...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Tuesday 16 October 2007

Sudah Setahun Musim Berlalu

Angin mula sering bertiup kencang. Sesekali bertiup seperti lelayang yang berterbangan. Menggugurkan dedaunan yang kekeringan. Berterbangan dedauan itu – melayang dan membaringkan pada bumi Swansea yang mula dinginnya menggigit hingga ke tulang. Kekuningan dedaunan yang melitupi sebahagian lorong dan jalan sepi bagai hamparan permaidani indah. Pohon-pohon di tepi jalan, di atas bukit dan di taman mula terasa kehadiran musim yang beredar. Sesekali air hujan rintik-rintik menitis ke bawah. Mentaripun sekali-sekali sahaja menerbitkan dirinya pada langit kelabu. Langit sudah tidak secerah seperti musim yang lalu.


Pantai Mumbles seperti dulu juga. Ada waktunya ombak pasang hingga mencecah bibir pantai. Ada kalanya ombak surut berundur hingga ke tengah laut. Pantai selut itu semakin luas. Pinggir pantai yang bertanah tinggi berbatuan terus kekal menanti hadirnya ombak datang. Sesekali datang berdempuran kuatnya menghempas. Sesekali datang bagai mengelus bebatuan yang keras dan padat. Seperti membasahi bebatuan pada setiap lekuk dan liang yang wujud. Dan air ombak tak pernah jemu datang dan pergi setiap hari – setiap kali.

Terlalu cepat masa berlalu. Begitu pantas masa beredar. Kini musim luruh kembali lagi. Teringat aku pada setahun yang lalu - ketika kami sekeluarga menjejak kaki ke bumi Hamlet yang dingin ini. Sudah setahun kami di sini. Sudah setahun kami merasai beza dan keajaiban musim yang bersilih ganti. Memang sukar untuk dihayati jika belum merasai kesemua musim – luruh – dingin – bunga – panas.

Melayani waktu beredar memang mengasyikkan. Seasyik memandang sebuah lukisan atau menikmati pemandangan laut yang saujana mata memandang. Atau mungkin juga seperti melayani petikan gitar dan seruling bambu. Alangkah hebatnya suara dan bunyi yang terhasil. Terasa begitunya agungnya Allah yang menjadi Maha Pencipta seluruh alam. Tuhan seluruh alam. Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Menyayang pada hambaNya. Seperti juga musim yang menyedarkan diri – alam seperti laut, ombak, angin, dedaunan, rerumput dan sejuta hidupan memberikan warna dan rupa yang menginsafkan.

Hanya jiwa yang keras, hati yang gelap, nurani yang tertutup – enggan melihat semua itu. Melihat alam seperti melihat hidupan yang mati. Jiwanya terus keras dan perasaanya terlalu angkuh pada diri sendiri. Merasai diri sendiri yang sempurna kerana selalu merasai dirinya selalu berusaha dan mampu mendapatkannya. Merasai diri sempurna kerana akalnya selalu berbicara dengan lingkungan akalnya sendiri. Mengukur diri dengan akal sendiri. Mentafsir diri pada cermin sendiri. Terasa alam terasing pada hidup untuk mengabdikan pada Tuhannya yang Maha Satu.

Setahun – adalah waktu yang mengisafkan. Kerana kebanyakan manusia mulai membuka satu persatu diri dan wajah mereka yang sebenarnya. Setahun adalah waktu yang terlalu panjang untuk hidup berpura-pura. Lakonan diri bukan untuk selama-lamanya. Akan sampai waktunya lakonan itu melucukan dan mengaibkan diri sendiri. Seperti siput di tepi kali, setiap kali terdengar guruh di langit pasti menyembunyikan wajahnya. Siput tidak selama-lamanya menyembunyikan dirinya. Akan tiba waktunya dia menampakkan wajahnya pada alam. Manusia yang lemah memang selalu memerlukan topeng dan kosmetik untuk menutupi wajah dirinya yang sebenar. Tafsirkan sahaja apa jua bentuk topeng dan kosmetik dalam fikiran kita. Ia pasti menutup buat sementara. Zorro hanya dalam filem – tiba waktunya ia juga terpaksa kembali sebagai manusia biasa.

