lagi pimpinan PR berada di kawasan kediaman MB. Antaranya YB Salahuddin Ayub, Hj. Asmuni Awi, Elizabeth Wong, Dr. Lo'Lo' dll. Manakala yang lain sudah dikatakan beredar.

6. Keadaan di Jalan Tambun dan di Jalan Gopeng sesak. Kebanyakan pimpinan UMNO menginap di Hotel Cuasarina yang bersebelahan dengan dengan Ibu Pejabat UMNO Perak. Kedua-dua bangunan itu hanya 100 meter jarak dengan rumah rasmi MB. Kedua-dua penyokong memenuhi kiri kanan jalan.

7. Aku jadi wartawan pulak!

Berlakukah Tangkapan Politik Di Perak?

1. Kawan aku bilang, beberapa pimpinan PR utama sudah dibawa keluar daripada kediaman MB kerana ada kemungkinan mereka akan ditangkap. Sementara itu, rakyat Perak mula datang membanjiri rumah rasmi MB mendengar ucapan pimpinan PR.

2. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat sudah mengarahkan seluruh pemuda turun ke Ipoh bagi mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat daripada dijatuhkan.

3. Aku dengar dari telefon, ucapan Ust. Nasaruddin Tantawi berdegar-degar membakar emosi yang hadir. Hampir 10 ribu sudah berkumpul dalam rumah MB. Unit AMAL telah mengambil alih untuk menjaga keselamatan rumah MB. Manakala, FRU sedang menuju ke rumah MB.

4. Beribu-ribu lagi diberitakan tidak dapat masuk ke rumah MB. Sekatan.

5. Orang Cina di Ipoh mula tutup kedai. Bukan pasal dah malam tapi diaorang dah takut. Mereka mungkin protes dalam diam. Orang Melayu PKR dan PAS sudah panas hati. Orang UMNO sudah meraikan rampasan kuasa.

6. Teringat pula dengan rumah Anwar Ibrahim sewaktu era reformasi. Akan berulang lagikah episod FRU menyerbu masuk dan menangkap pimpinan PR? Dan orang ramai hanya mampu terjerit melaungkan `reformasi! reformasi! reformasi!' sedangkan kereta Blackmaria meninggalkan mereka asap yang hitam.

7. Aku masih ingat. Kita hanya mampu menjerit kuat. Mungkin.

Rampasan Kuasa di Perak

1. MB Perak, Dato' Seri Ir. Hj. Nizar Jamaluddin diberitakan tidak akan letak jawatan MB seperti yang dititah oleh Sultan Perak. Kemelut politik ini semakin rumit. FRU, Polis sudah diletakkan keadaan berjaga-jaga di Perak. Aku kat sini tak nampak keadaan sebenar tapi boleh merasai. Darurat akan berlaku? Itulah cara BN di Kelantan dulu. Jatuhlah kerajaan yang dipilih rakyat. Rumah MB sudah dikepung. Yang keluar tidak akan masuk. Yang nak masuk, memang tak boleh.

2. Keadaan lebih teruk lagi apabila Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengarahkan MB dan EXCO serta pegawai mereka menyerahkan aset kerajaan dan dilarang memasuki pejabat mereka sendiri.

3. Sultan Perak juga dikhabarkan untuk melantik MB Perak yang baru. Jika berlaku, Perak ada dua MB dalam masa yang sama seperti Ketua Kampung seluruh kampung di Perak. Orang Melayu berpecah kerana menjadi pak turut dan pengikut setia pemimpin. Satu di Bukit Tunggal dan satu lagi di Bukit Berapit. Helang yang terbang melihat berteriak kuat, ` lawan-lawan-lawan-lawan'. Dalam hati helang itu berdetik, `makan besar kali ini aku......'.

