...

Dilahirkan di pertemuan Sungai Perak dengan Selat Melaka. Dibesarkan di tanah bendang yang terkenal dengan metos terbangnya parang panjang sewaktu Jepun menyerah dan Bintang Tiga bermaharajalela. Berkhidmat di tanah tempat tumpahnya darah dan hilangnya nyawa J.W.W. Birch. Suatu ketika, berlayar keluar dari tanah kelahiran dan kemegahan ke bumi Hamlet. Bukan untuk mencari Romeo & Juliet atau Mozart tetapi meniti jambatan hikmah yang masih ada tertinggal. Kini kembali ke lubuk permainannya. Berkat doa semua, memperolehi PhD dari University of Wales Trinity St. David, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik. Ijazah pertama dalam bidang geografi di UM dan MA. dalam Sc. Pol. di UKM. Sempat juga memperolehi Dip. Pendidikan di UIA. Awalnya ingin menjadi guru tiba-tiba beralih menjadi Si Jebat yang mencabar metos kedaulatan sang penguasa. muhaiminsulam@gmail.com

Sunday 26 August 2007

Kepada Komraad Ku

Kepada Komraad aku
yang sama berbaris
menanti watikah perjuangan yang panjang
yang sama makan setalam
yang datang sekali bersembahyang
pada waktu tengah malam
dan penghujung siang
untuk beriftar bersama
mendengar kuliah
mendengar arahan
mendengar rintihan
mendengar harapan

Kepada komraad aku
yang lama dah tak bertemu
yang hilang dari pandangan

Kepada komraad aku
aku masih seperti dulu
sakit berjuang bersendirian
tanpa kau komraad
tanpa salam
tanpa wang
seperti mana yang pernah kita kirimkan
pada komraad yang luka berjuang
pada komraad yang mati berjuang
pada waris komraad yang hilang

Kepada komraad aku
telahku khabarkan kisah ini
pada laut yang terbentang luas
pada gunung yang gagah menawan
pada tanah yang gersang

kepada komraad aku
aku masih menanti
kiriman itu!

Komrad

Sampai Bila Orang Melayu - Cina Begini?

Aku tak tahu samada persoalan ini berbau perkauman ataupun tidak. Sejak hubungan orang Melayu dengan Cina bermula - pelbagai reaksi yang masih belum kunjung padam tentang rasa tidak puas hati antara kedua-dua belah pihak. Hubungan ini mungkin tak sama dengan hubungan orang Melayu dengan India. Mungkin kerana ramai orang India yang datang bersama sifatnya sebagai Muslim - lalu dikenalilah sebagai India Muslim atau Mamak. Ini yang membezakan mereka dengan Keling - mungkin lebih merujuk kepada kaum India yang tidak Islam. Walaupun ada yang menyebut istilah Keling berasal daripada nama tempat Kalinga di India. Namun istilah Keling seperti suatu istilah yang kurang adab dan sesuai untuk kaum Paria. Maka oleh sebab itulah, Tok Guru Nik Aziz pernah sebut, dia tak kasi orang Kelantan khususnya sebut Keling pada orang India.
Berbalik soal orang Cina. Hubungan orang Melayu dengan orang Cina dikatakan bermula sejak perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po - anak maharaja China. Tak taulah samada maharaja Cina betul-betul ataupun raja-raja di peringkat wilayah tertentu. Aku tak sampai kaji lagi ke peringkat itu. Apabila dibawanya Puteri Hang Li Po ke Melaka - mereka juga membawa kaum kerabat mereka ke Melaka dan duduk bermasyarakat dengan orang Melayu - cuma tak beragama Islam sahaja. Mereka inilah yang dikenali sebagai Baba Melaka. Separuh Melayu- separuh Cina. Darah mereka darah Cina. Tetapi cara hidup mereka sudah menjadi Melayu. Harus diingat bahawa darah Cina dan darah Melayu tetap merah juga. Yang bezanya hanya kulitnya sahaja.
Habis itu peringkat pertama hubungan orang Melayu dengan orang Cina. Masuk ke peringkat kedua adalah sewaktu kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu. Oran Cina dibawa sebagai buruh di lombong-lombong dan mereka datang untuk mencari makan dan perlindungan kerana di China waktu itu sedang berperang. Lama kelamaan mereka pula menguasai lombong yang menjadi sumber kekuatan ekonomi semasa. Elit Melayu ketika itu (raja dan bangsawan) hanya menguasai politik, tanah dan agama (dalam konteks adat istiadat). Fenomena itu terus berlalu dan berterusan berakar umbi sehingga sekarang. Orang Melayu pada layar adalah pemilik kuasa politik tetapi pembiayaan dan pembinaan ekonomi negara terus dikuasai oleh orang Cina. Orang Melayu yang memiliki kuasa politik dan kedudukan birokrat berkongsi kepentingan dengan orang Cina yang memiliki kuasa perniagaan. Orang Melayu dapat kontrak- jual pada peniaga Cina untuk mendapat keuntungan segera dan mudah. Orang Cina berniaga dan melebarkan perniagaan sehingga mewujudkan peluang pekerjaan - yang bakal diisi oleh orang Cina. Sifat jawatan itu tentulah bukan setakat makan gaji tetapi makan mata gergaji (makan dua kali ganda - kalah pun dapat, apatah lagi menang). Orang Melayu yang berkuasa juga mewujudkan peluang pekerjaan dengan membesarkan pengaruh birokrat dengan menubuhkan jabatan-jabatan tertentu untuk diisi oleh orang Melayu. Buatlah apa jua jabatan. Asal orang Melayu ada jawatan dan ada kerusi untuk makan gaji (yang cukup makan dan beli kereta nasional). Kalau tak ada nama - buat saja Jabatan Tanpa Nama = Jabatan Tak Berportfolio. Semua ini adalah usaha dan upaya orang Melayu berkuasa untuk mengembangkan pengaruh politiknya. Lalu kerjasama ini dikenali sebagai Ali-Baba.
Lalu.....semalam kami bersembang. Berbual tak kosong. Tentang beberapa insiden kebiadapan dan keterlaluan orang Melayu dan orang Cina berinteraksi dalam sebuah negara yang multiracial ini. Ada yang berhujah perlunya orang Cina kembali kepada Social Contract. Kata kawan aku, ia tak tertulis. Tak dilembagakan. Tiada nilai legitimasi. Ia hanya ada nilai sentimental sahaja. Orang sejarah mungkin menghargainya. Ekonomian dan para peniaga tak termasuk dalam kategori yang berminat soal-soal sejarah negara.
Ada pula yang berhujah tentang dangkalnya kualiti politik orang Melayu. Orang Melayu yang bunuh orang Melayu. Bukan orang Cina. Orang Cina hanya tengok macamana orang Melayu buat kerja. Dari situ mereka buat kerja. Mereka tak ikut. Mereka ambil kesempatan. Orang Melayu bergaduh sakan dalam semua hal. Bergaduh soal parti. Bergaduh soal perempuan. Bergaduh soal sampai lebih cantik. Bergaduh soal remeh.
Katanya orang Melayu bila mengamuk - dia dah tak kenal kawan dan lawan. Abis dipulunnya. Benarkah begitu? Berapa kali orang Melayu mengamuk? Tragedi Natrah itu kes Melayu mengamuk? 13 Mei bolehkah dikaitkan dengan orang Melayu mengamuk? Tragedi Memali pula bagaimana? Orang PAS mengamuk ataupun Orang UMNO (Polis) yang mengamuk atau hilang akai?
Persoalan ini masih lagi berligar.........sampai bila? Nantilah kita bincangkan. Sementara itu jangan bergaduh dulu. Bawa berbincang. Berbincang bagaimana nak bergaduh?