Ibadat puasa membentuk diri agar menjadi jujur pada diri sendiri. Tidak seperti ibadat solat, zakat dan menunaikan haji. Ibadat puasa adalah ujian pada diri sendiri. Berlaku jujur dan tulus dalam mengerjakan amalan puasa. Ia membentuk jiwa agar kembali pada fitrahnya manusia dijadikan – suci. Membersihkan diri dan jiwa dari dosa yang lalu. Semakin usia berlalu – semakin musim beredar – dosa dan pahala silih berganti. Ramadhan adalah bulan penyucian diri manusia yang tidak terlepas dari salah dan dosa. Ramadhan adalah bulan peningkatan diri manusia yang ingin melepaskan dirinya daripada siksa api neraka. Ramadhan adalah bulan peningkatan diri manusia yang ingin mendapat kerahmatan daripada Allah s.w.t.

Antara musim yang beredar dan Ramadhan yang berlalu – aku ingin Tuhan menerima kembali pada diri yang fitrah ini. Amin.

Aidil Fitri: Perayaan Tradisi Atau Sambutan Fitrah Diri?

Setiap kali perayaan Aidil Fitri bermula – biasanya ia akan dimulai dengan agenda kapitalis. Seluruh gedung akan membuat promosi jualan hebat – harga luar biasa – potongan yang istemewa dan pelbagai tawaran yang menikam sukma pengguna. Belumpun Ramadhan bermula, tawaran daripada kapitalis lebih awal sampai pada halwa telinga.

Musim inilah para peniaga mengaut untung yang berlipat ganda daripada nafsu makan dan perhiasan yang meningkat secara luar biasa. Tiba-tiba sahaja pasar ramadhan timbul merata-rata bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tiba-tiba sahaja pelbagai jenis makanan dan minuman yang menyelerakan. Selera membeli. Selepas membeli, tidak semua makanan dijamah. Puas membeli. Kenyang membeli. Penat membeli. Begitulah adanya.

Biasanya Aidil Fitri dalam tradisi kita sering dikaitkan dengan masakan tradisi, lagu Sanisah Huri, Saloma atau P. Ramli. Dan bila bertakbir – takbir Melayulah yang cukup menghiris memori lama.

Balik kampong memang tradisi yang baik. Bertemu dan menziarahi ahli keluarga yang lama ditinggalkan. Kesunyian dan kesepian orang kampong terisi biarpun untuk setahun hanya sekali. Kerana itu, bila tiba hari raya – ketiadaan ahli keluarga amat dirasai. Terlalu sentimental untuk dirasainya. Air mata mengalir mengenangkan anak yang jauh di perantauan.

Ketupat, lemang, lontong, rendang, ketupat – masakan tradisi tiba-tiba sahaja cukup menyelerakan. Biarpun di perantauan – jauh dari bendang, serai dan pokok kelapa di kampong - kami tidak pernah lupa untuk membuat makanan tradisi itu. Inilah makanan yang membuktikan perayaan Aidil Fitri diraikan dengan penuh makna. Pergilah ke mana jua majlis hari terbuka – Cardiff, Lampeter, ataupun ke Birmingham, Manchester atau Dublin – menunya tetap sama seperti di Swansea – seperti di Teluk Intan ataupun di Kota Bharu.

Samalah juga hidangan telinga – lagu Dendang Perantau oleh P. Ramlee seperti tidak pernah luput dalam ingatan orang Melayu yang hendak berhari raya. Tambahan pula lagu Satu Hari oleh M. Nasir dan beberapa lagu lain mula mengusik ingatan. Makanlah dengan menikmati lagu raya – pasti terusik jiwa kita pada hari raya – terusik pada memori silam pada keluarga dan sahabat handai.