4. Pakatan Rakyat hendak gerakkan rakyat untuk menyatakan bantahan titah Tuanku Sultan Perak yang dianggap tidak adil dan sarat dengan kemusykilan. Inilah waktu pihak istana menunjukkan kuasa walaupun mungkin di luar perlembagaan. Istana pada kaca mata masyarakat masih baik walaupun sejarah silam hitam kaum Istana masih ramai yang ingat. Anak aku sampai malu baca sejarah raja-raja Melayu. Mengapa mereka begitu sekali ayah? Tanya anak aku. Aku minta dia jawab sendiri.

5. Rakyat seharusnya matang dengan sejarah. Sayangnya rakyat (khususnya orang Melayu) memang lambat matang dan dididik menjadi budak suruhan atau budak sekolah. Budak tak reti bahasa.

6. Jika rakyat macam budak sekolah sekolah rendah. Suruh angkat, angkat. Suruh bangun, bangun. Suruh duduk, dia duduk. Menentang titah tuanku Sultan seperti Hang Jebat bangun menegak keadilan. 600 tahun selepas kematiannya baru masyarakat Melayu mengiktiraf perjuangan Hang Jebat sebagai pejuang keadilan. 600 tahun orang mengagungkan Sultan dan Hang Tuah.

Wednesday, 4 February 2009

Wujudkan Kerajaan Campuran Di Perak

1. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak saat ini diambang yang sangat kritikal. Manakala Barisan Nasional berkemungkinan akan menubuhkan kerajaan baru sekiranya Tuanku Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak oleh Menteri Besar (MB) Perak, Dato’ Seri Ir. Hj. Nizar Muhamad.

2. Kedudukan kerusi yang dimiliki oleh BN seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai sebuah kerajaan yang sangat kritikal berbanding dengan pembentukan kerajaan PR sebelum ini. Cadangan PR untuk mengadakan pilihanraya semula di seluruh negeri Perak boleh dielakkan jika pimpinan PR bersedia mengadakan reformasi politik di Perak.

3. Perkembangan politik di Perak seharusnya dimanfaatkan untuk membawa perubahan politik pada skala yang lebih luas dan menguntungkan semua pihak. Sumber kuasa politik tidak seharusnya ditumpukan kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja bahkan aspek kebijaksanaan mengurus politik kerajaan adalah perlu diambil kira.

4. Diharapkan agar pemimpin semua parti mengambil sikap berlapang dada dan berjiwa besar dengan melakukan satu reformasi politik dengan mewujudkan Kerajaan Campuran antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Idea pembentukan kerajaan campuran ini mungkin suatu yang asing dalam negara kita. Namun, kerajaan campuran akan mewujudkan satu makenisme kerajaan yang adil dan progresif.

5. Memang wujud saranan untuk membentuk kerajaan campuran antara BN dengan PAS semasa selepas PRU Ke 12. Walau bagaimanapun, pembentukan itu berasaskan kekuatiran daripada sentimen perkauman. Cadangan ini tidak berasaskan kaum atau agama tetapi berasaskan kebijaksanaan parti politik menghimpunkan kepelbagaian matlamat dan pendekatan politik mereka kepada satu institusi rasmi; kerajaan campuran.

6. Kerajaan campuran ini tidak akan mengurangkan kredibiliti perjuangan semua parti bahkan ini menunjukkan kebijaksanaan pemimpin mengurus ketidaktentuan politik negeri Perak ke arah yang lebih mantap. Di dalam kerajaan campuran ini, Menteri Besar dipilih oleh ahli Dewan Undangan Negeri secara majoriti. Manakala Menteri Besar yang berjaya dipilih dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Perak akan memilih EXCO dari kalangan pelbagai parti mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti.

7. Di dalam keadaan inilah, fungsi istana dan Raja sangat memainkan peranan penting sebagai Raja yang menguasai negeri. Penggunaan dan pengembalian kuasa Raja-raja Melayu tidak seharusnya dirujuk kepada pindaan perlembagaan semata-mata tetapi seharusnya ditekankan kepada penafsiran bidang kuasa baginda di dalam perundangan dan perlembagaan negeri. Tafsiran perundangan tidak sekadar terikat pada kes sejarah tetapi bagaimana perundangan boleh mencapai matlamat falsafah perundangan digubal dan berfungsi.