Merdeka Tanpa Bendera

(selepas berminggu-minggu memulaukan diri untuk menulis di blog sendiri....aku keluar dari tempurung hari ini....aku sebentar kebinggungan kerana begitu meriahnya sambutan orang menyambut kemerdekaan........ahhhhh dah merdeka rupanya negara aku!)
Tahun ini adalah kali kedua aku merayakan sambutan hari kemerdekaan di luar tanahair. Kali pertama kira-kira empat tahun yang lalu di Bogor, Indonesia. Kali ini di Swansea, UK. Indonesia dan UK - dua-dua negara yang pernah menjadi ancaman kepada kewujudan tanahair yang merdeka dulu. Dari zaman Srivijaya, Majapahit hinggalah ke zaman Pasai dan era konfrantasi zaman Sukarno - Indonesia ancaman dalam berjiran dan berkawan. Beza sekali dengan UK - mereka seperti lebih selesa disebut Great Britain. (Teringat aku pada konsep Melayu Raya - The Great of Malay Archipelego yang disering salahtafsirkan sebagai Indonesia Raya oleh sebilangan ahli sejarawan dan politikus). Sehingga sekarang UK berlagak seperti US yang merasakan diri seperti negara pendamai dunia - negara yang mengawal keamanan dunia. Shiitt!
Ahhhh...aku tak mahu bercakap soal UK atau Indonesia. Aku cuma mahu berbicara soal negaraku yang mencapai setengah abad usia kemerdekaannya. Biarpun kita merdeka tanpa darah. Tanpa peperangan. Tanpa pemberontakan. Itu hanyalah satu versi sejarah yang disokong oleh regim sedia ada. Walhal, beratus-ratus para pemberontakan dan pertumpahan darah dan nyawa yang melayang - tidak dicatat sebagai perjuangan mencapai kemerdekaan.
Ahhhh....aku juga tak mahu bercakap soal perjuangan silam itu.... Aku cuma mahu berbicara soal sambutan merdeka kali ini. Seperti kelazimannya, negara yang merdeka akan berbangga untuk mengibarkan bendaranya sendiri, menyanyikan lagu kebangsaannya yang digubahnya sendiri, ada pemimpin dari perut bumi sendiri, ada slogan kata yang menggambarkan tentang kemerdekaan negara. Itulah yang diulang-ulang setiap kali menyambut kemerdekaan. Itulah yang semakin lama semakin dipertingkatkan jumlah kehebatan menyambutnya.
Hakikatnya istilah kemerdekaan negara itu semakin lama semakin haus dan menipis sehingga menghiris-hiris semula luka yang belum sembuh. Kalaulah kekayaan itu dijadikan ukuran kemerdekaan....tanyalah diri kalian - sejauhmana kayanya kalian? Kalaulah kehebatan ilmu yang dijadikan ukuran kemerdekaan.......tanyakah diri kalian... sejauhmana bijaknya kalian memilih pemimpin dan kerajaan. Kalaulah keberanian diri yang dijadikan ukuran kemerdekaan....tanyalah diri kalian.....sejauhmana beraninya menongkah arus?

Sesekali aku ingin merdeka tanpa bendera
Sesekali aku ingin sekali merdeka tanpa lagu negara
Sesekali aku ingin jua merdeka tanpa laungan merdeka
cukuplah,
cukuplah,
cukuplah,
memadailah dengan aku menjadi hamba Allah yang merdeka