Tiba-tiba sahaja kita begitu akrab dengan bersongkok hitam, berbaju Melayu dan bersampin songket ataupun bagi wanitanya kelihatan sopan berbaju kurung, berkebaya, berkain songket dan bertudung. Semuanya kerana ingin menyambut hari raya. Semuanya kerana hebatnya hari raya – Aidil Fitri. Semuanya ingin kembali kepada tradisi. Semua ingin mempamerkan betapa asli dan tulinnya diri ini pada tradisi sendiri.

Hakikat kejayaan menikmati keberkatan bulan Ramadhan – ibadat yang berlipat ganda dan amalan yang tak terlaksana pada bulan lain – seperti dilupakan. Kejayaan mengikat nafsu diri dan meningkatkan ketaqwaan pada Allah s.w.t. seperti berlalu begitu sahaja. Ketekunan menanti hadirnya malam seribu bulan ganjaran bagai tidak bermakna. Keinsafan pada kesengsaraan pada penderitaan dan kelaparan pada mereka yang bernasib malang hanya sementara. Kita bagai diamuk dengan rasa keghairahan pada lepas bebanan Ramadhan yang menekan. Kita bagai bebas daripada amalan yang mengikat diri sendiri.

Seribu ayat yang kunukilkan – sebenarnya hanya mempunyai satu tujuan – kita sibuk merayakan hari raya tanpa memahami hakikat dan falsafah hari raya!

Sunday 7 October 2007

Pertahankan Kubu Terakhir Melayu


BERNAMA melaporkan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin berkata, program-program pembangunan bidang pertanian dan penternakan akan diberikan tumpuan oleh Risda dan Felcra dalam usaha menjayakan pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) nanti dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun dan petani di kawasan terbabit.

Ya…ini satu lagi pembangunan kerajaan BN untuk rakyat! Siapa yang tak mau pembangunan? Menurut Timbalan PM, pembangunan ECER yang meliputi Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor akan merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara negeri-negeri itu dengan kawasan Pantai Barat Semenanjung.
Hebat! Tentu rakyat di Pantai Timur tak mahu ketinggalan di belakang negeri-negeri di sebelah Pantai Barat. Mereka pasti mahukan pertumbuhan ekonomi yang sama dan setaraf.
Jika kenyataan-kenyataan itu dipegang sepenuhnya, menurut Siasah, menjelang perasmian ECER bulan ini, rakyat di Pantai Timur bolehlah berkira-kira untuk memetik bulan dan bintang.
Tetapi, berapa ramaikah orang-orang Melayu Pantai Timur yang sedar dan tahu bahawa antara perancangan utama ECER ialah pengambilalihan 66,736 km persegi tanah rezab Melayu yang merupakan 40 peratus kawasan ECER? Sebuah badan yang didakwa badan amanah akan ditubuhkan.
Blogger Maverick SM (maverickysm.blogspot.com - Cakap Tak Serupa Bikin) adalah orang yang pertama yang dikesan melahirkan kecurigaan terhadap selera besar di sebalik gagasan ECER itu.
Siasah membangkitkan, pemilik-pemilik tanah rezab Melayu tersebut hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, pemilik menukarkan tanah mereka dengan unit-unit saham dalam amanah tersebut. Kedua, menjual terus tanah mereka kepada amanah itu. Pilihan maut!
Memang benar ECER akan diuruskan oleh Petronas, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tetapi, saham GLC juga boleh dimiliki oleh syarikat asing, terutama syarikat-syarikat dari Singapura yang mengamuk seperti singa kebulur untuk menelan syarikat-syarikat dalam negara ini. Contohnya, lima peratus saham TM Holdings pernah dijual kepada sayap pelaburan strategik Singapura, Temasek Holdings.
Adakah mereka tidak risau apa akan terjadi kepada badan amanah yang akan mengambilalih 66,736 km persegi tanah rezab Melayu itu jika tiba-tiba syarikat asing termasuk dari Singapura mempunyai pengaruh yang besar ke atas Petronas yang menguruskan ECER?
Persolannya, sebesar mana sahaja suara badan amanah itu jika syarikat asing mempunyai pengaruh yang besar dan tak terlawan? Banyak bukti boleh menyokong kekuatiran ini.
Kedah dan Perlis sudah disiytiharkan sebahagian dari Koridor Utara. Korporat yang menguruskan Koridor Utara ialah Sime Darby. Sime Darby semakin muktamad ditelan oleh Synergy Drive. Bagaimana kalau satu hari nanti Synergy Drive ditelan oleh sang bulur dari luar?
Persoalan yang lebih besar untuk difikirkan ialah apa akan terjadi kepada kubu terakhir orang-orang Melayu? Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ialah kubu terakhir orang-orang Melayu. Lebih tepat lagi, tanah-tanah rezab Melayu walau di mana pun, adalah kubu terakhir orang-orang Melayu dari segi wilayah. Adakah kita mahu menjadi penonton sahaja kepada keruntuhan kubu terakhir Melayu di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi di tanah-tanah rezab Melayu?