8. Barisan kepimpinan EXCO yang dipimpin oleh MB akan mentadbir kerajaan negeri Perak, manakala ADUN yang lain akan bertindak sebagai sebuah institusi hisbah yang menentukan pimpinan kerajaan negeri mentadbir mengikut peraturan dan matlamat yang dipersetujui sama. Mereka akan mengkritik sekiranya wujud beberapa kelemahan dan penyelewengan dan memberikan sokongan sekiranya wujud keperluan terhadap langkah tersebut.

9. Kaedah ini diamalkan di Indonesia dan juga beberapa buan negara lain di Eropah. Apabila politik sudah berada tahap kematangan, pemimpin politik seharusnya menumpukan untuk membangunkan kerajaan dan memajukan negeri serta berkhidmat kepada rakyat seluruhnya.

10. Langkah ini memerlukan satu keberanian daripada semua pihak pemimpin. Pemimpin politik dan parti politik negara seharusnya meneroka pembaharuan politik yang lebih berwibawa. Kita seterusnya mengharapkan agar semua rakyat Perak khususnya bersabar dan memberikan komitmen bagi membentuk masyarakat yang matang berpolitik dan bijak membuat keputusan.

Bagai Menanti Titah Baginda Sultan

1. Bendahara berkejaran menuju Istana tuanku yang terletak di pinggir kota. Dilihat oleh mamak bendahara begitu ramai rakyat jelata dan wartawan sibuk menunggu di pintu gerbang istana. Mungkin mereka ingin mengetahui hal sebenar yang berlaku di dalam kerajaan negeri.

2. Laksamana dengan beberapa rakan mereka sudah mengira tentera yang berada di bawah arahannya sekarang. Laksamana sudah nekad. Dia akan berpaling dari taat setia kepada Bendahara. Laksamana taat pada tuanku baginda Sultan Melaka sahaja. Tidak kepada yang lain.

3. Laksamana sudah bawakan Sultan Melaka, Puteri Raden Galoh Cindera Kirana, puteri Mahapahit dan Tun Teja dari negeri Pahang Darul Maamur dan Puteri Hang Li Po, puteri Maharaja China. Masakan Sultan Melaka tidak terkenang budi besarnya itu kepada baginda Sultan Melaka. Laksamana sudah menjadikan Sultan Melaka seorang pemimpin global walaupun akalnya tidaklah sehebat Laksamana.

4. Cuma Laksamana kuatir dengan kebijaksanaan Bendahara bersiasah. Bendahara memang tak ada harta dan tenagapun tak sehebat Laksamana. Bendahara tiada kemahiran bersilat apatah lagi untuk berperang. Bendahara cuma ada sebidang tanah yang sekangkang kera dan sebuah rumah cukup untuk keluarganya berteduh lena.

5. Setelah baginda mendengar pandangan Bendaharanya yang bijaksana, bagindapun berfikir-fikir tentang kehebatan Laksamana bersilat dan jasa besar Laksamana memenuhi selera baginda sebagai lelaki terhebat di Nusantara. Bagindapun berfikir.

6. Hamba nun jauh di perantauan, menanti khabar berita.

Tuesday, 3 February 2009

Pantun Lompat Melompat

lompat biarlah katak atau kijang melompat
usah si tua itu terlompat-lompat,
diketawakan anak cucu cicit yang melihat.

lompat tidak mengapa melompat
asal kaki kuat, otak sihat
usah yang lain tergeliat
bagai termakan ubat yang kelat.

lompatlah selagi daya melompat
jangan lompat di malam gelap
bukan takut hitam yang pekat
cuma takut kalau terperangkap

aku ingin melompat
jauh menembus awan
biar kupetik bulan, kesentuh bintang
buat kusimpan dalam kamarku yang kelam.
agar terang

teranglah!