Ini bukan soal perkauman. Mempertahankan kepentingan bangsa sendiri, selagi tidak merampas dan menyamun hak bangsa lain, tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan. Lebih dari itu, adakah bangsa-bangsa lain dalam negara ini akan hidup senang-lenang, mewah dan makmur jika orang-orang Melayu akhirnya miskin, merempat dan mengakibatkan pelbagai gejala sosial?
(disesuaikan dari sumber asal)

Wednesday 3 October 2007

Metos Pribumi Yang Berkuasa

Sejak berjanjinya Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang, metos itu terus menjadi akar kepada sistem kepimpinanan Melayu. Biarpun ada jua yang mencabar metos itu seperti langkahnya Hang Jebat, Laksamana Bentan, Tok Janggut dan lain-lain tetapi ia terus tetap tidak menggugat kesucian metos itu.

Langkah kolonial British menganjurkan Malayan Union ditentang hebat oleh orang Melayu kerana kononnya mencabar kedaulatan kuasa tradisi Melayu - Raja-raja Melayu. Memang kedaulatan Melayu terancam dengan langkah tersebut.

Penubuhan Sujuhanjaya Lord Reid bagi merangka wilayah orang Melayu merdeka tidak lebih sekadar legitamasi kuasa British terhadap tanah Melayu ini. Bahkan ia sekadar meredakan kemarahan orang Melayu terhadap Malayan Union - walhal, kandungan Perlembagaan Persekutuan 1948 tidak banyak beza dengan Malayan Union 1946. Ya, memang lebih baik daripada Malayan Union tetapi Perlembagaan Persekutuan tetap merugikan orang Melayu pada jangka masa yang mendatang. Ya, melalui Perlembagaan PErsekutuan, jalan untuk merdeka semakin jelas kelihatan. Tetapi bagai kata Dato' Onn - bagaimana nak merdeka? Buat jarumpun kita tak reti!

Monday 1 October 2007

Pada Ramadhan Yang Berbaki

Pejam celik - pejam celik, Ramadhan menghampiri waktu permisinya. Syawal datang lagi. Mengalirkah air mata ini tatkala laungan takbir berbunyi. Apakah kerana rindu pada keluarga di tanahair tercinta atau Ramadhan yang telah pergi? Atau mengalir kerana terusik pada dendangan lagu P. Ramlee dan Rafeah Buang? Ahhh....romantisme sungguh!

Ramadhan yang berbaki hanya tinggal beberapa hari. Malam pencarian masih belum terhasil sungguh. Siang berlapar - malam tidur kekenyangan mimpi dan sendat perut yang terisi.

Aku sekadar mengingatkan diri ini yang sering terlupa pada pengertian Ramadhan dan Shawal .....yang sering ditafsirkan bulan kelaparan (ramadhan) dan bulan kebebasan daripada kelaparan (syawal).

Kerana berpuasa di Swansea ini seperti tidak di tempat sendiri. Aku terlupa bahawa bumi ini milik Tuhan yang sama, bintang di langit itu jua milik Tuhan yang sama. Aku sering terlupa.