* Pantun ini tidak mengikut peraturan tradisi.

Di manakah Keadilan?


Kes: Diana Danielle Danny Beeson vs Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi


Isnin, Januari 12, 2009


Kes 1


Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dari Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis, merupakan pemuda pertama yang didapati bersalah kerana gagal menghadiri PLKN, pada 11 May 2005. Beliau didakwa dengan sengaja mengingkari notis bertarikh 9 Julai 2004 yang memintanya melaporkan diri di Kem Dusun Resort, Kuala Nerang, Kedah.



Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi yang merupakan seorang daripada empat beradik kepada seorang ibu tunggal, telah berhenti persekolahan selepas tamat pelajaran tingkatan dua SMK Syed Alwi di Kayang. Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi yang bekerja mengambil upah membuat bendang secara harian untuk menanggung ibu dan dua adiknya, memilih untuk menjalani hukuman penjara. Abangnya pula (21 tahun) dilaporkan berada di Melaka bagi mencari pekerjaan, dan dua orang adiknya berusia 16 dan 15 tahun. Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai meminjam RM7 daripada ibunya untuk menghadiri kesnya di mahkamah.


Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 14 hari atau RM600 ke atas Ahmad Harizal selepas dia gagal membayar denda berjumlah RM600. Ahmad Harizal yang kesempitan wang telah memilih untuk hukuman penjara 14 hari.



Kes 2


Pelakon Diana Danielle Danny Beeson (gambar), 17, tidak akan mendaftar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.Pelakon berkenaan membuat rayuan supaya diberi kelonggaran untuk menangguhkan penyertaannya dalam program itu yang sepatutnya bermula hari ini selama tiga bulan.


Penangguhan itu dibuat kononnya kerana Diana terikat dengan kontrak penggambaran sebuah filem berjudul Kecoh Betul. Menurut pengarah filem itu, Baldev Singh, syarikat produksi White Merpati Entertainment yang menerbitkan filem berkenaan telah berurusan dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam mendapatkan kelonggaran bagi pihak Diana.
Permohonan itu dibuat minggu lepas setelah Diana terikat dengan perjanjian penggambaran filem arahannya dari 22 Disember sehingga 22 Januari depan.
Aku petik dari Ust. Yussaine Yahya yang memetik dari Ust. Suhaimi Said.

Monday, 2 February 2009

PKR, lain kali pilih calon baik punya!

1. Teka-teki samada pilihanraya kecil akan diadakan di Behrang dan Changkat Jering belum terjawab. Namun persoalan yang lebih utama ada adalah, ngapa calon `sebegitu' dipilih oleh pimpinan PKR? Jawapannya mudah, tiada rotan, akarpun jadi. Namun masalah sekarang bukan setakat akar yang digunakan tapi jangan sampai bayang rotanpun nak dijadikan calon!

2. Tanpa menafikan PKR mempunyai calon-calon yang berkemampuan. Soal berubah pendirian bukanlah persoalan utama. Kadangkala perubahan pendirian itu adalah hasil daripada pendedahan dan pengalaman sendiri. Kita sendiri selalu mengubah pendirian dalam hidup kita. Bukan tidak berprinsip tetapi itu adalah tabi manusia yang hidup.

3. Pemilihan calon untuk pilihanraya terutama untuk parti pembangkang (peringkat nasional) memang susah. Ramai yang menolak (waktu tiada harapan nak menang dulu, sekarang ni, tak tau lah). Susah nanti tak da kerja lepas berhenti. Susah nanti keluarga kena pulau. Susah kerana tak cukup wang.........

4. Ada sesetengah calon dipilih kerana pandai bercakap atau pidatonya sedap didengar. Ada pula kerana dia bercakap ala Anwar atau ala Ustaz Hadi. Kadangkala sampai cara berpakaianpun nak ikut pimpinan utama mereka. Apa barang beb! Ada pula pantang ada gelaran Dato' ke, Dr. ke, Ir. ke, Ustaz ke, Dr. Homopathy ke. Belasah. Kononnya profesional dan hebat.

5. Abu Dzar ketika bertanya pada Nabi Muhammad s.a.w tentang kedudukannya sebagai sahabat rapat Nabi tetapi tidak diberikan jawatan politik. Mudah Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, kerana kepimpinan ini memerlukan keupayaan memimpin dan satu amanah yang cukup besar. Ciri kepimpinan itu tiada pada Abu Dzar. Rapat dengan pimpinan bukan tiket untuk memimpin.

6. Kepimpinan bukan setakat menjadi calon pilihanraya atau mempengerusi mesyuarat. Atau sekadar berucap di hadapan umum. Atau sekadar pandai menggayakan jalan stail orang besar ala Ali Baba! Senyum kiri kanan, kaki berjalan ke depan, kepala tunduk-tunduk macam belatuk, kedua-dua tangan ke belakang.

Sunday, 1 February 2009

Politik Anarki di Perak

1. Politik anarki adalah merujuk suasana ketidaktentuan politik. Tidak jelas siapa yang berkuasa dan bidang kuasa. Kuasa berada di tengah-tengah kemelut ketidaktentuan. Kuasa itu seperti diombak ke tengah dan ke tepi.

2. Di dalam keadaan beginilah, pemimpin tidak boleh berdebik dengan kuasa yang ada pada mereka. Pembangkang juga tidak akan leka mencari kelemahan musuh yang ada, meski sekuman. Sebagai rakyat, inilah kebebasan untuk menentukan siapa yang berkuasa. Rakyat boleh menuntut pada setiap parti yang menagih sokongan.

3. YB. Jamaluddin Radzi dan YB. Osman Jailu mungkin naif kerana menanda tangani surat peletakan jawatan tanpa tarikh. Namun, pimpinan Pakatan Rakyat tentu sekali ada asas melakukannya. Inilah senjata di saat anarki begini. Sebelum kedua-dua mengumumkan keluar parti, jalan terbaik bagi pimpinan Pakatan Rakyat adalah mengeluarkan surat tersebut.

4. Kedua-dua akan mencabar Speaker. Inilah waktu, peguam berlawan hujah di hadapan hakim yang adil lagi bijaksana. Mereka akan tunjukkan kuasa mereka. Tetapi jika hakim penakut, kena cucuk hidung - dia akan membuat keputusan berasaskan `budibicara' yang telah dibicarakan. Dan bukan berasaskan keadilan. Tetapi jika hakim menunjukkan kuasa sebenarnya, dia akan membuat keputusan yang dipertimbangkan adil dan tepat.

5. Pihak istana tentu tidak senang duduk. Pihak istana tentu memikirkan. Itulah saat kuasa Sultan digunakan. Jangan fikir selepas imnuniti Raja-raja Melayu dihapuskan, kuasa mereka sudah tiada. Masih ada!

6. Jika ditakdirkan berlaku Pilihanraya Kecil di Perak, sekali lagi anarki politik akan berlaku. Waktu itu, wang, projek, jawatan dan sebagainya akan menjadi murah dan mudah. Segala fitnah, bongkar rahsia dan makian menjadi ombak yang bergelora. Dan boleh menenggelamkan akal yang pendek. Sekali bah, sekali berubah.

7. Bagi aku sebagai rakyat biasa, anarki politik ada juga menguntungkan. Sekurang-kurangnya inilah waktu semua orang tunjuk kuasa! Termasuk orang miskin, papa kedana dan sebangsat melarat. Yang tak kerja parti, sekarang mula jengok parti. Setidak-tidaknya ego dan sombong orang berkuasa akan tercabar. Yang sombonglah. Yang tak, tiada kena mengena!